Facebook dan app (aplikasi) lain miliknya seperti Instagram dan WhatsApp tidak berfungsi seperti biasa pada malam Ahad (14 April), dengan beberapa pengguna menulis di media sosial bahawa mereka mengalami masalah semasa menggunakan app-app itu.
Pengguna di Singapura turut terjejas.
Facebook mula mengalami masalah sejak 6.30 petang, menurut laman menjejak masalah dalam talian downdetector.com. Peta tempat yang bermasalah di laman itu menunjukkan beberapa tempat di Eropah, Asia Tenggara dan Amerika Utara.
Kota utama di Malaysia, Indonesia dan Filipina turut terjejas.
Di Twitter, tanda pagar #Facebookdown dan #Instagramdown menjadi trend sehingga 9 malam.
Pengguna Twitter Zincjunyi menulis di Twitter sekitar 8.15 malam dan berkata beliau tidak dapat menggunakan Facebook dan Instagram di Singapura selama dua jam sebelum itu.
Khidmat Facebook yang terjejas ini serupa dengan masalah yang menjejas Facebook dan app lain bulan lalu. Pada masa itu, Facebook berkata ia timbul kerana perubahan dalam konfigurasi server komputer yang digunakannya.
Menurut downdetector.com, pengguna di serata dunia mengalami masalah menggunakan Facebook sehingga 12 jam, dengan yang paling teruk dialami pengguna di Amerika Utara.