KELUARGA seorang wanita yang maut setelah tercampak dari sebuah bas persiaran di Malaysia pada 2018 akan menerima $650,000 sebagai pampasan, setelah kes itu selesai di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah, yang mengeluarkan alasan lisan ringkas awal bulan ini mengenai penilaian kerugian, mengambil kira jangka hayat dan umur persaraan kerjaya warga Singapura itu dalam menentukan tuntutan pentadbir harta pusakanya, lapor akhbar The Straits Times.
Ketika kemalangan pada 7 Disember 2018 itu, Allahyarhamha Serina Mat Idris, 27 tahun, dalam perjalanan ke Genting Highlands untuk menyambut ulang tahun perkahwinannya yang ketiga bersama suami dan bayi lelakinya serta beberapa anggota keluarga yang lain.
Allahyarhamha, seorang pendidik prasekolah ketika itu, sedang duduk di barisan hadapan bas dua tingkat itu apabila rempuhan sebuah lori di Negeri Sembilan menyebabkan beliau tercampak keluar melalui tingkap hadapan, mengakibatkan kecederaan maut.
Dua tahun kemudian, suaminya, Encik Ahmad Sumidja Masiran, menyaman pemilik dan pemandu bas Transtar Travel itu, menuntut ganti rugi.
Pada Disember 2020, dua tertuduh itu menerima tanggungjawab 100 peratus atas kematian Allahyarhamha dan perbicaraan bagi menilai ganti rugi dijalankan tahun lalu di hadapan Hakim Kannan Ramesh.
Encik Sumidja, yang diwakili peguam Niru Pillai, Rapinder Kaur dan Phang Cunkuan daripada Niru & Co, menuntut ganti rugi bagi kehilangan pergantungan, seperti pendapatan yang akan disumbangkan oleh Allahyarhamha kepada sara hidup keluarga, dan juga kehilangan pewarisan, seperti dana terkumpul dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) seandainya beliau masih hidup.
Melalui peguam Chan Chin Ling daripada Dentons Rodyk, Transtar bersetuju dengan cara penilaian luas berhubung tuntutan itu, tetapi tidak bersetuju mengenai input khusus, kata Hakim Kannan.
Hakim Kannan menerima bahawa umur persaraan Allahyarhamha 62 tahun, setelah mendengar hujah kedua-dua pihak, dan mengambil kira peningkatan pendapatan Allahyarhamha kerana beliau akan dinaikkan pangkat sebagai pendidik kanan tahun ini.
Pada masa pemergian beliau, Allahyarhamha ialah seorang pendidik di salah sebuah cawangan rangkaian pra-sekolah Sparkletots.
Hakim Kannan menganugerahkan $522,228 bagi tuntutan kehilangan pergantungan.
Berhubung tuntutan kehilangan pewarisan, beliau menganugerahkan $103,953 selepas menolak $213,000 sebagai wang yang akan dimasukkan oleh Allahyarhamha ke dalam Jumlah Persaraan Asas CPF dan pinjaman perumahan yang beliau akan bayar daripada CPF-nya.
Encik Sumidja menuntut $316,953 bagi kehilangan harta pusaka, sebelum potongan $213,000 dibuat.
Hakim menganugerahkan $24,000 untuk baki perbelanjaan, seperti kos surat pentadbiran.
Beliau menggesa kedua-dua pihak mengemukakan penghujahan mengenai kos yang perlu dibayar.