PESURUHJAYA Buruh telah melaksanakan saranan oleh Kelompok Tiga Pihak bagi Pekerja Pembersihan (TCC) untuk meningkatkan gaji pekerja pembersihan setiap tahun dari 2023 hingga 2029.
Sejak semalam, ia juga melaksanakan definisi pekerja pembersihan tandas sebagai peranan kerja yang berbeza di bawah tangga gaji Model Gaji Progresif (PWM).
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam kenyataannya semalam berkata membayar pekerja pembersihan penduduk Singapura gaji progresif yang ditetapkan di bawah PWM adalah syarat sedia ada di bawah rejim pelesenan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) bagi perniagaan pembersihan am, yang dilaksanakan menerusi perintah yang dikenakan Pesuruhjaya Buruh.
Kenaikan gaji asas tahunan selama enam tahun dari 1 Julai 2023 hingga 30 Jun 2029 itu akan dilaksanakan apabila jadual gaji sedia ada berakhir pada 30 Jun 2023.
"Kenaikan gaji berterusan yang dijadualkan ini mencerminkan konsensus tiga pihak yang kukuh untuk meningkatkan gaji pekerja pembersihan sementara memberikan kepastian lebih besar dalam hal perniagaan dan kontrak kepada penyedia dan pembeli perkhidmatan," kata MOM.
Kenaikan gaji itu akan menyaksikan pekerja pembersihan menerima gaji bulanan asas sekurang-kurangnya $2,420 mulai Julai 2028, hampir seganda gaji yang mereka bawa pulang sekarang.
Misalnya, gaji bulanan asas seorang pekerja pembersihan am akan meningkat daripada $1,312 tahun depan kepada $1,570 pada 2023, iaitu bertambah 19.7 peratus.
Gaji bulanan asas itu akan meningkat 10.8 peratus kepada $1,740 pada 2024, 9.8 peratus kepada $1,910 pada 2025, 8.9 peratus kepada $2,080 pada 2026, 8.2 peratus kepada $2,250 pada 2027, dan 7.6 peratus kepada $2,420 pada 2028.
Ini bermakna pekerja pembersihan am akan menikmati kenaikan gaji kumulatif sebanyak 85 peratus sepanjang enam tahun itu.
Sementara itu, pekerja pembersihan tandas kini diberi definisi sebagai peranan kerja berbeza di bawah tangga gaji PWM untuk lebih mengiktiraf kepakaran dan tanggungjawab mereka.
MOM berkata perniagaan pembersihan akan perlu memastikan pekerja pembersihan tandas dibayar sekurang-kurangnya gaji sepadan dalam jadual gaji PWM.
Perniagaan pembersihan yang menawarkan khidmat pembersihan am yang didapati melanggar syarat pelesenan, termasuk syarat di bawah PWM, boleh dikenakan denda tidak melebihi $5,000 dan mungkin menghadapi risiko lesen perniagaan pembersihan mereka digantung atau dibatalkan.
Mereka yang menginginkan butiran lanjut mengenai jadual gaji dipertingkat, definisi setiap kategori pekerja pembersihan di bawah PWM, dan PWM itu sendiri, boleh merujuk kepada laporan TCC di laman web www.ntuc.org.sg/tripartiteguidelines.
Pekerja pembersihan yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi Pusat U Care Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) di talian 1800-255-2828.
GAJI ASAS BULANAN PEKERJA PEMBERSIHAN AM
- 2022: $1,312
- 2023: $1,570 (naik 19.7 peratus)
- 2024: $1,740 (naik 10.8 peratus)
- 2025: $1,910 (naik 9.8 peratus)
- 2026: $2,080 (naik 8.9 peratus)
- 2027: $2,250 (naik 8.2 peratus)
- 2028: $2,420 (naik 7.6 peratus)
PERATUS KENAIKAN: Pekerja pembersihan am akan nikmati kenaikan gaji kumulatif sebanyak 85 peratus sepanjang enam tahun itu