TAHUN lalu (2021) merupakan tahun kedua Singapura paling dibasahi hujan dalam rekod cuaca negara ini selepas 2007, jelas Khidmat Kaji Cuaca Singapura (MSS) pada Jumaat (28 Januari).
Hujan lebat melanda Singapura tahun lalu sehingga menyebabkan banjir kilat di pelbagai tempat termasuk Bukit Timah.
Ini berpunca daripada fenomena iklim La Nina yang menyebabkan lebih banyak hujan turun di kawasan khatulistiwa Asia Tenggara, sesuatu yang wujud pada 2021 dan 2007.
MSS, dalam laporannya tentang cuaca dan iklim di Singapura tahun lalu berkata, terdapat purata 3,167.7 milimeter hujan yang turun tahun lalu.
Pada 2007, purata hujan di sini adalah 3,266.1 milimeter - tertinggi sejak data pengumpulan kadar hujan dibuat pada 1980.
"Kondisi La Nina yang ada merupakan penyebab utama hujan yang turun lebih daripada biasa pada 2021," kata MSS.
Sewaktu wujudnya La Nina, angin pasat yang meniup daripada kawasan tropikal timur Lautan Pasifik ke arah bahagian barat lembangan semakin kencang. Ini menyebabkan perairan yang mulai hangat melingkari kebenuaan kelautan - yang termasuk Singapura dan Indonesia - akan lebih ketat dibendung mengelilinginya.