Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PARLIMEN

Gangguan MRT: Ye Kung tekan peri penting belajar dari kesilapan

Prosedur operasi, latihan perlu terus disemak; yang buat kesilapan perlu fikirkan cara lakukan tugas dengan lebih baik
Nov 04, 2020 | 05:30 AM



MENGURUSKAN sistem kereta api yang kompleks memerlukan komitmen semua yang terlibat untuk tidak leka dan terus belajar dan memperbaiki proses.



Tanggungjawab juga perlu dipikul semua secara kolektif tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak untuk terus melaksanakan misi utama untuk berkhidmat kepada penumpang.



Demikian ditekankan Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung sambil menambah antara faktor utama yang menyebabkan insiden gangguan MRT pada 14 Oktober adalah kesilapan manusia yang tidak disengajakan.



"Dengan gangguan baru-baru ini, semangat pasukan (SMRT) yang bekerja tentunya terjejas. Tiada siapa yang ingin perkara seperti ini berlaku, tapi bila ia berlaku ini tak seharusnya melemahkan semangat kita."



Encik Ong menambah ramai pekerja yang telah bekerja keras untuk memastikan khidmat MRT kekal sebagai antara khidmat yang paling dipercayai seluruh dunia, dan untuk itu orang ramai perlu meletakkan kepercayaan terhadap mereka.



"Dengan meletakkan kepercayaan (terhadap pekerja) dan juga diri kita sendiri, kita dapat bekerjasama untuk terus lakukan kerja-kerja yang diperlukan.



"Tanggungjawab seharusnya dipikul bersama sebagai satu pasukan, tanpa menuding jadi, baru kita boleh melakukan yang terbaik dan menutup jurang ini.



"Hanya dengan itu kita boleh terus memenuhi misi kolektif kita untuk berkhidmat kepada penumpang," ujarnya.



Encik Ong turut menekankan pentingnya mempertingkat keupayaan dan pengalaman kejuruteraan dan operasi untuk terus memperbaiki proses.



"(Kita perlu) terus menyemak prosedur operasi piawaian (SOP) dan latihan untuk kakitangan demi memastikan kesemua proses diperbaharui dan semua anggota pasukan tahu apa yang perlu dilakukan bila perlu," katanya,



Menjawab soalan Encik Saktiandi Supaat (GRC Bishan-Toa Payoh) berkaitan langkah disiplin untuk syarikat yang terlibat dalam gangguan tersebut, Encik Ong berkata walaupun struktur disiplin yang boleh digunakan jika perlu wujud, namun yang lebih penting adalah untuk memastikan pihak terlibat bekerjasama untuk memikirkan apa yang dapat dilakukan selepas itu.



"Pada pendapat saya apa yang lebih penting daripada mengenakan denda atau hukuman adalah supaya pasukan yang terlibat bersama-sama memikirkan apa yang boleh diperbaiki dan memikul tanggungjawab supaya mereka boleh menyatakan 'saya boleh lakukan sesuatu yang lebih baik' bersama tanpa menuding jari," katanya.



Beliau menambah langkah untuk mengenakan hukuman atau denda setiap kali kesilapan berlaku akan membuatkan semua orang ingin mempertahankan diri mereka sendiri, dan ini tidak akan membuahkan hasil yang baik.



Katanya: "Memang ada struktur disiplin dan kami akan menggunakannya jika perlu. Tetapi sebaik mungkin pastikan pasukan kekal bersatu kerana kebolehan untuk bekerjasama untuk manfaat penumpang lebih penting."



Selain itu, kerjasama Kementerian Pengangkutan (MOT) Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), SMRT dan juga SBS Transit (SBST) sebagai Satu Pasukan Pengangkutan juga penting dalam usaha terus memperbaiki pengangkutan awam Singapura.



Sementara itu, menyentuh tentang kesesakan yang berlaku di stesen MRT yang terjejas, Encik Ong berkata ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan.



Ini meskipun khidmat bas percuma sudah diatur dalam tempoh 35 minit selepas gangguan tersebut. Kakitangan SMRT juga telah membantu penumpang membuat aturan pengangkutan alternatif untuk meneruskan perjalanan mereka.



"Walaupun dengan (langkah-langkah) ini, stesen MRT yang terjejas tetap sesak. Malangnya ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan apabila berlakunya gangguan keretapi.



"Saya faham keprihatinan ramai tentang kesesakan ini terutama sekali dalam situasi Covid sekarang, namun tidak praktikal untuk memastikan jarak fizikal tanpa menyebabkan lebih banyak masalah untuk penumpang yang terjejas.



"Pasukan pengangkutan hanya perlu melakukan yang terbaik untuk memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi dan untuk memperbaiki keadaan dengan cepat jika ia berlaku."




“Pada pendapat saya apa yang lebih penting daripada mengenakan denda atau hukuman adalah supaya pasukan yang terlibat bersama-sama memikirkan apa yang boleh diperbaiki dan memikul tanggungjawab supaya mereka boleh menyatakan ‘saya boleh lakukan sesuatu yang lebih baik’ bersama tanpa menuding jari.”
– Menteri Pengangkutan Encik Ong Ye Kung




URUTAN PERISTIWA



6.58 petang: Gangguan sepanjang Lanjutan Tuas West menyebabkan bekalan elektrik terganggu. Bahagian kabel 22 kilovolt (kV) yang terbakar antara stesen Tuas Link dan Tuas West Road telah menyebabkan bekalan kuasa yang terjejas dan mengaktifkan pemutus litar berdekatan. Tapi satu pemutus litar gagal diaktifkan untuk mengasingkan gangguan bekalan kuasa sepertimana yang dirancang. Kegagalan tersebut menjejas sistem perlindungan kedua, memutuskan bekalan kuasa dari stesen kecil Depoh Tuas. Ini menjejas zon yang lebih besar merangkumi stesen sepanjang Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat (NSEWL). Perkhidmatan kereta api ditutup antara stesen Woodlands dan Jurong East di Laluan Utara-Selatan dan antara stesen Queenstown dan Gul Circle di Laluan Timur-Barat. Bekalan kuasa yang terputus menyebabkan 12 kereta api terhenti di trek. Ia juga menjejas lampu dan alat penghawa dingin dalam kereta api. Pengendali SMRT kemudian memutuskan mendapatkan kuasa dari stesen kecil Buona Vista yang membekalkan kuasa untuk laluan Circle Line (CCL). Kakitangan dan penyelia SMRT tersilap baca peralatan di pencawang dan menjangkakan gangguan di Tuas telah diasingkan.



7.34 malam: Kegagalan dalam mengasingkan gangguan sebelum mendapatkan kuasa menyebabkan satu lagi gangguan di pencawang Buona Vista.



Ini menjejas bekalan kuasa dan juga perkhidmatan kereta api antara stesen HarbourFront dan Serangoon di CCL. Ini menyebabkan tiga kereta api terhenti.



7.38 malam: SMRT memutuskan supaya penumpang keluar dari kereta api yang terhenti kerana mereka tidak mampu mengembalikan bekalan elektrik dengan cepat. Sebagai langkah keselamatan, alat perlindungan elektrik dipasang supaya kuasa tidak kembali di trek kereta api.



Kakitangan SMRT berjalan sepanjang trek ke arah kereta api yang terhenti untuk membantu penumpang.



7.53 malam: Penumpang di NSEWL mula keluar dari kereta api.



7.59 malam: Penumpang di CCL mula keluar dari kereta api.



8 malam: Bekalan kuasa kembali di CCL, tetapi SMRT tidak mengembalikan kuasa di sepanjang laluan di mana penumpang sedang keluar dari kereta api atas sebab keselamatan.



8.17 malam: Semua penumpang yang terkandas tiba di stesen terdekat.



8.42 malam: Penumpang dari 11 kereta api yang terhenti di NSEWL tiba di stesen terdekat.



8.43 malam: Perkhidmatan kereta api sepanjang CCL disambung secara bertahap.



8.44 malam: Proses mengeluarkan penumpang dari kereta api yang terjejas terhenti seketika disebabkan risiko hujan dan kilat. Seramai 78 penumpang masih berada di atas kereta api.



9.43 malam: 78 penumpang itu tiba di stesen Bukit Batok.



10.43 malam: Khidmat kereta api kembali seperti biasa secara bertahap di NSEWL.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >