Gejala denggi: Golongan tua paling berisiko, rawatan awal penting 

 

Diagnosis dan rawatan awal, serta pemerhatian rapi adalah cara utama untuk menentang denggi, kata seorang pakar.

Walau denggi boleh menjangkiti sesiapa sahaja,  risiko denggi membawa maut lebih tinggi bagi pesakit berusia 60 tahun dan ke atas, kata Profesor Leo Yee-Sin, pengarah eksekutif Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit Singapura. Tambah beliau, pesakit berusia antara 12 dengan 60 tahun -  yang tiada masalah kesihatan - biasanya boleh melawan denggi tanpa masalah.

Justeru, pengesanan dan rawatan awal, disusuli tempoh pemerhatian rapi adalah penting, kata Profesor Leo, bercakap dengan The Straits Times.

Beliau sedang mengulas tentang kes lelaki berusia 46 tahun yang meninggal dunia baru-baru ini selepas dijangkiti denggi.

Menurut Profesor Leo, lelaki itu besar kemungkinan telah mendapatkan rawatan di peringkat yang lanjut dan keadaannya telah mudarat apabila berbuat demikian.

Menurut Profesor Leo, pada hari kelima selepas dijangkiti denggi, tubuh seorang pesakit akan melalui perubahan pesat yang sukar dirawat.

Beliau menasihatkan supaya orang yang mengalami demam, sengal-sengal otot berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan untuk memastikan sama ada mereka mengalami demam denggi.

Sehingga 20 Julai, sembilan orang di Singapura, termasuk lelaki berusia 46 tahun itu, telah maut akibat denggi, pada tahun ini.

Mangsa yang lain semuanya berusia 60 tahun dan ke atas.