Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Faishal: Kurangi peperiksaan beri peluang sekolah bangun pendidikan lebih holistik

Oct 01, 2018 | 05:30 AM



LANGKAH untuk mengalihkan tumpuan daripada gred akademik sahaja dengan mengurangkan peperiksaan akan membolehkan pihak sekolah memberi penekanan ke atas aspek-aspek pengalaman dalam pembelajaran yang lebih holistik di luar bilik darjah.



Setiausaha Parlimen Kanan (Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha perkembangan kanak-kanak dan pelajar demi mempersiapkan mereka apabila melangkah masuk ke dunia realiti pekerjaan.



"Dengan adanya masa lebihan seperti semasa dalam darjah satu dan dua, guru-guru boleh membawa mereka keluar daripada ruang tradisional, di mana pelajar boleh bermain dan mempelajari banyak perkara di luar darjah.



"Jadi dengan adanya kegiatan bermain, mereka bukan sahaja dapat mengenal pasti algebra, huruf dan abjad, malah memegang secara fizikal apa yang mereka pelajari itu.



"Sambil bermain mereka dapat mendekati kawan dan ibu bapa dan dengan adanya proses ini, ia membentuk proses emosi, sosial, interaksi serta kognitif mereka.



"Jadi mereka tidak berasa kekok apabila mereka keluar daripada kelas," kata Dr Faishal.



Beliau berkata demikian di acara Playfest yang merupakan usaha berterusan Yayasan Mendaki memberi persediaan kepada kanak-kanak prasekolah menerusi kegiatan dan sumber yang "lebih dekat" dengan ibu bapa yang mempunyai anak kecil dan tinggal di kawasan estet perumahan.



Dengan tema iPlay, iLearn, iGrow, Playfest kedua ini menyampaikan mesej tentang pentingnya bermain sebagai usaha perkembangan holistik anak kecil serta penglibatan sosial dalam kalangan anak-anak.



Sekitar 350 ibu bapa dan anak-anak mereka menghadiri Playfest itu.



Menurut Dr Faishal perubahan mengurangkan peperiksaan di sekolah yang diumumkan Kementerian Pendidikan (MOE) Jumaat lalu itu merupakan satu proses di mana pihak sekolah menyediakan aspek keselesaan dalam pembelajaran yang lebih holistik.



Pelajaran bukan sahaja tertumpu di dalam kelas, tetapi ia juga boleh dilakukan di luar kelas dengan pelajar keluar belajar bersama rakan lain, seperti belajar kegiatan mengukur padang atau dimensi tertentu, agar mereka dapat lihat semua itu dengan lebih nyata.



"Ia penting memandangkan apabila mereka membesar dan bekerja, mereka akan hidup dalam dunia realiti dan apabila mereka diberi pendedahan sejak kecil lagi, ia akan membangunkan seorang individu yang yakin dan bersedia menghadapi kehidupan masa akan datang.



"Aktiviti bermain merupakan permulaan yang baik, sebagai sebahagian proses pembelajaran mereka," katanya.



Perubahan kurangi peperiksaan di sekolah bagi sesetengah peringkat yang diumumkan MOE itu merupakan sebahagian usaha mengurangkan penekanan berlebihan terhadap pencapaian akademik dan menggalak pelajar lebih seronok belajar.



Antara lain ia akan meniadakan peperiksaan pertengahan tahun di darjah tiga, darjah lima, menengah satu dan menengah tiga, yang merupakan tahun peralihan penting untuk pelajar.



Ini akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun, bermula dengan peniadaan peperiksaan pertengahan tahun, tahun depan.



Bermula tahun depan juga, murid darjah satu dan dua tidak lagi perlu menjalani peperiksaan dan penilaian yang diberi timbangan.



Sebaliknya, guru akan menggunakan bentuk penilaian lain yang lebih kecil dan tidak memberi gred kepada murid.



Untuk menggalak pelajar memberi tumpuan kepada pembelajaran sendiri dan bukan terhadap persaingan, buku laporan pula tidak lagi akan memberi ranking pelajar dari segi pencapaian dalam kelas atau di peringkat sekolah - iaitu tiada lagi tempat pertama, kedua mahupun terakhir.



Di darjah satu dan dua, guru akan menggunakan penanda kualitatif untuk menilai pembelajaran murid.



Bagi pelajar peringkat lain pula, markah untuk subjek akan menggunakan angka penuh tanpa titik perpuluhan bagi mengurangkan tumpuan berlebihan terhadap markah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >