Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN

Faishal: Peranan penerima kian luas jangkau luar kelas

Guru terpilih kini galas tanggungjawab sebagai duta bahasa, budaya dan sastera Melayu dalam masyarakat
Nov 06, 2021 | 05:30 AM



PERANAN yang dimainkan guru penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) semakin meluas menjangkau luar bilik darjah, dengan guru tersebut kini menggalas tanggungjawab sebagai duta bahasa, budaya dan sastera Melayu dalam masyarakat.



Namun, dengan trend penggunaan bahasa Melayu yang semakin merosot di rumah, guru perlu menggunakan cara yang kreatif dan inovatif untuk menarik minat pelajar dalam pembelajaran bahasa Melayu, kata Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.



Mengongsi pengamatannya tentang AGAB sejak 15 tahun lalu bersama Berita Harian (BH), Dr Faishal berkata peranan yang dimainkan guru AGAB semakin berkembang, dengan mereka layak digelar sebagai pejuang bahasa, budaya dan identiti Melayu.



Sejak 2007, seramai 64 guru telah diiktiraf sebagai penerima anugerah berprestij itu.



Majlis penyampaian anugerah itu tahun ini, yang dianjurkan bersama Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), akhbar Berita Harian dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), diadakan hari ini.



"Saya bangga melihat perkembangan AGAB sejauh ini. Saya juga bersifat optimistik bahawa ramai lain lagi guru-guru Bahasa Melayu yang berkobar-kobar untuk terus berbakti dan berjasa dalam dunia pendidikan.



"Melalui pengamatan dan interaksi saya bersama guru-guru bahasa Melayu di Singapura, saya percaya bahawa generasi pelapis mempunyai potensi besar untuk terus menyumbang dan menggembleng tenaga untuk memantapkan lagi pendidikan dan pembelajaran Bahasa Melayu," kata beliau, yang juga pengerusi MBMS.



Memberikan contoh antara usaha guru AGAB, Dr Faishal berkata sebuah antologi cerpen bertajuk Intai Kami Antara Nampak yang menerbitkan sumbangan karya penulisan guru penerima anugerah itu telah dilancarkan pada tahun ini atas idea yang diusulkan Cikgu Djohan Abdul Rahman.



Meskipun pelbagai usaha dijalankan untuk melestarikan penggunaan bahasa Melayu, Dr Faishal turut menarik perhatian tentang dapatan Banci Penduduk 2020 yang mendapati penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rumah semakin berkurangan.



Beliau berkata trend ini satu keprihatinan dan ia merupakan cabaran yang perlu dihadapi guru di sekolah.



Namun, AGAB telah menjadikan guru lebih bersemangat untuk menyumbang dan mendidik pelajar supaya lebih minat belajar bahasa dan budaya Melayu, kata Dr Faishal, dengan ramai penerima anugerah itu menggunakan pendekatan kreatif dan inovatif.



Misalnya, finalis AGAB tahun ini, Cikgu Nor Azlin Abdul Aziz, menggunakan teknologi maklumat untuk menambah nilai amalan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas bahasa Melayu.



Menyentuh tentang penerima AGAB pada tahun ini dan tahun-tahun yang lalu pula, Dr Faishal berkata golongan ini mempunyai dedikasi dan komitmen dalam mencapai kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di dalam dan di luar bilik darjah.



"Selain bakti profesional mereka terhadap pengajaran dan pembelajaran, sikap keprihatinan terhadap keperluan dan kebajikan para pelajar mereka juga amat menyerlah.



"Jadi, saya rasa bangga dengan pencapaian mereka. Perkembangan sumbangan guru-guru AGAB sejauh ini amat memberangsangkan," kata beliau.



"Ramai penerima AGAB melibatkan diri dalam pertubuhan di peringkat sekolah, nasional dan akar umbi masing-masing. Jadi tahun demi tahun, saya rasa gembira dapat melihat bukan saja semangat ini semakin tinggi, semakin kuat malah saya rasa gembira dapat melihat sekarang mereka memikirkan apakah usaha selanjutnya yang mereka boleh lakarkan," tambah beliau.




APA KATA PENGERUSI BERSAMA AGAB



"Banyak yang saya pelajari daripada Cikgu Harris, Cikgu Salbiah dan anggota Sekretariat dalam menjayakan AGAB, suatu anugerah yang tidak mudah prosesnya. Satu perkara penting yang saya hargai adalah usaha dan tekad semua yang terlibat untuk memastikan prosesnya telus, dapat dipertanggungjawabkan, dan adil kepada semua yang dicalonkan agar nama baik AGAB sebagai anugerah yang berprestij kekal kukuh di mata masyarakat."
- Dr Mukhlis Abu Bakar, Pengerusi Bersama.



"Saya dapat lihat bagaimana guru-guru AGAB kita berjaya memainkan peranan sebagai pendidik mengikut perkembangan semasa dan menepati jangkauan serta aspirasi masyarakat / pihak berkepentingan. Guru-guru AGAB tidak mengecewakan, terus berjuang bukan sahaja untuk melestarikan pembelajaran dan penggunaan BM dengan baik, malah menggunakan kesempatan yang sedia ada ketika mengajarkan BM di sekolah untuk memupuk nilai-nilai murni seperti jati diri, budi pekerti, adab, kesopanan dan tatasusila yang memberatkan kesantunan peribadi anak didik mereka dengan sebaik mungkin. Inisiatif kementerian seperti celik IT, keseronokan belajar, memupuk kemahiran serta kemahiran abad ke-21 terus diadun dan dianyam ketika mengajar di bilik darjah, memastikan anak didik mereka tidak ketinggalan meraih pengalaman sekolah yang mampu mempersiapkan mereka menghadapi cabaran serta mencorak kehidupan masa depan yang cemerlang."
- Encik Abdul Harris Sumardi, Pengerusi Bersama.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >