Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:21

Firma kaji sistem sensor kenderaan lihat sekitaran, berhubung dengan kenderaan lain

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

MOBILITI BIJAK

Firma kaji sistem sensor kenderaan lihat sekitaran, berhubung dengan kenderaan lain

Dec 11, 2018 | 05:30 AM

Presiden Halimah Yacob mengadakan lawatan lima hari ke Belanda baru-baru ini - lawatan negara pertama ke negara itu oleh ketua negara Singapura. Semasa lawatannya, beliau berkunjung ke pelbagai hab inovasi di beberapa bandar di Belanda termasuk Amsterdam, Rotterdam and Eindhoven. Belanda menduduki tangga kedua dalam Indeks Inovasi Global 2018, dan Singapura menduduki tangga kelima, daripada sekitar 130 ekonomi. Berikut antara cara syarikat Belanda memperkenal huraian inovatif dalam pelbagai bidang. ERVINA MOHD JAMIL (ervinamj@sph.com.sg) melaporkan di halaman ini dan halaman berikut.

KALAU kenderaan tidak dipandu manusia, jumlah nahas jalan raya mungkin berkurangan, kata Pengarah Inovasi Sistem NXP Semiconductors Netherlands B.V., Cik Clara Otero Perez.

Ini kerana, menurutnya, kebanyakan nahas jalan raya rata-ratanya disebabkan kesilapan manusia.

Oleh itu, NXP sedang mengkaji satu sistem sensor yang membolehkan kenderaan 'melihat' sekitarannya dan berkomunikasi dengan kenderaan lain di sekelilingnya.

"Kalau ada lori besar di hadapan kenderaan saya dan saya tidak dapat melihat apa di hadapannya, sistem komunikasi ini membolehkan saya tahu apa yang sedang berlaku walaupun saya tidak dapat melihatnya.

"Dan kalau kereta di hadapan saya menekan brek, sistem ini dapat mengesannya dalam beberapa milisaat dan bergerak lebih perlahan atau membrek juga.

"Ini dapat mengelak daripada kemalangan berantai," ujar Cik Perez.

Namun, tambahnya, tidak semua kenderaan di jalan raya perlu dilengkapi dengan sistem itu bagi melihat kesannya.

"Contohnya, kereta di hadapan saya yang dilengkapi teknologi ini berhenti selepas mendapat maklumat daripada kenderaan di hadapannya, yang turut mempunyai sistem itu, dan ia juga berhenti.

"Saya yang di belakang mereka tidak dapat sebarang mesej kerana tidak mempunyai sistem itu tetapi kalau dari jauh saya lihat kenderaan di hadapan saya itu berhenti, saya juga akan memandu lebih perlahan," katanya.

Meskipun demikian, Cik Perez berkata, kesannya akan lebih ketara jika lebih banyak kenderaan di jalan raya itu dilengkapi dengan teknologi tersebut.

Teknologi serupa juga boleh digunakan bagi lampu trafik, ujarnya.

Dengan sistem itu, kenderaan kecemasan seperti ambulans boleh 'berkomunikasi' dengan lampu trafik bagi mendapatkan maklumat tentang laluan terbaik yang boleh diambilnya untuk mengelak lampu merah.

NXP juga telah menjalankan satu kajian dengan lori besar.

Apabila lori besar ini dilengkapi dengan teknologi itu semasa kajian tersebut dijalankan, Cik Perez berkata mereka mendapati ia dapat membantu syarikat jimat wang kerana teknologi tersebut membolehkan lori itu dipandu dekat antara satu sama lain.

Jarak yang dekat antara lori itu berupaya mengurangkan daya seret aerodinamik setiap lori dan ini mengurangkan jumlah minyak yang diperlukannya.

Kajian itu juga menunjukkan 'pemandu' elektronik lori itu juga dapat bertindak lebih pantas, berbanding manusia, kepada keadaan di kelilingnya.

Selain kenderaan tanpa pemandu, Cik Perez berkata, trend lain yang akan memacu pembangunan mobiliti bijak bagi kenderaan pada masa akan datang ialah pengurangan pencemaran dan perhubungan.

Asap daripada kereta mencemarkan udara dan oleh itu, lebih baik bagi alam sekitar sekiranya kenderaan dapat dikendali menggunakan sumber tenaga yang lebih bersih, ujarnya.

Trend ini mendorong permintaan bagi kereta elektrik dan mewujudkan kemungkinan serta peluang baru dalam industri automobil, kata Cik Perez.

Namun, dengan keterhubungan yang lebih meningkat, beliau berkata keselamatan juga amat penting dan diutamakan NXP.

"Kami harus memastikan tiada orang dapat menggodam sistem kereta itu. Ini barisan pertahanan pertama bagi keselamatan kenderaan itu," ujarnya.

Tahun lalu, NXP dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) melancarkan sebuah konsortium untuk menguji teknologi mobiliti bijak di kampus universiti itu.

"Singapura ingin mendahului rancangan mobiliti bijak ini... dan mereka telah menjalankan banyak kajian.

"Dan saya rasa terdapat banyak peluang menguji pelbagai teknologi ini di Singapura," kata Cik Perez.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3