Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Ganti rugi $20,000 bagi lelaki saman polis kerana ditangkap dengan salah

Jan 20, 2023 | 05:30 AM



SEORANG lelaki yang menyaman polis kerana menangkapnya dengan salah diberi ganti rugi $20,000 kerana dipenjara dengan salah selepas, Mahkamah Tinggi membuat keputusan berpihak kepadanya.



Namun, mahkamah menolak dakwaan kedua Encik Mah Kiat Seng, 48 tahun, bahawa seorang lagi pegawai polis telah mengasari beliau semasa beliau ditahan polis.



Dalam satu keputusan bertulis semalam, Hakim Philip Jeyaretnam mendapati bahawa pegawai polis Mohamed Rosli Mohamed mengada-adakan pemerhatian bahawa Encik Mah menggumam kepada dirinya sendiri dan meludah ke dalam beg plastik untuk mewajarkan beliau menangkapnya di bawah Akta Kesihatan Mental (Penjagaan dan Rawatan).



Pada mulanya, pegawai itu mendakwa dalam afidavit bahawa Encik Mah kadangkala "menggumam kepada dirinya sendiri", namun kemudian menarik balik dakwaan itu selepas menonton rakaman kamera yang dipakai di tubuhnya.



Di bawah undang-undang itu, pegawai polis mempunyai tanggungjawab untuk menangkap orang yang dipercayai berbahaya kepada diri mereka sendiri atau orang lain disebabkan masalah mental, supaya mereka boleh dibawa ke institusi psikiatrik.



Undang-undang tersebut juga menetapkan bahawa pegawai polis yang melakukan demikian akan dilindungi daripada liabiliti prosiding sivil atau jenayah, kecuali kalau beliau bertindak dengan niat buruk atau tanpa sikap berjaga-jaga sewajarnya.



Dalam kes ini, Encik Jeyaretnam mendapati pegawai yang menangkap Encik Mah bertindak dengan niat buruk.



"Sementara kebebasan bertindak harus diberikan kepada pegawai polis yang tidak mempunyai latihan perubatan dan perlu menjalankan tugas mereka dalam keadaan operasi, saya berpendapat bahawa dalam kes ini, terdapat kesilapan individu oleh pegawai polis terbabit yang menyebabkan Encik Mah dipenjara dengan salah, walaupun kurang sehari," ujarnya.



Beliau memutuskan bahawa Encik Rosli tidak mempunyai keyakinan jujur bahawa Encik Mah berbahaya kepada orang lain disebabkan masalah mental.



"Saya mendapati bahawa kelakuan Encik Mah seperti yang dipapar dalam rakaman itu tidak menunjukkan bahawa beliau berbahaya kepada orang lain, dan dari segi kewarasan minda, beliau hanya menunjukkan sikap aneh yang tidak kelihatan seperti masalah mental," kata Encik Jeyaretnam.



Hakim Jeyaretnam berkata sikap aneh itu boleh dianggap sebagai sikap tidak hormat.



"Saya mendapati bahawa... Encik Rosli, yang sedar bahawa beliau tidak boleh menangkap Encik Mah bagi hal yang dilaporkan kerana ia kesalahan yang tidak boleh membawa kepada penangkapan, tidak suka dengan Encik Mah kerana kelakuannya yang menunjukkan sikap tidak hormat, termasuk tidak memberi kad pengenalannya langsung kepada beliau.



"Ini yang mendorongnya membuat dakwaan bahawa Encik Mah membebel kepada dirinya sendiri dan meludah ke dalam beg plastik," ujar beliau.



Dalam pada itu, Hakim Jeyaretnam menolak dakwaan Encik Mah terhadap seorang lagi pegawai polis, Encik Lawrence Tan, yang menggari tangan beliau di lokap polis dan membawanya ke sel lain bagi membolehkan Encik Mah membuang air.



Beliau berkata rakaman pengawasan tidak menyokong dakwaan Encik Mah bahawa Encik Tan sengaja mencederakan pergelangan tangan dan lengannya.



"Encik Mah hanya mengalami rasa tidak selesa dan tanda pada kulitnya disebabkan cara biasa gari digunakan," kata Hakim Jeyaretnam.



Kes itu timbul daripada kejadian pada 7 Julai 2017, selepas seorang wanita menghubungi polis dan mendakwa seorang lelaki menyentuh kepala anaknya di Suntec City.



Pada kira-kira 8 malam, Encik Rosli dan Encik Tan menemui Encik Mah dekat sebuah bangku, dan, dengan bantuan dua pegawai lain, menggarinya dan menahannya di bawah akta tersebut.



Encik Mah ditahan di lokap daerah Divisiyen Polis Central pada kira-kira 10 malam. Beliau diperiksa oleh Dr Lin Hanjie, yang merujuknya ke Institut Kesihatan Mental (IMH) bagi rawatan pada kira-kira 10.20 malam.



Encik Mah dipindahkan ke sel sebelum diiringi ke IMH pada kira-kira 3 pagi pada 8 Julai 2017. Beliau dibenarkan keluar dari IMH pada kira-kira 7 malam pada hari sama.



Pada 2020, Encik Mah, yang mewakili dirinya sendiri, menyaman Peguam Negara, yang mewakili Pasukan Polis Singapura, dan dua pegawai itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >