Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23

FairPrice miliki bekalan ayam beku bagi 4 bulan, tiada rancangan had pembelian

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

FairPrice miliki bekalan ayam beku bagi 4 bulan, tiada rancangan had pembelian

May 26, 2022 | 09:00 PM

PASAR raya FairPrice mempunyai bekalan ayam beku yang boleh bertahan hingga empat bulan lamanya dengan bekalan bagi dua bulan selanjutnya sedang diusahakan. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, FairPrice Group, Cik Elaine Heng, menjelaskan demikian dalam satu kunjungan ke Pusat Edaran Makanan Segar FairPrice di Upper Thomson Road pada Khamis (26 Mei).

Sejak beberapa hari lalu, beberapa pasar dan pasar raya mendapati ayam segar laris dijual kerana sebilangan pelanggan mula membeli banyak ayam kerana bimbang ketandusan bekalan.

Ini menyusuli pengumuman Malaysia pada Isnin (23 Mei) bahawa ia akan menghentikan eksport hingga 3.6 juta ayam sebulan mulai 1 Jun hingga harga domestik dan pengeliuaran stabil.

Apabila ditanya akhbar The Straits Times jika FairPrice mempunyai rancangan untuk mengehadkan jumlah ayam atau produk protein lain yang pelanggan boleh beli, Cik Heng berkata pihaknya masih memantau situasi.

"Buat masa ini, apa yang kita lihat adalah kita masih mampu mengisi semula stok dan dengan pilihan ayam dingin dan beku," jelasnya.

Namun, beliau menambah: "Apabila wujud keperluan, kita akan mempertimbangkannya."

Menteri Negara (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan, yang juga mengunjungi kemudahan itu, berkata terdapat bekalan secukupnya bagi ayam di Singapura dan menggesa orang ramai agar tidak membeli kerana panik.

Akur bahawa akan terdapat gangguan pada jualan ayam dingin dan segar, beliau berkata sekitar 70 peratus ayam yang diimport Singapura adalah dalam bentuk ayam beku, daripada pelbagai negara selain Malaysia. 

"Justeru, saya ingin meyakinkan warga Singapura bahawa kita mempunyai bekalan ayam beku secukupnya di Singapura," katanya.

Beliau menambah bahawa banyak pengimport dan peruncit yang telah menempah bekalan ayam terlebih dahulu, yang dijangka akan sampai dalam masa beberapa minggu mendatang.

"Kami juga sedang bekerja keras dengan industri dan pengimport untuk mencari bekalan dari negara lain dan bekalan ayam bagi memastikan kita mempunyai bekalan yang berterusan.

"Justeru, saya ingin menggalak setiap warga Singapura untuk terus membeli seperti biasa - tiada keperluan untuk menambah pembelian ayam kerana bekalannya cukup," katanya.

Encik Tan berkata Singapura juga sedang mengusahakan untuk mencari bekalan ayam dingin daripada negara lain seperti Australia.

Katanya lagi, pihak berkuasa akan bekerjasama dengan perniagaan yang hanya boleh menawarkan ayam dingin untuk meninjau bagaimana mereka boleh dibantu sewaktu tempoh ini jika perniagaan mereka terjejas.

Mengenai benarkah harga ikan akan meningkat, Encik Tan berkata:

"Kita perlu cuba mempelbagaikan sumber kita - itulah strategi yang kita ambil buat banyak tahun sejauh ini dan ia membantu kita hingga hari ini. Justeru jika terdapat gangguan bagi negara khusus, kita masih mempunyai sumber lain."

Ditanya jika FairPrice akan mengawal harga ayam, Cik Heng menyatakan bahawa pihaknya baru-baru ini telah mengurangkan harga telur dan memberi harga promosi bagi minyak walaupun terdapat peningkatan kos makanan.

"Kami telah meninjau bagaimana kita boleh menyerap kos...kita sedang melakukan yang terbaik untuk mengambil kira sekitaran yang ada dan mengawal kos kehidupan seberapa yang terbaik mengikut kemampuan."

Encik Tan menambah: "Dari masa ke masa, kita harus menjangkakan akan terdapat gangguan yang berpunca daripada perkembangan geopolitik lain atau perubahan iklim. Dan justeru itu, kita perlu berdaya bingkas, kita perlu menyesuaikan diri dan kita perlu kekal bertenang dan bersatu. Saya pasti kita boleh mengharungi sebarang cabaran."

 

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3