Subuh
5:29
Syuruk
6:47
Zuhur
12:51
Asar
4:07
Maghrib
6:52
Isyak
8:02
Setempat

FB Live BH malam ini bincang kelonggaran majlis walimah

Sep 29, 2020 | 05:30 AM

BAGAIMANA kelonggaran kepada peraturan mengadakan majlis persandingan dapat membantu sektor persandingan dan acara setempat untuk 'bernafas semula'?

Macam mana pula majlis sedemikian dapat diadakan dengan selamat di bawah peraturan baru?

Bagaimana perincian bagi program perintis bagi majlis walimah di kolong blok?

Soalan-soalan berikut dan banyak lagi akan dibincangkan dalam sesi Facebook Live Berita Harian malam ini.

Bermula 8 malam di Facebook Berita Harian Singapura, sesi itu akan menampilkan beberapa tetamu termasuk Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Baru-baru ini, Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengumumkan kelonggaran bagi membolehkan majlis persandingan lebih besar diadakan, iaitu dengan membenarkan sehingga 100 orang menghadiri majlis sedemikian mulai 3 Oktober.

Langkah itu diumumkan MTF dalam rangka beberapa lagi kelonggaran bagi kegiatan di Singapura, sedang bilangan kes Covid-19 dalam masyarakat kekal rendah.

Mulai November ini, satu skim rintis juga akan dilancarkan bagi membolehkan majlis perkahwinan yang dianjurkan oleh penyedia khidmat berdaftar, diadakan di kolong blok atau dewan serbaguna Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Butiran lanjut akan diumumkan MOH di masa terdekat.

Dalam laporan BH baru-baru ini, sebahagian besar syarikat penyedia perkhidmatan perkahwinan telah menerima permintaan bagi majlis-majlis yang diurus mereka 'dinaik taraf' kepada pakej 100 orang.

Dalam sesi FB Live esok, salah seorang pemilik syarikat penyedia perkhidmatan perkahwinan, Cik Nurmaya Mohd Salleh, yang mengendalikan firma Irmaya Wedding Gallery, juga akan menyertai perbincangan bagi memberikan perspektif peniaga.

Beliau akan disertai Encik Mohamed Nor Ismail, pengerusi Kelompok Perkahwinan dan Acara di Dewan Perniagaan dan Perusahaaan Melayu Singapura (DPPMS). Beliau turut dikenali sebagai Kino.

DPPMS telah bekerjasama rapat dengan pemerintah untuk mengetengahkan keprihatinan dan saranan daripada para peniaga.

Sehubungan itu, Berita Harian (BH) juga baru-baru ini mengadakan sesi dialog bersama Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, dan Menteri Negara Kanan Encik Zaqy bagi membincangkan cabaran yang dihadapi firma-firma tersebut.

Orang ramai boleh mengikuti sesi perbincangan Facebook Live BH malam ini menerusi Facebook Berita Harian Singapura.

Like dan follow Facebook kami juga untuk dapatkan notifikasi.

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian