PENGANJUR Gegarfest 2.0, Chill Outz Events and Entertainment telah menambah bilangan penjual kepada 210 untuk acaranya yang berakhir Ahad lalu kerana permintaan yang meningkat daripada para penjual.
Dalam wawancara dengan Berita Harian (BH), Pengarah Operasi, Jualan dan Kewangan Chill Outz Events and Entertainment, Encik Ishmam Jalil Kamal Rouzie Ali Abdullah menyatakan bahawa industri acara semakin kukuh dan kelihatan positif bagi tahun hadapan walaupun pada awal tahun ini para penjual masih ragu-ragu jika ia akan berjaya seperti sebelum pandemik.
Chill Outz Events and Entertainment telah menganjurkan Gegarfest 2.0, satu acara tiga hari yang berlangsung hujung minggu lalu.
"Kini, ada peningkatan sekitar 30 peratus bagi para penjual yang menyertai acara anjuran kami berbanding sebelum Covid-19.
"Pada mulanya ketika kami menganjurkan acara Wisma Bazaar Ramadan awal tahun ini, bersama Orange Travel, ia boleh kelihatan para penjual agak ragu-ragu.
"Tetapi, pada Gegarfest 2.0, sekitar 210 penjual telah menyertai kami, meningkat daripada sekitar 169 penjual yang menyertai kami di Gegarfest yang dianjurkan Julai lalu," kata beliau.
Beliau menambah bahawa walaupun ia musim cuti sekolah dan ramai yang melancong keluar negara, mereka telah mendapatkan sambutan yang amat mengalu-alukan dengan sekitar 30,000 pengunjung yang menyertai acara tiga hari itu.
"Gegarfest 2.0 telah menerima sambutan hangat dan setiap petang, boleh kelihatan tempat acara itu sesak dengan para pengunjung walaupun kami telah memperluaskan ruang kami sebanyak 500 meter persegi buat kali ini," kata beliau.
Kini, syarikat-syarikat urusan acara kian sibuk dengan permintaan yang meningkat setelah kelonggaran sekatan Covid-19 dilaksana tahun ini.
Bagi syarikat Chill Outz Events and Entertainment, acara mega Gegarfest 2.0 adalah di antara beberapa acara mega yang mereka anjurkan bagi bulan ini.
Kelmarin, syarikat itu telah menganjurkan satu konsert bagi band dari Malaysia, Kugiran Masdo di The Star Theatre yang terletak di Star Vista.
Konsert itu mendapat sambutan hangat dengan 3,500 penonton yang menghadirinya.
Kini, syarikat itu sedang sibuk dengan persiapan bagi acara Rocket Fest yang akan dianjurkan bersama syarikat Sunset Rocket dan akan berlangsung akhir bulan ini.
Acara empat hari yang berlangsung pada 29 Disember hingga 1 Januari itu diramal menarik sekitar 3,500 pengunjung.
Berkongsi dengan BH, Encik Kamal juga menyatakan bahawa syarikat Chill Outz Events and Entertainment telah mendapat permintaan yang positif untuk menganjurkan beberapa acara pada tahun hadapan.
Di antaranya ialah acara Little Rocket pada bulan hadapan, Gegarfest 3.0 pada Jun dan Gegarfest 4.0 pada November.
Syarikat itu juga sedang dalam proses menyiapkan tender bagi beberapa bazar Ramadan yang akan berlangsung pada Mac dan April tahun hadapan.