Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Facebook enggan padam artikel palsu perkukuh perlunya undang-undang

Nov 21, 2018 | 05:30 AM



KEENGGANAN Facebook untuk memadam kepalsuan tentang Singapura dan pemimpinnya baru-baru ini menunjukkan peri pentingnya undang-undang dibentuk untuk melindungi Singapura dan warganya daripada kepalsuan yang disengajakan di dalam talian.



Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Kesihatan), Encik Edwin Tong, berkata demikian di Parlimen semalam, semasa diminta berkongsi pandangan kementeriannya tentang beberapa laporan palsu dalam talian baru-baru ini.



Laporan palsu itu antara lain menyatakan pemerintah Singapura dan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, bersubahat dalam perjanjian tidak wajar melibatkan 1MDB - dana pelaburan kerajaan Malaysia yang kini dibelenggu skandal pengubahan wang haram.



Artikel terbitan laman States Times Review (STR) pada 5 November itu mendakwa pemerintah dan Encik Lee membenarkan pengubahan wang haram dari dana 1MDB supaya perjanjian bagi bekalan air dan rel berkelajuan tinggi dengan Malaysia berpihak kepada Singapura.



Ia menyusuli artikel serupa yang diterbitkan STR Mei lalu.



Selang dua hari, artikel serupa diterbitkan di laman web Malaysia, The Coverage, sebelum ia diterbitkan lagi oleh akhbar berbahasa Cina, China Press, pada hari selanjutnya.



Dua video bahasa Cina berkenaan dakwaan itu juga diterbitkan di YouTube.



Justeru, kata Encik Tong, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) meminta STR memadamkan artikel berkenaan, sesuatu yang ditolak STR.



Ia juga meminta Facebook menyekat pengedaran artikel tersebut yang turut diterbitkan di laman Facebook STR.



Facebook enggan berbuat demikian, sesuatu keputusan yang mengejutkan, kata Encik Tong, kerana ada bukti kukuh kandungan artikel itu adalah palsu.



Menurut Encik Tong, laman berita The Sarawak Report, yang ditukil oleh STR dan The Coverage bagi laporannya telah berkata laporan itu mengelirukan dan mengandungi kesalahan.



Beberapa penerbitan, termasuk China Press juga memadamkan artikel selepas Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia berkata laporan itu 'dengan jelas mengandungi fitnah', dengan IMDA berkata ia mengandungi bahan yang melanggar undang-undang Singapura.



"Facebook telah memberi jaminan bahawa ia akan bekerjasama rapat dengan penguasa di Singapura untuk menangani kepalsuan di dalam talian dengan segera.



"Namun, apabila ada kepalsuan yang sebenarnya, yang menyerang Singapura, Facebook enggan memadamkan kandungan itu," kata Encik Tong.



"Ini menunjukkan mengapa kita tidak boleh bergantung kepada jasa baik platform penyedia khidmat untuk melindungi Singapura dari kempen menyebar maklumat palsu.



"Ia memperkukuh usulan Jawatankuasa Pilihan (bagi Kepalsuan Dalam Talian yang Disengajakan) bahawa kuasa undang-undang diperlukan untuk melindungi kita dari kepalsuan dalam talian yang disengajakan," tambah beliau.



Dalam pada itu, Encik Tong berkata corak maklumat palsu yang bersumber dari laporan STR itu disebarkan serupa dengan corak penyebaran maklumat palsu yang berlaku di tempat lain.



Memberi dua contoh dari laporan Jawatankuasa Pilihan bagi Kepalsuan Dalam Talian yang Disengajakan, Encik Tong berkata dakwaan palsu tentang kelemahan Tentera Laut Amerika Syarikat dan pelakon Hollywood Morgan Freeman yang berkata negara asing telah menyerang Amerika melalui dalam talian semasa Pilihan Raya Presiden 2016, bermula dari laman web yang terpencil, sebelum ia diterbitkan semula oleh media aliran utama, yang bak menambah kebolehpercayaan artikel itu.



Menurut Encik Tong, sehingga 8 November, artikel STR itu telah dikongsi sekitar 1,600 kali di Facebook, sebahagiannya melalui kumpulan kecil dan dan berpotensi dilihat lebih 800,000 pengguna Facebook.



Artikel di China Press pula dilihat 45,000 kali selang sehari ia diterbitkan.



"Insiden ini menunjukkan sifat kepalsuan dalam talian yang disengajakan yang tersembunyi dan berbahaya," kata Encik Tong.




"Facebook telah memberi jaminan bahawa ia akan bekerjasama rapat dengan penguasa di Singapura untuk menangani kepalsuan di dalam talian dengan segera. Namun, apabila ada kepalsuan yang sebenarnya, yang menyerang Singapura, Facebook enggan memadamkan kandungan itu."
- Menteri Negara Kanan (Undang-Undang merangkap Kesihatan), Encik Edwin Tong, menyentuh artikel laman States Times Review (STR) pada 5 November lalu, yang mendakwa pemerintah dan PM Lee bersubahat dalam perjanjian tidak wajar melibatkan 1MDB.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >