Subuh
5:35
Syuruk
6:51
Zuhur
12:56
Asar
4:03
Maghrib
6:58
Isyak
8:06
Setempat

Fatris undur diri selaku Mufti selepas hampir 10 tahun; Nazirudin Mufti baru

Hannan, Murat dua timbalan baru
Jan 09, 2020 | 06:01 PM

USTAZ Dr Nazirudin Mohd Nasir akan dilantik Mufti menggantikan Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram pada 1 Mac ini.

Pelantikan Dr Nazirudin, 43 tahun, diumumkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada Khamis (9 Januari) dalam rangka beberapa perubahan kepimpinan keagamaan utama badan berkanun itu.

Ini termasuk pelantikan dua Timbalan Mufti - Ustaz Mohd Murat Md Aris dan Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan.

Dalam kenyatannya Khamis (9 Januari), Muis berkata, Dr Nazirudin, yang kini menyandang jawatan Timbalan Mufti, mempunyai pengalaman luas di Pejabat Mufti dan telah memberi sumbangan penting dalam menyokong Dr Fatris mengembangkan dasar-dasar keagamaan di sini.

Mengulas pelantikannya, Dr Nazirudin berkata beliau berendah hati diberi kepercayaan memikul tanggungjawab sebagai Mufti dan bertekad menyambung kerja baik yang telah dilaksanakan Mufti terdahulu.

“Saya rasa beruntung telah mendapat manfaat daripada bimbingan Dr Fatris selama lebih 10 tahun. Beliau serta asatizah mapan dan cendekiawan agama di Singapura ialah contoh bagi saya ikuti dalam membangunkan kehidupan sosioagama yang dapat menjadi contoh dalam dunia moden,” ujar beliau.

Dr Fatris, 49 tahun, telah berkhidmat sebagai Mufti selama sembilan tahun. Beliau memulakan kerjayanya di Madrasah Aljunied pada 1993 dan pernah menjadi pengetua Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah selama enam tahun.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian