MENGADAKAN satu skim dermasiswa bagi anak kakitangan menjadi impian mendiang peguam Subhas Anandan.
Pada Rabu (6 Jan), sehari sebelum ulang tahun pertama kematian mendiang, hasrat beliau menjadi kenyataan.
RHTLaw Taylor Wessing dan Kumpulan Syarikat RHT telah melancarkan program biasiswa untuk kakitangan, dan menamakannya Anugerah Biasiswa RHT Subhas Anandan, sebagai penghormatan kepada peguam itu, yang merupakan rakan kongsi kanan firma guaman tersebut.
Enam pelajar menerima dermasiswa bernilai daripada $200 hingga $500 setiap satu itu bagi satu tahun akademik, untuk membantu perbelanjaan persekolahan asas mereka. Ini kali pertama firma itu menawarkan anugerah tersebut.
Isteri mendiang, Cik Vimala Anandan, 58 tahun, berkata: "Ia sudah tentu satu penghormatan besar dan saya gembira ini telah menjadi kenyataan walaupun beliau tiada untuk melihatnya."
Encik Rajan Menon, rakan kongsi kanan di RHTLaw Taylor Wessing, menambah: "Nama (anugerah dermasiswa ini) sesuai benar kerana ia pada dasarnya adalah kesinambungan kerja dan legasi Subhas."
Antara penerima dermasiswa itu ialah tiga anak Encik Mohammed Zakaria, 47 tahun, kerani penghantaran di firma undang-undang itu.
Encik Zakaria, yang bergaji bulanan $2,300, berkata wang itu boleh membantu menampung perbelanjaan pengangkutan dan makanan anak-anaknya, yang berusia 12, 17 dan 18 tahun. Isterinya bekerja sebagai penjual bunga sambilan.
Mengingati mendiang Subhas, yang meninggal dunia pada 7 Jan tahun lalu pada usia 67 tahun, beliau berkata: "Mendiang seorang bos baik yang benar-benar menjaga kami."
Mendiang antara peguam jenayah Singapura yang paling terkenal, mengendalikan kes pembunuhan berprofil tinggi dan mengasaskan Persatuan Peguam Jenayah Singapura lebih satu dekad lalu.
Beliau juga mengarang dua buku bestseller mengenai pengalamannya. Salah satu daripadanya, Its Easy To Cry (Mudah Untuk Menangis), dikeluarkan selepas kematian beliau.