Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Faishal: Lebih ramai Melayu pindah dari flat sewa ke flat sendiri

Usaha DIAN@M3 yang akan dirintis jelang akhir tahun ini seiringan dengan program pemerintah diharap dapat bantu lebih ramai miliki rumah
Sep 06, 2021 | 05:30 AM



SEMENTARA lebih ramai orang Melayu yang tinggal di flat sewa adalah sesuatu yang menimbulkan keprihatinan, terdapat juga trend positif lebih ramai keluarga yang berpindah dari flat sewa ke flat yang dimiliki sendiri sepanjang tempoh lima tahun lalu.



Berkongsi butirannya, Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Ehwal Dalam Negeri) Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim berkata 4,600 keluarga telah berpindah dari rumah sewa ke rumah yang mereka miliki sepanjang lima tahun lalu, naik lebih 70 peratus berbanding 2,600 keluarga yang melakukan demikian sepanjang lima tahun sebelum itu.



Daripada 4,600 keluarga yang berpindah dari rumah sewa ke rumah yang mereka miliki sepanjang lima tahun lalu, 40 peratus merupakan keluarga Melayu.



"Saya harap dengan adanya lebih pendekatan daripada Pasukan Sokongan Bagi Pemilikan Rumah (HST) Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan juga Projek DIAN@M³, di mana kita sama-sama mengukuhkan keluarga Melayu dan juga memberikan ruang bagi mereka untuk mengukuhkan pekerjaan mereka, ini boleh membantu mereka memiliki rumah sendiri.



"Sama-sama saya harap kita berganding bahu untuk memberikan sokongan kepada rakan-rakan kita yang tinggal di rumah sewa supaya mereka juga terus berusaha untuk memiliki rumah yang mereka idamkan," ujarnya semasa satu wawancara dengan media bahasa Melayu setempat semalam.



Semasa bertemu dengan keluarga yang kini memiliki rumah sendiri selepas tinggal di flat sewa dahulu, Dr Faishal berkata mereka juga telah berkongsi dengannya bagaimana mereka berjaya memiliki rumah sendiri.



Ini termasuk memastikan pemikiran yang positif kerana mahukan kehidupan yang lebih baik bagi keluarga dan diri mereka; bekerja keras untuk menstabilkan pendapatan; dan mendapatkan sokongan untuk membantu mereka membuat perancangan yang baik.



Dr Faishal berkata HST dan relawan daripada Projek DIAN@M³ akan mendekati golongan ini dan memberi sokongan kepada mereka.



Menerusi bantuan ini, mereka bukan sahaja dapat memupuk aspirasi untuk memiliki rumah tetapi mereka juga akan dibantu membuat perancangan kewangan yang seimbang bagi pembangunan anak, memenuhi keperluan harian dan membeli rumah yang mereka inginkan.



"Kami melihatnya sebagai satu proses untuk membangunkan masyarakat dan saya yakin kita boleh mencapainya bersama," ujarnya.



Menurut Banci 2020, kadar orang Melayu yang tinggal di flat sewa semakin meningkat, dengan bilangan isi rumah Melayu yang tinggal di flat sewa satu dan dua bilik naik lebih seganda daripada 9,100 keluarga pada 2010, kepada sekitar 18,600 keluarga tahun lalu.



Semasa berucap di Rapat Hari Kebangsaan baru-baru ini, Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata antara sebabnya ialah sebahagian pasangan muda yang berkahwin ingin berdikari sebelum mereka bersedia untuk membeli flat.



Ini tidak begitu membimbangkan tetapi beliau berkata ada juga yang mengalami perubahan mendadak dalam keadaan keluarga atau kewangan mereka. Ada pula yang menghadapi cabaran rumit hingga sukar merancang bagi masa depan.



Dr Faishal berkata jumlah flat sewa juga bertambah dalam tempoh waktu itu.



Namun, beliau berkata flat sewa hanya sementara dan seharusnya menjadi langkah jangka pendek sahaja.



"Kita tidak mahu mereka tinggal lama (di flat sewa) kerana kita mahu memberikan ruang bagi mereka untuk tinggal atau memiliki rumah mereka sendiri kerana ada pelbagai kebaikan dan manfaat apabila seseorang itu tinggal atau memiliki rumah mereka sendiri.



"Dan kita telah melakarkan pelbagai dasar dan pendekatan seperti memberikan geran dan juga menggunakan wadah seperti HST untuk mendekati mereka yang mungkin ada peluang untuk memiliki rumah," ujar Dr Faishal.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >