DARI 10 pagi lagi, Cik Natasha Amin Mohammad bersama sekitar 60 sukarelawan pelbagai bangsa yang lain sudah sibuk mengadun doh untuk membuat kuih raya seperti kuih dahlia, suji, biskut ceri dan biskut mentega.
Meskipun kebanyakan sukarelawan termasuk dirinya sendiri tidak pernah membuat kuih, mereka tetap sama-sama bertungkus-lumus untuk menyiapkan sekitar 190 botol kuih.
Tetapi kuih yang dibuat Sabtu lalu itu bukanlah untuk mereka.
Sebaliknya ia dibuat untuk diagihkan kepada 150 keluarga yang kurang berkemampuan.
Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Masyarakat Muslim Ismaili dan SSA Culinary demi menceriakan lagi keluarga yang memerlukan menjelang Hari Raya nanti.
Para sukarelawan yang bertungkus-lumus selama empat jam di SSA Culinary itu merangkumi para pelajar, golongan profesional dan suri rumah pelbagai bangsa dan agama.
Menjelaskan tentang tujuan membuat kuih itu, Pengurus Kanan 4PM, Cik Zainon Haron, berkata:
"Apa yang menarik tentang acara ini ialah masyarakat berbilang bangsa dan agama bersatu untuk membuat kuih demi amal.
"Ia juga menunjukkan semangat gotong-royong yang masih mekar dalam masyarakat."
Bagi Cik Natasha, 31 tahun yang merupakan anggota Masyarakat Muslim Ismaili, pengalaman itu amat bermakna kerana bukan sahaja beliau dapat raih pengalaman baru tetapi juga ilmu dalam melakukan kerja-kerja amal.
"Ada yang bertanya kenapa tidak sahaja membeli kuih raya dan kemudian agihkan kepada mereka yang memerlukan, mentelah lagi ia lebih mudah dan menjimatkan.
"Tetapi acara ini bukan sahaja sekadar memberi kuih tetapi juga usaha ingin menyumbang kepada masyarakat daripada segi masa dan tenaga, melebihi wang.
Biskut-biskut Raya yang dibuat itu akan diagihkan kepada penerima semasa sesi membeli-belah Hari Raya bersama penerima yang akan berlangsung 25 Mei nanti.
Ia merupakan sebahagian daripada program Ramadan on Wheels (ROW) yang sudah menjadi program utama 4PM setiap tahun.
Selain itu, sekitar 40 sukarelawan lain telah membantu mengemas dan mengecat lima rumah keluarga yang memerlukan, di kawasan Circuit Road, Pipit Road dan Bedok North, kelmarin.