Subuh
5:34
Syuruk
6:51
Zuhur
12:55
Asar
4:04
Maghrib
6:57
Isyak
8:06
Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

Galak isteri sahut undangan ke Tanah Suci walau diri tidak terpilih

May 06, 2022 | 05:30 AM

Bakal jemaah Singapura menerima surat tawaran menunaikan rukun Islam kelima itu semalam. BERITA HARIAN menemu ramah beberapa bakal jemaah tentang tawaran tersebut, termasuk perancangan mereka menyusuli penerimaan surat tawaran itu.


TERCENGANG sejenak Encik Hussain Wan Sulong apabila mendapat tahu beliau tidak memenuhi syarat umur yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji tahun ini.

Apatah lagi setelah beliau, 70 tahun, benar-benar berharap penantiannya lebih 10 tahun untuk ke Tanah Suci akan berakhir tahun ini setelah Arab Saudi membuka ibadah itu kepada jemaah antarabangsa.

Encik Hussain tidak memenuhi syarat Kementerian Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi bahawa orang yang dipilih untuk menunaikan haji tahun ini mesti berumur di bawah 65 tahun.

Namun, kekecewaan yang dirasakan Encik Hussain terubat sedikit apabila isterinya, Cik Sharifah Thalha, 56 tahun, antara 407 jemaah dari Singapura yang terpilih menyempurnakan rukun Islam kelima itu tahun ini, selepas menerima surat tawaran daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) semalam.

Jumlah itu sekitar 45 peratus daripada kuota haji rasmi negara ini sebanyak 900 jemaah sebelum ini.

Meskipun sedih tidak dapat berada di samping isteri menunaikan ibadah itu, Encik Hussain berkata beliau reda isterinya ke Tanah Suci dahulu dan berharap dapat pergi pada tahun-tahun akan datang.

"Memang pada mulanya terbayang dan tertanya-tanya juga, adakah diri ini tak diundang ke sana.

"Tapi fikir balik, dah memang rezeki, dan kemudian rasa gembira itu datang kerana lihat isteri seolah-oleh menerima undangan superVIP tahun ini.

"Saya beritahu beliau bertuah sangat kerana terdiri daripada golongan kecil yang terpilih dan jangan sia-siakan peluang ini," ujarnya, yang telah tiga kali menunaikan umrah tetapi belum berpeluang menunaikan haji.

Malah, pasangan itu baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah sebulan lalu.

Memandangkan ini kali pertama beliau ke sana untuk ibadah haji, Cik Sharifah mengakui agak gementar memikirkan keadaan di sana tanpa suaminya di sisi.

Beliau turut bimbang meninggalkan suaminya sendirian di flat mereka di Woodlands memandangkan mereka tidak mempunyai anak.

"Memang kita dah lama rancang dan kumpul duit nak pergi haji. Ingatkan tahun ini tak dapat pergi, jadi kita putuskan pergi umrah dulu.

"Apabila dapat tahu Arab Saudi dah buka kepada jemaah luar negara, kita harap dapat pergi. Jadi bila dapat surat tawaran ini rasa gembira campur sedihlah kerana suami tak dapat pergi," kata suri rumah itu.

Dengan galakan daripada suami beliau akan cekalkan hati dan membuat persediaan sewajarnya untuk berdikari di Tanah Suci, tambah Cik Sharifah.

Encik Hussain berharap syarat usia yang dikenakan itu tidak akan berlarutan dan akan dimansuhkan tahun depan, bagi membuka ruang kepada jemaah lebih berusia menunaikan rukun Islam kelima itu.

"Tapi kita fahamlah, mereka buat seperti ini kerana sebab-sebab tertentu, jadi kita pasrah dan yakin keadaan akan bertambah baik.

"Kalau diizinkan Allah, mungkin kita akan dapat tawaran tahun depan, tiada siapa yang tahu," katanya.

Jemaah yang terpilih untuk menunaikan haji tahun ini menerima surat tawaran rasmi hari ini dan telah dimaklumkan melalui e-mel serta SMS Rabu lalu.

Sebanyak dua Ejen Penjualan Individu (IGSA) dan dua Ejen Penjualan Konsortium (CGSA) telah dilantik oleh Muis untuk menawarkan pakej haji bagi tahun ini, dan bakal jemaah mempunyai pilihan memilih daripada 10 pakej yang telah diluluskan.


"Tapi kita fahamlah mereka (Arab Saudi) buat seperti ini (hadkan umur jemaah) kerana sebab-sebab tertentu. Jadi kita pasrah dan yakin keadaan akan bertambah baik. Kalau diizinkan Allah, mungkin kita akan dapat tawaran tahun depan, tiada siapa yang tahu."
- Encik Hussain Wan Sulong, yang usianya tidak memenuhi syarat Arab Saudi yang hanya membenarkan jemaah berusia di bawah 65 tahun.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3