Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Faisal Manap nafi pemimpin WP beritahu Raeesah Khan agar rahsiakan pembohongan "hingga ke liang lahad"

Dec 11, 2021 | 11:34 PM



NAIB Pengerusi Parti Pekerja (WP), Encik Faisal Manap, memberitahu Jawatankuasa Hak Istimewa bahawa sukar untuk menjelaskan secara rasional mengapa beliau dan pemimpin parti lain tidak memberi reaksi lebih awal untuk menangani pembohongan mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Cik Raeesah Khan, kepada Parlimen.



Namun, beliau mempertikaikan keterangan Cik Raeesah bahawa dirinya, Ketua WP, Encik Pritam Singh dan Pengerusi Parti, Cik Sylvia Lim telah "bersetuju bahawa perkara terbaik untuk lakukan" adalah dengan merahsiakan pembohongannya di Parlimen pada 3 Ogos "hingga ke liang lahad".



Menurut satu laporan khas yang dikeluarkan Jawatankuasa Hak Istimewa pada Sabtu (11 Disember), Encik Faisal berkata Cik Raeesah berbohong tentang sebahagian pesanan teks yang beliau kirimkan kepada dua lagi anggota WP, tetapi beliau tidak dapat menjelaskan mengapa Cik Raeesah berbuat demikian.



Dalam kenyataannya pada Khamis (9 Disember), Encik Faisal memberitahu jawatankuasa berkenaan bahawa tiada seorang pun, baik dirinya, Encik Pritam ataupun Cik Lim - yang kesemuanya merupakan AP GRC Aljunied - memberi reaksi atau berbincang apa yang perlu dibuat apabila Cik Raeesah mengaku kepada mereka pada 8 Ogos bahawa beliau berbohong di Parlimen, kerana mereka terkesan selepas mendengar tentang serangan seksualnya.



Keprihatinan utama mereka adalah kesejahteraan Cik Raeesah, tambah Encik Faisal.


Apabila ditanya jawatankuasa itu, Encik Faisal berkata beliau faham bahawa sukar untuk memahami mengapa tiga pemimpin WP tidak memberi reaksi pada pengakuan Cik Raeesah bahawa beliau telah memberitahu sesuatu yang tidak benar di Parlimen.



Laporan itu menjelaskan Encik Faisal menerima bahawa berbohong kepada Parlimen adalah sesuatu yang buruk, dan bersetuju ia juga salah untuk membenarkan satu pembohongan diteruskan di Parlimen.



"Beliau juga bersetuju jika seseorang tahu tentang fakta yang benar yang boleh membetulkan satu penipuan di Parlimen, mendiamkan diri juga akan menjadi satu masalah, dan mungkin membawa pada satu kesalahan," tambah laporan itu.



Laporan itu berkata Encik Faisal juga bersetuju bahawa adalah logik baginya untuk bertanya soalan tentang niat Cik Raeesah untuk menjelaskan pembohongan itu selepas Encik Faisal menyedari tentangnya.



Namun, beliau telah menyerahkannya kepada Encik Pritam untuk menangani perkara itu kerana beliau mempercayai Ketua Pembangkang itu, memandangkan beliau sudah bekerja dengannya selama lebih 10 tahun sebagai rakan AP.



Encik Faisal percaya Encik Pritam mempunyai maklumat untuk membuat penilaian mengenainya dan mempercayai Cik Raeesah akan melakukan perkara yang betul, jelas laporan itu.



Encik Faisal juga berkata tempoh bila Cik Raeesah dapat membetulkan kenyataannya di Parlimen bergantung pada penilaian Encik Pritam.



Laporan ini berkata Encik Faisal tidak berhubung lanjut dengan Cik Raeesah, Encik Pritam atau Cik Lim mengenai pembohongan yang Cik Raeesah sampaikan selepas mesyuarat 8 Ogos hingga 29 Oktober. Encik Faisal juga tidak terlibat mahupun sedari tentang sebarang perbincangan yang mungkin dibuat anggota partinya itu sesama sendiri mengenai isu itu dalam tempoh tersebut.


Laporan khas ini adalah yang kedua dikeluarkan Jawatankuasa Hak Istimewa selepas laporan awal dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember.



Laporan itu, yang diterbitkan di laman web Parlimen berserta keratan video perbincangan jawatankuasa itu adalah berdasarkan kenyataan daripada Cik Raeesah, mantan penolong setiausahanya Loh Pei Ying, penolong perundangan Lim Hang Ling dan anggota parti Yudhishthra Nathan.



Cik Raeesah telah memberitahu jawatankuasa berkenaan bahawa Encik Pritam, Cik Lim dan Encik Faisal telah lebih awal mengetahui tentang pembohongannya di Parlimen pada 3 Ogos iaitu mengenai kenyataannya bahawa beliau menemani mangsa rogol untuk membuat laporan polis.



Beliau juga berkata pemimpin parti itu telah menasihatinya agar kekal pada pembohongannya.



Dalam ucapan 3 Ogos, Cik Raeesah berkata beliau menemani mangsa rogol berusia 25 tahun ke balai polis untuk membuat laporan, dan pegawai yang mewawancara mangsa itu telah membuat komen yang tidak wajar mengenai pakaian mangsa dan juga perihal mangsa yang minum arak. Namun, Cik Raeesah tidak menemani mangsa itu ke balai polis.



Cik Raeesah kemudian mengaku mangsa itu berkongsi keterangan itu dalam kumpulan sokongan buat wanita yang disertainya sambil menambah beliau tidak mendapat kebenaran mangsa untuk berkongsi cerita itu.



Pada 30 November, Cik Raeesah kemudian meletakkan jawatan daripada WP dan juga sebagai AP.



WP berkata ia akan memberi respons pada dakwaan terhadap pemimpinnya dalam laporan khas pertama pada sidang dan waktu yang berpatutan.



Jawatankuasa Hak Istimewa juga mendengar daripada Encik Pritam pada Jumaat (10 Disember) dan akan bertemu Cik Lim serta AP GRC Sengkang, Encik Jamus Lim.


Sementara itu, pertemuan juga berlangsung pada Sabtu (11 Disember) untuk membincangkan laporan khas kedua dan dijadualkan bertemu lagi pada Ahad (12 Disember)



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >