Fasa kedua pembinaan sistem kumbahan terowong bawah tanah dimula

KERJA pembinaan bagi fasa kedua 'lebuh raya' bawah tanah bagi mengangkut air yang telah digunakan di seluruh negara bermula hari ini.

Apabila siap pada 2025, Sistem Kumbahan Terowong Bawah Tanah (DTSS) Fasa 2 akan menyalurkan air yang telah diguna di bahagian barat negara melalui kaedah graviti ke loji penambakan Airbaru di Tuas.

Projek bernilai $6.5 bilion oleh agensi air PUB itu juga akan membebaskan 83 hektar tanah - kira-kira saiz 116 padang bola sepak - yang buat masa ini menempatkan Loji Pemulihan Air di Ulu Pandan dan Jurong, sekitar 70 stesen pam dan banyak lagi loji rawatan pembetungan.

Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, memulakan majlis pecah tanah di Jalan Penjuru, Jurong East, tadi.

"Kita telah melalui betapa tidak menentunya corak cuaca dan kita menjangkakan musim kering akan diperburuk dengan perubahan iklim. Maka itu, adalah penting untuk menambah sumber air kita melalui pemulihan agar ia boleh digunakan berulang kali, dengan kitaran tanpa henti," ujar Encik Masagos.

DTSS Fasa 2 itu juga akan memberi rangsangan kepada bekalan Airbaru kita, tambah Encik Masagos.