Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Faishal: Kursus Bahasa Melayu terus meningkat

Jul 21, 2018 | 05:30 AM



PUSAT Bahasa Melayu Singapura (MLCS) menganjurkan lebih 30 kursus - termasuk empat kursus baru - setiap tahun dan kursus ini dihadiri antara 800 dengan 1,000 peserta.



Jumlah guru yang menghadiri kursus ini dan bilangan kursus yang dianjurkan menunjukkan iltizam guru bahasa Melayu dan MLCS untuk mempertingkat keupayaan mereka, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan dan Pembangunan Sosial dan Keluarga) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.



"Empat kursus baru diperkenalkan setiap tahun bagi memastikan pengetahuan guru berkaitan bahasa dan budaya kian kukuh dan kaedah pengajaran yang guru laksanakan kekal relevan, rencam, berkesan dan menyeronokkan," katanya.



Dr Faishal, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) berkata demikian, semalam, dalam ucapannya yang disampaikan di majlis ceramah Arif Budiman ke-14 - acara tahunan yang dianjurkan MLCS.



Tahun ini, kata Dr Faishal, MLCS telah menerbitkan buku rujukan dan menganjurkan dua kursus bagi para guru permulaan yang berpandukan model pengajaran Amalan Pengajaran Singapura (STP), yang menggalakkan guru menyelaraskan teori dengan amalan pengajaran supaya kaedah yang digunakan sentiasa relevan dan menyeronokkan.



Mac lalu, MLCS juga menganjurkan Seminar Bahasa Melayu yang dihadiri lebih 500 guru dengan 170 guru menyumbangkan 53 kertas kajian, kata Dr Faishal.



Dalam pada itu, Dr Faishal turut meluahkan rasa senang hati melihat kerjasama antara pihak berkepentingan dalam menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu dan budaya Melayu di sini.



"Kerjasama yang kukuh antara institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat dan badan akar umbi akan menguntungkan para pelajar kita dan menjadikan suasana berbahasa Melayu di negara kita lebih hidup dan menyegarkan," kata Dr Faishal.



Melebihi usaha badan-badan ini, Dr Faishal turut menggesa ibu bapa menambah penggunaan bahasa Melayu di rumah, untuk membantu anak-anak mereka menguasai bahasa ini.



"Saya mengalu-alukan ibu bapa untuk bertutur dalam bahasa Melayu dengan anak-anak mereka dan menyediakan bahan bacaan bahasa Melayu di rumah," katanya.



Ceramah tahunan ini juga dihadiri oleh Mantan Menteri Negara Kanan (Sekitaran) Encik Sidek Saniff yang menyampaikan ucapan dasar.



Baru-baru ini, Encik Sidek, yang pernah berkhidmat sebagai guru dan pemimpin Kesatuan Guru-guru Melayu Singapura (KGMS), melancarkan buku kenangan hidupnya berjudul Sidek Saniff: Langkah Liku Selayang Kenangan.



Menurut Encik Faishal, buku Encik Sidek 'kaya dengan teladan' dan akan 'meninggalkan kesan yang mendalam kepada para pembacanya'.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >