SETELAH lebih setahun tidak bersua, Encik Abdullah Ahmad akhirnya berpeluang bertemu dengan teman-temannya untuk bersarapan di kedai kopi kegemaran mereka selepas mendirikan solat dan menghadiri kuliah Subuh di Masjid Darul Ghufran baru-baru ini.
Beliau dan rakan-rakannya, semua pesara, berada di pusat penjaja Kopitiam di Our Tampines Hub (OTH) semasa ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.
"Percaya tak dik? Kita sudah lebih setahun tak jumpa!" kata datuk lima cucu berusia 73 tahun itu, yang pernah bekerja di industri perkapalan, kepada wartawan.
"Sudah sekian lama kami berkawan, ini adalah tempoh yang paling panjang kami tidak bertemu," tambah Encik Abdullah.
Teman beliau, Encik Rahmat Pagi, 72 tahun pula berkata:
"Sudah cukuplah kami duduk di rumah sahaja, sebab Covid dan kami pun dah berumur, mereka pun takut nak turun duduk sama sebelum ini."
Menurut kumpulan pesara itu, mereka lebih yakin untuk bertemu dan melakukan kegiatan sosial seperti pergi ke masjid kerana telah divaksin sepenuhnya dan yakin dengan langkah keselamatan yang dilaksana di tempat-tempat awam.
"Kita di sini pun berbual macam biasalah - saya kacau dia, dia kacau saya, berbual pasal anak, pasal agama, pasal hidup," kata Encik Mahat Mat Yatim, 74 tahun, bekas teknisyen dan datuk kepada sembilan cucu.
Seorang lagi anggota kumpulan itu, Encik Daud Md Yusoff, 74 tahun, berkata kegiatan bertemu teman itu adalah penting bagi kecerdasan minda serta menyibukkan diri di usia emas. Kopitiam di OTH itu merupakan antara 102 pusat penjaja yang kini boleh membenarkan sehingga lima orang yang divaksin sepenuhnya dari isi rumah berasingan untuk makan semeja.
Langkah itu sebahagian daripada usaha memperluas langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi (VDS) di pusat penjaja, yang memerlukan pusat-pusat penjaja melaksanakan pemeriksaan status vaksinasi di laluan masuk.
Dalam kenyataan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) di laman webnya pada awal minggu ini, lagi lapan pusat penjaja yang sedang menjalani ubah elok atau kerja-kerja lain akan menyertai senarai 102 pusat penjaja itu apabila dibuka semula.
Ini bermakna 110 pusat penjaja, yang difahami merangkumi semua pusat penjaja yang diuruskan oleh NEA atau pengendali yang dilantik NEA, kecuali Pusat Penjaja Jurong West yang masih belum beroperasi selepas ditutup pada tahun lalu.
Semasa BH mengunjungi cawangan Kopitiam di OTH baru-baru ini, orang ramai hanya dibenarkan memasuki perkarangan yang dikepung melalui dua laluan.
Setiap individu yang ingin memasuki kawasan tersebut perlu menunjukkan status vaksinasi dan mereka yang sudah divaksin sepenuhnya akan diberikan pelekat.
Di dalam pula, ada pegawai yang ditugaskan untuk memantau keadaan orang beratur untuk memastikan langkah jarak selamat dipatuhi.
Selain itu, beberapa pegawai penguatkuasaan NEA juga dilihat meminta sebahagian pelanggan menunjukkan status vaksinasi mereka.