Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Gaji asatizah perlu selaras pasaran agar sektor agama mampu tingkat profesionalisme, kekal menarik

Mar 18, 2022 | 05:30 AM



Baru-baru ini diumumkan bahawa lulusan Program Sijil Possiswazah Islam Dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) yang bekerja sepenuh masa di masjid atau madrasah sepenuh masa akan menerima kenaikan gaji bulanan $100 sebaik sahaja menamatkan program tersebut. Isu gaji asatizah merupakan antara topik yang telah lama dibincangkan. BERITA HARIAN meninjau pendapat golongan asatizah serta pengamat sektor agama berkaitan perkembangan remunerasi asatizah sejauh ini.




GAJI asatizah yang selaras dengan pasaran pekerjaan memainkan peranan dalam memastikan sektor agama mampu terus mempertingkat daya profesionalisme serta kekal menarik.



Pada masa yang sama, pengamat dan pakar sektor tersebut berkata masyarakat Melayu/Islam juga perlu bersedia memainkan peranan dalam menampung kos penggajian asatizah.



Di samping itu, langkah yang lebih teliti, strategik dari pihak berkuasa diperlukan agar proses kenaikan gaji dipercepat, kata mereka.



Ini terutama sekali dengan peningkatan pada jumlah graduan pendidikan Islam setiap tahun dan lebih ramai asatizah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).



Pada masa yang sama, jumlah asatizah yang melebihi 'permintaan' mungkin menjadi hambatan dalam usaha menaikkan gaji kakitangan sektor itu, dan jika ini berlaku, ia perlu dibincangkan secara terbuka supaya mereka yang bakal menceburi sektor itu sedar akan cabaran yang perlu dihadapi, menurut pengamat yang dihubungi Berita Harian.



Dengan adanya cabaran sosio- agama abad ke-21 yang memerlukan dasar kepimpinan agama yang utuh dan lebih komprehensif, tanggungjawab yang dipikul asatizah semakin berat, kata Presiden Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan.



"Sekiranya badan seperti Pergas, madrasah, institusi keagamaan yang rata-rata diterajui oleh para asatizah mempunyai daya ekonomi yang tinggi dan aliran pendapatan yang utuh melalui dana masyarakat, geran pemerintah dan aset pelaburan, ia dapat mempercepatkan lagi proses kenaikan gaji sejajar dengan keperluan kos sara hidup yang semakin meningkat di Singapura," ujarnya dan menambah bahawa badan itu dalam proses membangunkan 'Model Gaji Progresif' dan membuat semakan gaji asatizah mereka.



Namun, beliau akui terdapat usaha positif ke arah remunerasi asatizah yang sejajar dengan sumbangan mereka.



Dalam pada itu, Zamil Kanan Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, berkata jumlah asatizah yang melebihi 'permintaan' adalah salah satu faktor yang mungkin melambatkan usaha kenaikan gaji asatizah.



Katanya, konsep 'demand and supply' (permintaan dan bekalan) memainkan peranan dalam pembentukan gaji asatizah.



"Mungkin benar permintaan untuk khidmat asatizah banyak, dan ini bermakna gaji asatizah sepatutnya meningkat, tapi jika 'supply' asatizah tinggi, maka ini akan menjadikan gaji asatizah juga turun.



"Hanya pihak berkuasa sahaja yang boleh memastikan 'supply' asatizah ini seimbang dengan keperluan masyarakat," kata Dr Norshahril.



Buat masa ini, terdapat lebih 4,900 asatizah di bawah ARS.



Jika perkara ini merupakan satu masalah, masyarakat perlu tahu agar golongan yang mahu menceburi bidang tersebut dapat memikirkan cabaran yang bakal dihadapi, ujarnya, dan berkata sejauh ini masalah gaji asatizah tidak pernah dibincangkan secara terbuka.



Bagi memenuhi keperluan landskap dakwah dan pendidikan Islam yang semakin berubah dalam era pendigitalan, asatizah perlu meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka melalui pelbagai program latihan peningkatan.



Justeru, tangga gaji yang rendah membuat sesetengah asatizah berasa sumbangan mereka kurang dihargai dan timbul persoalan di kalangan asatizah mengapa mereka "masih tidak mampu dibayar seperti karyawan lain", kata Pengasas dan CEO, Safinah Holdings, Ustaz Tarmizi Wahid.



Menurut Ustaz Mizi, isu gaji asatizah ini sudah lama dibincangkan namun proses untuk mencapai perubahan yang ketara agak lambat.



"Memang keadaan (sektor agama) secara keseluruhan sudah semakin baik dan ini diakui ramai asatizah.



"Tetapi mereka masih mempunyai keprihatinan berkaitan imbalan gaji yang diterima, terutama sekali melihat pada tanggungjawab dan tugas yang semakin berat," katanya.



Ustaz Tarmizi berkata jika sebab yang diberikan adalah kurangnya pendanaan, maka saranan yang dikemukakan sebelum ini untuk menggunakan wakaf bagi menampung kos penggajian dan pembangunan asatizah merupakan alternatif yang munasabah.



Tokoh agama tanah air, Ustaz Pasuni Maulan, yang juga merupakan anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) ke-18, berkata Muis sedang mengusahakan garis pandu yang boleh digunakan oleh semua institusi agama dalam penggajian asatizah.



Namun, majikan asatizah yang berbeza mungkin mempunyai kemampuan berbeza dalam menggajikan kakitangannya, jelas Ustaz Pasuni.



Sebagai contoh, asatizah madrasah yang di bawah Sistem Madrasah Bersama (JMS) mungkin menerima gaji lebih tinggi berbanding madrasah lain disebabkan geran yang diterima daripada Muis.



"Jika madrasah lain nak tingkat gaji asatizah maka terpaksalah naikkan yuran madrasah.



"Jadi ini ada kaitan dengan kemampuan madrasah, kalau kita dapat sedarkan masyarakat mereka perlu pendidikan madrasah, jadi dengan dana yang diberikan, madrasah boleh berikan gaji yang sesuai kepada asatizah," katanya.



Selain sokongan masyarakat, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, mengemukakan saranan bagi memanfaatkan harta wakaf dalam usaha menaikkan gaji asatizah.



Beliau berkata demikian dalam satu dialog dalam talian anjuran Berita Harian bersama asatizah setempat daripada pihak masjid, swasta dan madrasah.



Encik Masagos berkata dalam usaha mempertingkat kemahiran dan kepakaran asatizah, dana diperlukan bukan sahaja bagi persekolahan atau pentauliahan lebih tinggi buat mereka.



Malah, ia bagi memberi gaji yang setaraf dengan kepakaran yang mereka kongsi bersama masyarakat.



"Kita tidak boleh mengharapkan dana daripada pemerintah. Jika ia berkaitan agama, kita perlu mengusahakannya.



"Kita juga tidak mahu harapkan dana daripada luar negara kerana akan terdapat aturan dan pengaruh yang perlu dipatuhi," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >