Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Fatwa bimbing masyarakat kenali, waspada ajaran sesat

Muis: Fatwa dikeluarkan susuli kes lelaki yang dakwa dirinya 'nabi', tidak diiktiraf ARS
Dec 09, 2021 | 05:30 AM



JAWATANKUASA Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah mengeluarkan fatwa bagi membimbing masyarakat Islam mengenal pasti dan berwaspada terhadap ajaran sesat.



Empat ciri ajaran sesat yang dikenal pasti ialah: dakwaan oleh guru yang menerima wahyu atau ilham; mengubah hukum agama seperti mengamalkan nikah batin; percaya kepada maksud tersembunyi di sebalik Al-Quran yang bercanggah dengan ajaran yang diketahui; serta amalan ruqyah atau rawatan kerohanian yang melanggar prinsip agama.



Menurut satu kenyataan Muis semalam, fatwa itu dikeluarkan menyusuli soalan yang diterima berkenaan laporan media pada 9 November tahun lalu tentang kes ajaran sesat.



Kes itu melibatkan seorang lelaki yang didakwa mengaku dirinya 'nabi', dan tidak diiktiraf Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Bekas tukang urut berusia 50-an tahun itu juga dilaporkan telah menjalani 'nikah batin' bersama lima wanita.



Menurut kenyataan Muis semalam, Jawatankuasa Fatwa telah diberi kuasa dan mengikuti proses yang menyeluruh untuk menilai mana-mana bentuk ajaran Islam, seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla).



Proses itu termasuk meneliti ajaran oleh kumpulan atau individu tertentu, meraih bukti, serta mengenal pasti ciri-ciri ajaran sesat yang disebar individu atau kumpulan itu.



Semua keputusan fatwa yang telah dikeluarkan mengenai ajaran sesat dahulu mengikuti proses ini, kata Muis.



Dalam kes-kes lepas, bukti yang diperolehi oleh Jawatankuasa Fatwa termasuk buku dan tulisan yang jelas dikaitkan dengan ajaran tertentu; kandungan dalam talian yang menyebarkan ajaran itu; pengakuan jelas oleh pemimpin dan pengikut kumpulan bahawa mereka menganut dan mengamalkan ajaran tersebut.



"Mungkin terdapat kes di mana kesahihan keterangan tidak dapat ditentukan oleh Jawatankuasa Fatwa kerana ia di luar bidang kuasanya untuk menyiasat.



"Dalam kes sedemikian, Jawatankuasa Fatwa tidak akan dapat membuat kesimpulan bahawa kumpulan tertentu adalah sesat atau sebaliknya, tetapi boleh mengeluarkan panduan umum kepada masyarakat Islam tentang ciri-ciri ajaran sesat supaya melindungi masyarakat dan mengelakkan mereka daripada menjadi mangsa kumpulan sebegini," kata Muis.



Oktober lalu, Muis berkata ia telah selesai membuat siasatan berhubung kes ajaran sesat yang dilaporkan November tahun lalu itu, dan telah membuat satu laporan polis hasil siasatan tersebut.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, kemudian berkata dapatan kes itu akan didedahkan kepada awam oleh pihak berkuasa apabila siasatan selesai.



Semalam, Muis mengingatkan orang ramai supaya terus berwaspada terhadap individu atau kumpulan yang menyebar ajaran sesat.



Jawatankuasa itu juga menekankan pentingnya memperoleh ilmu agama hanya menerusi asatizah berkelayakan dan berdaftar di bawah ARS di Singapura.



Masyarakat juga diingatkan mempelajari daripada pelbagai asatizah dan tidak mendengar hanya dari satu sumber rujukan; serta berunding dengan asatizah dan ulama lain apabila mendengar "pandangan yang boleh dianggap bermasalah" daripada mana-mana individu.



"Masyarakat harus berwaspada terhadap mana-mana ajaran agama yang diajar atau diamalkan secara berahsia dan/atau eksklusif, atau daripada sumber yang mencurigakan atau tidak disahkan.



"Menjadi tanggungjawab setiap individu untuk menilai sumber ilmu, dan untuk memastikan ia boleh dipercayai," kata Muis.



Laporan lanjut:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >