Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Faishal: Warga emas dapat manfaat Pakej Generasi Merdeka

Mar 21, 2019 | 05:30 AM



MASYARAKAT Melayu menghargai pelbagai faedah yang dapat dinikmati warga emas menerusi Pakej Generasi Merdeka (MGP), yang diperkenal bagi warga Singapura yang dilahirkan pada 1950-an.



Malah menurut Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, beliau yakin golongan ini akan merasakan manfaat dan kesan sumbangan yang diberi pemerintah menerusi pakej itu apabila mereka mula menggunakan skim dan subsidi yang disediakan.



Isu MGP dan subsidi penjagaan kesihatan merupakan antara tajuk hangat yang dibincangkan semasa satu dialog tentang Belanjawan 2019 di Wisma Geylang Serai, kelmarin.



Ini merupakan kali pertama rangkaian M Kuasa Tiga (M³) - merangkumi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Yayasan Mendaki dan Majlis Penyelaras Kumpulan Kegiatan Melayu Persatuan Rakyat (Mesra) - menganjurkan bersama sesi dialog pasca Belanjawan.



Sekitar 180 peserta termasuk pemimpin masjid, pemimpin akar umbi serta wakil daripada Mendaki dan badan Melayu/Islam lain seperti Persatuan Persuratan Pemuda-Pemudi Melayu (4PM), Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Perdaus menghadiri sesi itu.



Dalam sesi yang berlangsung sekitar dua jam itu, Dr Faishal dan Anggota Parlimen GRC Jurong, Cik Rahayu Mahzam, menerangkan beberapa soalan yang dikemukakan berhubung Belanjawan tahun ini.



Salah seorang peserta, Encik Roslee Puasa, 48 tahun, antara lain berpendapat bahawa kesan MGP tidak dapat dirasa meskipun terdapat pelbagai faedah yang ditawarkan.



Menurut pengerusi Jawatankuasa Kecemasan dan Pendekatan Masyarakat (C2E) Punggol East itu, penduduk di kawasan itu sedar tentang MGP namun tidak begitu ghairah membincangkannya kerana merasakan ia kurang 'oomph'.



Mengulas tentang hal itu, Dr Faishal berkata penduduknya juga tidak pasti tentang manfaat Pakej Generasi Perintis (PGP) semasa ia diumumkan dahulu.



"Namun, selepas mereka pergi ke poliklinik dan hospital dan melihat bil perubatan mereka, baru mereka dapat melihat kesannya.



"Seperti PGP, saya yakin MGP juga akan meninggalkan kesan pada penerimanya," ujarnya.



MGP antara lain menawarkan manfaat seperti tokokan Medisave $200 setahun bagi lima tahun; subsidi tambahan bagi jagaan pesakit luar sepanjang hayat mereka dalam bentuk subsidi Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) khas bagi penyakit biasa, kronik dan prosedur gigi; serta subsidi 25 peratus daripada bil di poliklinik dan klinik pakar pesakit luar.



Sesetengah peserta turut bertanya mengapa tokokan Medisave itu tidak diberi dalam jumlah $1,000 sekali gus berbanding $200 setahun bagi lima tahun.



Menurut Dr Faishal, pemerintah sudah meneliti cara penggunaan Medisave dan menganggap tokokan $200 setahun yang diberi selama lima tahun itu adalah wajar.



Ada juga peserta yang mengutarakan tentang kekurangan manfaat bagi ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas dalam Belanjawan tahun ini.



Mengulas tentang hal itu, Cik Rahayu akur dengan keprihatinan itu dan berkata beliau malah pernah bertemu dengan penduduk yang berkata beliau rela anak istimewanya mati dahulu kerana beliau risau hendak meninggalkannya di dunia ini sekiranya beliau yang pergi dahulu.



Namun, tambahnya, terdapat skim tertentu yang boleh membantu keluarga ini.



Dalam pada itu, salah seorang peserta, Encik Ramli Puteh, 65 tahun, turut mengutarakan tentang perlunya mempersiap dan meningkatkan kemahiran pemimpin masyarakat bagi mengukuhkan rangkaian M³ mendekati masyarakat dengan lebih berkesan.



"Pemimpin masyarakat kita mempunyai jiwa yang kukuh mahu berkhidmat. Pada masa yang sama... saya rasa mereka memerlukan suntikan kesegaran dari segi ilmu, keupayaan dan pengolahan isu yang bakal dihadapi menerusi M3.



"Jadi, saya syorkan supaya latihan diberi kepada pemimpin ini agar mereka berupaya... mengetengahkan isu itu," ujar anggota Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Sengkang Central itu.



Bercakap dengan media selepas sesi itu, Dr Faishal berkata ini satu usulan yang baik kerana usaha wajar dijalankan bagi meningkatkan kemahiran ahli akar umbi agar mereka dapat memainkan peranan yang lebih mendalam dalam pelbagai segmen dan sektor.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >