Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Setempat0

DARI MAHKAMAH

Firma LT Sambo didenda $9,000 dek kendali dron tanpa izin

Jul 09, 2019 | 05:30 AM

CAWANGAN syarikat pembinaan Singapura LT Sambo didenda $9,000 semalam kerana mengendalikan dron tanpa permit.

Kesalahan itu sabitan dan hukuman pertama bagi kesalahan sedemikian di bawah undang-undang.

Syarikat itu, yang mengakui menerbangkan dron pada 17 November 2017, mengaku bersalah lebih awal terhadap satu kesalahan di bawah Perintah Navigasi Udara.

Mahkamah mendengar bahawa LT Sambo mengendalikan pesawat kecil tanpa pemandu "dalam menjalankan perniagaan" tanpa permit Aktiviti Kelas 1.

Dron itu dikenali sebagai DJI Phantom 4, yang seberat 1.38 kilogram, lapor akhbar The Straits Times.

Berita Popular

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata menerusi lamannya bahawa permit Aktiviti Kelas 1 diperlukan bagi kegiatan melibatkan pesawat tanpa pemandu atas tujuan "bukan riadah atau penyelidikan".

Ini termasuk perlumbaan kompetitif yang diadakan penganjur persendirian dan perniagaan yang menyediakan khidmat pengukuran atau fotografi.

Permit Aktiviti Kelas 1 tidak sah jika tiada permit pengendali pesawat tanpa pemandu keluaran CAAS.

Permit akan diberikan jika pemohon dapat memastikan operasi pesawat selamat.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Yanying berkata bahawa LT Sambo terlibat menjalankan kerja asas bawah tanah bagi projek pembangunan MRT di Marine Parade Road.

Syarikat itu berjaya memohon permit pengendali dron yang dikeluarkan pada 21 Ogos 2017.

Pada 27 September tahun itu, pengukur kuantiti, Encik Mohamad Wadud Al Hafiz Ponijan, mengemukakan permohonan kepada CAAS bagi permit aktiviti mengendalikan dron di sepanjang jalan.

Ini mahu dilakukan untuk mengambil rakaman dari atas buat rancangan kerja pembinaan.

Namun, keesokan harinya, CAAS memberitahu LT Sambo melalui e-mel bahawa pelan penerbangan yang dicadangkan melibatkan laluan penerbangan di atas jalan awam dengan kepadatan lalu lintas manusia serta kenderaan.

DPP memberitahu Hakim Daerah Luke Tan bahawa langkah mereka "menimbulkan potensi risiko tambahan terhadap kerosakan harta dan keselamatan diri" dan "langkah pengurangan risiko komprehensif diperlukan".

LT Sambo diminta memberikan butir langkah pengurangan risiko komprehensif kepada CAAS untuk dikaji sebelum permit diberi.

Namun, syarikat itu gagal memberi apa-apa kepada CAAS. Lantas, CAAS tidak membenarkan.

Sungguhpun demikian, jurutera awam LT Sambo, Encik Jung Han-Gun, membuat dua penerbangan dengan dron di Marine Parade Road pada 17 November 2017 selama 20 minit.

Pada setiap penerbangan, pesawat itu diterbangkan di sepanjang Marine Parade Road pada jarak kira-kira dua kilometer dan ketinggian maksimum empat tingkat blok HDB. Dron itu diterbangkan ketiga ketika pegawai polis muncul.

Semalam, DPP Tan menggesa mahkamah supaya menghukum LT Sambo dengan denda $10,000.

Beliau berkata:

"Operasi Sambo menyalahi undang-undang.

"Dron seberat 1.38 kilogram, mempunyai kelajuan sekurang-kurangnya 53.34 kilometer sejam, tanpa tindakan pengurangan risiko yang mencukupi dan memberi risiko kepada keselamatan orang lain, dan kerosakan pada harta benda".

Peguam bela Wong Tjen Wee memberitahu Hakim Tan bahawa langkah keselamatan dan berjaga-jaga telah dilakukan ketika pesawat diterbangkan hari itu.

Beliau berkata bahawa LT Sambo menggalas tanggungjawab penuh atas tindakannya itu.

Pesalah kali pertama boleh dikenakan denda hingga $20,000.

Pesalah berulang pula boleh dikenakan hukuman penjara hingga 15 bulan dan denda hingga $40,000.

Laporan lanjut berkaitan dron dalam Parlimen: Pemerintah timbang hukuman lebih berat, pengguna daftar dron

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map