Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Faishal: Rumah peralihan boleh perkukuh proses pemulihan bekas pesalah dadah

May 18, 2022 | 05:30 AM



DUA rumah peralihan Melayu/Islam di sini boleh bekerja lebih rapat untuk memperkukuh proses pemulihan bekas pesalah guna dadah dalam masyarakat serta membantu mereka bersepadu semula ke dalam masyarakat dengan lebih baik.



Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim, berkata bahawa ini sejajar dengan usaha yang dijalankan bersama rangkaian pertubuhan Melayu/Islam setempat serta sebahagian daripada usaha lebih kukuh untuk mengurangkan kadar residivisme atau pesalah yang kembali melakukan kesalahan dalam tempoh lima tahun.



Dr. Faishal berkata demikian ketika ditemui Berita Harian di sesi pertemuan Inspirasi semalam.



Inspirasi merupakan salah satu program di bawah kempen Dadah Itu Haram yang menghimpunkan pesalah guna dadah yang sedang menjalani program pemulihan; untuk menyampaikan kata nasihat dan motivasi kepada penghuni di rumah peralihan.



Ini kali keempat Inspirasi diadakan sejak 2019.



Acara semalam disertai oleh sekitar 60 penghuni Rumah Peralihan Pertapis dan Rumah Peralihan Jamiyah, Darul Islah.



Acara yang diadakan di Rumah Peralihan Pertapis di Lorong 34 Geylang itu juga disokong Biro Narkotik Pusat (CNB) bersama Rumah Peralihan Pertapis dan Darul Islah.



Ini merupakan kali pertama Inspirasi dianjurkan secara fizikal bagi penghuni dari kedua-dua rumah peralihan itu di satu lokasi.



Menarik perhatian lebih banyak usaha yang boleh dijalankan dengan kerjasama pertubuhan berbeza, Dr. Faishal berkata bahawa acara semalam menunjukkan kedudukan lebih kukuh kedua-dua rumah peralihan untuk membantu pesalah guna dadah dalam proses pemulihan dan penyepaduan semula mereka.



"Saya gembira melihat kerjasama ini, bukan sahaja bagi Inspirasi, tetapi juga dalam rangka kerja lebih luas untuk memperkukuh seluruh rangkaian dan pertubuhan masing-masing untuk memainkan peranan dalam proses pemulihan dan penyepaduan semula ini," katanya.



Acara semalam turut diserikan dengan pelbagai persembahan oleh penghuni kedua-dua rumah peralihan itu termasuk hadrah, dikir barat dan nyanyian lagu Hari Raya.



Beberapa penghuni dan bekas penghuni dua rumah peralihan itu turut berkongsi pengalaman pemulihan mereka, yang bertujuan memberi dorongan kepada penghuni lain yang sedang menjalani pemulihan.



Antara mereka termasuk Encik Md Daniel Ismail, 45 tahun, yang menjalani program pemulihan selama enam bulan di Rumah Peralihan Pertapis pada 2017.



Sebelum itu, dia dijatuhi hukuman penjara 14 tahun setengah bagi kesalahan dadah.



Menerusi program pemulihan yang dijalaninya, Encik Daniel berkata dia dapat meraih kemahiran baru yang mempersiap dirinya untuk mendapatkan pekerjaan.



Kini, dia bertugas sebagai penyelia pemindahan barang dengan Pertapis.



"Saya terdorong untuk berubah kerana saya rasa sedih melihat ibu saya yang sudah berusia datang melawat saya (di penjara) setiap dua minggu dan meminta saya berubah.



"Saya nak buktikan kepada ibu, keluarga dan orang di keliling saya bahawa saya boleh jadi orang yang lebih baik. Saya juga ingin mendorong pesalah dadah yang sedang jalani pemulihan... bahawa mereka juga boleh berubah," ujarnya.



Acara semalam turut dihadiri Presiden Pertapis, Encik Hussaini Abdullah; Setiausaha Agung Pertapis, Encik Mohd Shaharin Nordin; Ketua Rumah Peralihan Pertapis, Encik Sufian Salim; serta Ketua Rumah Peralihan Jamiyah (Darul Islah), Encik Mohd Faizal Abas.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >