KELAS GCE peringkat 'O' 2016 mencipta rekod baru dengan 84.3 peratus daripada mereka lulus sekurang-kurangnya lima mata pelajaran.
Ini mengatasi rekod 83.8 peratus - terbaik dalam sekurang-kurangnya tiga dekad - oleh kohort 2015.
Seramai 30,292 pelajar mengambil peperiksaan GCE 'O' tahun lalu, berbanding 29,723 pada 2015.
Dalam satu kenyataan media bersama pada Rabu (11 Jan), Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Peperiksaan dan Penilaian Singapura (SEAB) berkata keputusan itu "setanding dengan 2015".
Sebanyak 96.5 peratus pelajar lulus sekurang-kurangnya tiga mata pelajaran, manakala 99.9 peratus lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.
Ini lebih kurang sama dengan kelulusan 96.1 perarus dan 99.9 peratus kohort sebelumnya.
Bagaimanapun, prestasi calon persendirian berkurangan sedikit.
Daripada 1,865 calon persendirian yang mengambil peperiksaan itu tahun lalu, 90.2 peratus lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran. Angka ini rendah sedikit daripada 90.5 peratus bagi kohort sebelumnya.
Pelajar kembali ke sekolah menengah mereka mulai 2 petang Rabu untuk mengambil keputusan masing-masing.
Dalam satu pos Facebook pada Selasa (10 Jan), Menteri Pendidikan (Sekolah) Ng Chee Meng menggesa pelajar yang mengambil keputusan mereka supaya menghargai guru mereka dan orang yang disayangi atas sokongan mereka, yakin pada diri sendiri dan mencabar batas kebolehan mereka.