Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENENTANG EKSTREMIS

Fahami kehidupan Muslim dalam masyarakat sekular

Nov 04, 2020 | 05:30 AM



KONTROVERSI sememangnya telah lama menyelubungi figura yang pertama kali menarik perhatian ramai dua dekad lalu sebagai ketua kumpulan Fateha, dengan memperjuangkan isu-isu agama sehinggakan - menurut asatizah setempat - mengocak dan memecahbelahkan hubungan antara masyarakat dan asatizah di sini.



Berita penangkapan, dan penahanannya, Zulfikar Mohamad Shariff, 49 tahun, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai 2016 kerana dikatakan menyokong ideologi songsang yang dibawa kumpulan pengganas Negara Islam dan Syria (ISIS) mengejutkan ramai.



Lebih mengejutkan apabila dua pemuda tampil menceritakan bagaimana mereka terpengaruh dengan kata-katanya dan apa yang dikemukakannya di media sosial.



Disebabkan itu, usaha harus dilakukan dalam membimbing anak-anak kita bukan hanya menjadi Muslim yang baik tetapi juga memahami kehidupan Muslim dalam konteks kehidupan majmuk di sini.



Lebih daripada itu, usaha juga perlu dilakukan dalam memastikan masyarakat dan golongan muda tahu membezakan antara Islam yang betul dan ajaran songsang yang mempergunakan Islam.



Dengan pendidikan dan pendekatan yang teguh, masyarakat dan golongan muda Muslim mampu membentengi diri di media sosial, demikian menurut pandangan asatizah dan pakar antipengganasan dalam temubual mereka dengan Berita Harian.



"Kita memerlukan golongan muda yang bukan sekadar tahu tentang ajaran Islam tetapi memahami aturan hidup sebagai Muslim dalam kehidupan sekular yang berbilang kaum dan agama di Singapura," kata Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Dr Mohamed Ali, kelmarin.



Kenyataan beliau itu dikongsi susulan laporan akhbar The Straits Times (ST) pada Isnin lalu yang mengetengahkan bagaimana Zulfikar, seorang bekas rakyat negara ini, berjaya mempengaruhi dua warga lain negara ini untuk menyokong kumpulan pengganas ISIS.



Mangsa, Encik Mohamad Saiddhin Abdullah, 30-an tahun, menceritakan bagaimana Zulfikar menggambarkan dirinya sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang Islam, dan mempengaruhinya agar menyokong ISIS yang juga dikenali dengan singkatan IS sahaja.



Kerana terpengaruh, Encik Saiddhin juga mengikut jejak Zulfikar dengan bergambar dengan bendera ISIS dan memuatnaik ke akaun Facebooknya sendiri.



Disebabkan itu, beliau telah ditangkap oleh pihak berkuasa tidak lama kemudian.



Bagi Encik Mohamad Saiddhin, Zulfikar tidak lebih daripada seorang 'jurujual penipu' yang menipu beliau dan orang lain untuk mengikuti ideologi radikal.



"Zulfikar menggunakan kata-kata yang manis untuk 'goreng' dan berupaya mengocak emosi hingga menimbulkan rasa benci dan marah.



"Beliau berbuat begitu untuk menggambarkan nasib rakyat Syria dalam konflik secara tidak tepat," kata Encik Saiddhin dalam satu wawancara dengan ST itu.



Profesor Pengajian Keselamatan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Profesor Rohan Gunaratna, berkata, meskipun ISIS hampir terkubur di Iraq dan Syria, namun pengaruhnya makin berkembang di Asia Tenggara sejak pengisytiharan kewudujan pemerintahan 'khalifah' di Iraq dan Syria pada 2014.



"Meskipun khalifah ini telah dapat dipatahkan dengan jayanya, (tetapi) sebuah khalifah maya kini wujud di alam siber.



"Tidak seperti di Timur Tengah, Muslim di Asia adalah sederhana dan bertolak ansur sedang mereka hidup bersama dengan masyarakat bukan Muslim, dan menghargai kepelbagaian dan nilai hidup bersama. Memandangkan 63 peratus masyarakat Muslim sedunia berada di Asia, pemerintah dan rakan kerjasama harus melindungi mereka dari virus ideologi ini."



Menurut pendakwah bebas dan dosen di Pusat Harmoni, Ustazah Lina Sakina Salim, kebanyakan orang yang mengikuti kumpulan ekstremis agama bukan dari kalangan orang yang mempunyai pemahaman agama yang tinggi.



"Kerana saya pasti setiap agama mengajar nilai-nilai murni kemanusiaan yang berasaskan keadilan dan kasih sesama manusia.



"Sebenarnya yang memperalatkan agama oleh pihak ekstremis untuk memperjuangkan agenda sinis mereka telah berlaku pada setiap komuniti agama.



"Pada pendapat saya ini kerana agama mempunyai tarikan yang kuat dalam menggerakkan penganutnya untuk memperjuangkan agama tersebut jika berhadapan dengan ancaman, sama ada yang nyata ataupun dalam fikiran mereka," ujarnya.



Disebabkan ini, Dr Mohamed menekankan bahawa memerangi pengaruh ideologi adalah satu perkara genting lagi mustahak.



Dalam hal ini, beliau menekankan peranan Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) dalam membantu menangani isu pengganasan di sini.



Menerusi ARS, yakni sistem pentauliahan bagi asatizah setempat yang mula diwajibkan pada 2017, ia menjadi sebahagian usaha Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk menaik taraf asatizah sebagai sumber rujukan berwibawa bagi masyarakat Muslim Singapura.



"Langkah mengadakan ARS ini adalah untuk memastikan anak-anak muda kita tidak terpesong dan tahu membezakan antara ajaran Islam yang betul dan sesuai dengan kehidupan kita di sini. Apa yang ingin kita lakukan ialah untuk menjelaskan penyelewengan yang berlaku dalam agama," terangnya.



Dr Mohamad menambah, penggunaan media sosial dalam mempengaruhi anak-anak muda merupakan satu cabaran besar.



Ini kerana, selama 10 tahun dunia berdepan dengan ancaman ideologi pengganasan secara fizikal tetapi sedang ini dapat dipatahkan, penularan pengaruhnya tetap menular.



"Kejayaan ISIS dalam mempengaruhi dan menarik anak-anak muda ini dilakukan menerusi media sosial. Disebabkan itu ajaran yang baik dan mantap penting kerana ini dapat membantu masyarakat dan anak-anak kita dalam membezakan ajaran yang benar daripada kefahaman songsang yang diselaputi kebenaran," jelas beliau.



Peranan Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) juga penting dalam mengukuhkan kefahaman Muslim dan membanteras masalah penyelewengan dalam Islam



"Dalam menciptakan musuh agama, pihak ekstremis telah mengaburkan pengikutnya daripada melihat punca utama rungutan mereka iaitu masalah sosio-ekonomi yang melanda masyarakat.



"Alhamdulillah asatizah Singapura tidak ada lagi yang memegang pada pemahaman Islam yang ekstrem lagi tertutup. Dengan adanya RRG, asatizah tempatan dapat menyumbang tenaga dan ilmu mereka untuk memperbetulkan pemahaman yang bertentangan dengan nilai-nilai keharmonian di Singapura," ujarnya.



Zulfikar, ayah enam anak berusia antara 10 hingga 24 tahun, yang telah melepaskan kerakyatannya dan kini merupakan warga Australia, telah dipenjarakan pada 22 Oktober lalu setelah didapati bersalah dan dipenjarakan enam minggu di bawah Akta Pasport.




"Kejayaan ISIS dalam mempengaruhi dan menarik anak-anak muda ini dilakukan menerusi media sosial. Disebabkan itu ajaran yang baik dan mantap penting kerana ini dapat membantu masyarakat dan anak-anak kita dalam membezakan ajaran yang benar daripada kefahaman songsang yang diselaputi kebenaran... Alhamdulillah asatizah Singapura tidak ada lagi yang memegang pada pemahaman Islam yang ekstrem lagi tertutup. Dengan adanya RRG, asatizah tempatan dapat menyumbang tenaga dan ilmu mereka untuk memperbetulkan pemahaman yang bertentangan dengan nilai-nilai keharmonian di Singapura."
- Penolong Profesor di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Dr Mohamed Ali.



"Kerana saya pasti setiap agama mengajar nilai-nilai murni kemanusiaan yang berasaskan keadilan dan kasih sesama manusia. Sebenarnya yang memperalatkan agama oleh pihak ekstremis untuk memperjuangkan agenda sinis mereka telah berlaku pada setiap komuniti agama. Pada pendapat saya ini kerana agama mempunyai tarikan yang kuat dalam menggerakkan penganutnya untuk memperjuangkan agama tersebut jika berhadapan dengan ancaman, sama ada yang nyata ataupun dalam fikiran mereka."
- Dosen di Pusat Harmoni juga pendakwah bebas, Ustazah Lina Sakina Salim.



"Meskipun khalifah ini telah dapat dipatahkan dengan jayanya, (tetapi) sebuah khalifah maya kini wujud di alam siber. Tidak seperti di Timur Tengah, Muslim di Asia adalah sederhana dan bertolak ansur sedang mereka hidup bersama dengan masyarakat bukan Muslim, dan menghargai kepelbagaian dan nilai hidup bersama. Memandangkan 63 peratus masyarakat Muslim sedunia berada di Asia, pemerintah dan rakan kerjasama harus melindungi mereka dari virus ideologi ini."
- Profesor Pengajian Keselamatan Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS), Profesor Rohan Gunaratna.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >