Subuh
5:41
Syuruk
7:05
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:31
Setempat

KORONAVIRUS: PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN MALAYSIA

Gembira disedia dormitori, kagum dibantu dengan pantas

Mar 19, 2020 | 05:30 AM

Demi membantu pekerja warga Malaysia yang terjejas ekoran pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan kelmarin, beberapa syarikat di sini telah berusaha mendapatkan tempat tinggal untuk pekerja mereka buat sementara waktu ini. Terdapat juga beberapa dormitori dan hotel yang telah membuka pintu mereka bagi menyediakan tempat penginapan sementara selama dua minggu ini. Berikut kisah pekerja dan majikan yang terjejas. Laporan Irma Kamarudin (irmak@sph.com.sg).

APABILA berita mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di seberang Tambak diumumkan kelmarin, Encik Aravinthan Subramaniam, seperti warga Malaysia lain yang bekerja di Singapura, rasa cemas dan bimbang akan nasib pekerjaan mereka.

Beliau, yang ketika itu sedang bercuti dan berehat di rumahnya di Nusa Bayu, Johor, mula menghubungi rakan kerja yang lain menerusi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat terkini tentang aturan yang disediakan.

Mujur, majikannya berjaya mendapatkan tempat tinggal buat beliau dan rakan sekerja yang lain di dormitori Homestay Lodge di Kaki Bukit Ave 3.

Homestay Lodge merupakan antara dormitori yang membuka pintu mereka dan menyediakan tempat tinggal buat sementara waktu ini kepada pekerja rakyat Malaysia yang terjejas, dengan dormitori itu menyediakan lebih 40 tempat buat pekerja tersebut.

Encik Aravinthan, 35 tahun, berkata majikannya telah menghubungi beliau pada sekitar 3.30 petang kelmarin untuk bertanyakan sama ada beliau mahu tinggal di Singapura buat sementara waktu ini atau mengambil cuti tidak berbayar selama dua minggu.

"Saya beritahu isteri saya untuk sediakan apa yang patut di rumah dan saya pula terus kemas pakaian dan bergegas pulang ke Singapura," kata penyelia kanan di sebuah syarikat khidmat penerbangan di sini.

Rakan kerjanya, Encik Tamotaran Raja Gopal, 54 tahun, juga melakukan yang sama dengan menyiapkan semua barangan yang perlu dan makanan buat isteri dan anak-anak sebelum pulang ke Singapura kelmarin.

"Saya mesti bimbanglah fikirkan isteri dan anak-anak saya sebab saya sayangkan mereka.

"Hari-hari saya selalu dapat tengok mereka tapi sekarang dua minggu ini agak lama," kata operator teknikal itu, yang tinggal di Skudai, Johor.

Encik Aravinthan dan Encik Tamotaran berkata mereka rasa gembira dapat disediakan tempat tinggal di sini dan boleh terus bekerja seperti biasa.

Mereka dan rakan sekerja lain yang tinggal di dormitori itu juga saling memberi sokongan moral antara satu sama lain dalam melalui tempoh dua minggu ini.

Tambah Encik Aravinthan, ramai rakan Singapuranya juga memberi mesej kepada beliau menerusi Facebook agar beliau tabah dan terus kuatkan semangat.

"Kami semua okay. Tempat tinggalnya pun bersih. Asalkan kami ada tempat untuk mandi, makan dan tidur, kami okay," kata beliau.

Encik Aravinthan berkata beliau juga rasa kagum pemerintah Singapura dapat bertindak dengan pantas untuk menghulurkan bantuan kepada syarikat dan pekerja Malaysia yang terjejas.

"Kami kagum dengan pemerintah Singapura kerana mereka pun tidak diberi masa panjang, malah dalam kurang 24 jam, mereka umum akan berikan bantuan.

"Kami tak sangka pemerintah (Singapura) akan bantu kami kerana kami tahu keutamaan mereka ialah rakyat Singapura mereka sendiri. Kami tahu ia mencabar dan kami rasa terharu," kata beliau.


LUAHAN HATI PEKERJA M'SIA YANG PILIH MENETAP SEMENTARA DI S'PURA

"Kami kagum dengan pemerintah Singapura kerana mereka pun tidak diberi masa panjang, malah dalam kurang 24 jam, mereka umum akan berikan bantuan.
"Kami tak sangka pemerintah (Singapura) akan bantu kami kerana kami tahu keutamaan mereka ialah rakyat Singapura mereka sendiri. Kami tahu ia mencabar dan kami rasa terharu.''

- Encik Aravinthan Subramaniam, penyelia kanan di sebuah syarikat khidmat penerbangan di Singapura.

"Saya mesti bimbanglah fikirkan isteri dan anak-anak saya sebab saya sayangkan mereka.
"Hari-hari saya selalu dapat tengok mereka tapi sekarang dua minggu ini agak lama."

- Encik Tamotaran Raja Gopal, operator teknikal