Subuh
5:50
Syuruk
7:07
Zuhur
1:12
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:23

Faisal penasihat pasukan WP di GRC Sengkang

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

PELETAKAN JAWATAN RAEESAH KHAN DARI PARTI PEKERJA

Faisal penasihat pasukan WP di GRC Sengkang

Dec 03, 2021 | 05:30 AM

ANGGOTA Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) bagi GRC Aljunied Encik Faisal Manap akan menyokong pasukan WP Sengkang selaku penasihat, terutama sekali dalam isu berkaitan masyarakat Melayu/Islam di Sengkang.

Parti tersebut berharap kehadiran Encik Faisal dapat memberikan keyakinan kepada penduduk Melayu/Islam bahawa keprihatinan mereka akan terus diberi perhatian sewajarnya dan akan diutamakan di Parlimen, kata ketua parti tersebut Encik Pritam Singh.

"Pada masa yang sama, saya ingin menekankan sebagai negara yang berbilang kaum, tiada apa yang menjadi penghalang bagi AP bangsa lain untuk mengetengahkan isu-isu yang menjejas golongan atau masyarakat minoriti," katanya dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat WP di Geylang Road semalam.

Encik Faisal, yang turut hadir semasa sidang tersebut, menekankan komitmennya membantu pasukan WP Sengkang.

"Saya akan bekerja rapat dengan mereka bertiga, untuk memberikan sokongan dan nasihat yang sebaik dan semampunya terutama sekali dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan masyarakat Melayu/Islam," ujar Encik Faisal, memberikan ucapan ringkasnya dalam bahasa Melayu semasa sidang itu.

Langkah tersebut menyusuli peletakan jawatan bekas AP WP Cik Raeesah Khan, setelah beliau mengaku berbohong di Parlimen mengenai butiran kes serangan seksual yang didakwanya salah dikendalikan oleh polis.

Kawasan Compassvale di Sengkang, di mana Cik Raeesah berkhidmat sebelum ini, akan dibahagikan kepada tiga AP Sengkang yang lain, Cik He Ting Ru, Encik Louis Chua dan Profesor Madya Jamus Lim.

"Meletakkan Compassvale di bawah naungan tiga AP memastikan semua penduduk Compassvale akan dapat terus memanfaatkan peluang hubungan secara langsung dengan AP yang boleh mewakili mereka," kata Cik He.

Tambah Cik He, beliau pertama kali mendapat tahu tentang kejadian sebenar yang melibatkan Cik Raeesah Oktober lalu.

"Ini bukan situasi yang mudah, terutama sekali apabila beliau berkongsi pengalaman sendiri (dengan serangan seksual)," katanya.

Demikian kandungan perbualan mereka selain meliputi perbincangan tentang cara terbaik untuk mengetengahkan perkara tersebut di Parlimen.

Menurut Cik He lagi, kejadian yang melibatkan Cik Raeesah merupakan sesuatu yang malang dan menambah usaha berkhidmat dalam GRC memerlukan anggota yang komited dan sanggup bekerja keras bersama.

"Kami sebenarnya ingin menyampaikan penghargaan kepada Raeesah atas apa yang telah dilakukan bagi penduduk Compassvale, dan mengucapkan maju jaya bagi apa jua yang akan dilakukan pada masa depan," kata Cik He.


"Saya akan bekerja rapat dengan mereka bertiga, untuk memberikan sokongan dan nasihat yang sebaik dan semampunya terutama sekali dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan masyarakat Melayu/Islam."
- Anggota Parlimen Parti Pekerja (WP) bagi GRC Aljunied, Encik Faisal Manap.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3