NALURI seorang pegawai polis tidak hanya hadir ketika seragam tersarung.
Bagi Staf Sarjan Mohamad Khairul Aidil Mohamad Rosli, hatinya rasa tidak sedap pada 2 pagi ketika dalam perjalanan pulang setelah beberbelanja di pasar raya berdekatan rumahnya.
Meskipun tidak bertugas ketika itu, beliau rasa ada yang tidak kena pada lagak seorang pekerja asing yang berlegar di sekitar sebuah kontena menyimpan barang.
Lebih menjanggalkan, lelaki tersebut lari apabila melihat kereta polis yang meronda.
"Naluri saya memberitahu saya bahawa dia bukan orang yang baik. Saya ekori dia ke tingkat dua blok saya dan melihatnya memerhatikan kereta polis dari jauh," kongsi Staf Sarjan Khairul Aidil, 29 tahun.
Lelaki itu kembali ke kontena simpanan sejurus kereta polis itu tidak lagi kelihatan.
Menyedari dirinya diperhatikan, lelaki itu cuba lari. Namun, dia berjaya dikejar lalu ditahan Staf Sarjan Khairul Aidil, yang memperkenal dirinya sebagai pegawai polis.
Pegawai yang sudah sembilan tahun berkhidmat dengan Pasukan Polis Singapura (SPF) itu mendapati bahawa lelaki tersebut mencuri dawai tembaga untuk dijual kepada karung guni di kawasan Tekka.
Beliau kemudian menelefon pegawai polis Pusat Polis Kejiranan (NPC) Bedok North dan mereka mengambil alih daripada situ.
Semalam, pegawai polis NPC Nanyang itu menerima Kepujian Tertinggi dalam Majlis Kepujian Pesuruhjaya Polis 2019.
Majlis berlangsung di Mes Pegawai Kanan Polis Mount Pleasant Road di kawasan Thomson Road.
Pengiktirafan itu menghargai sumbangannya mengesan dan mencegah jenayah walaupun tidak bertugas.
Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi bagi seseorang pegawai polis. Seramai tujuh pegawai menerima anugerah itu semalam.
Selain itu, 50 individu dan 40 pasukan meraih anugerah Penghormatan Individu dan Penghormatan Pasukan oleh Pesuruhjaya Polis Hoong Wee Teck.
Anugerah itu bertujuan mengiktiraf usaha tekal, khidmat cemerlang dan kepimpinan baik sepanjang tahun lalu.
Antara pasukan yang menerima anugerah Penghormatan Pasukan ialah Pasukan Penguatkuasaan dan Penyelarasan Penipuan E-dagang (E-FECT) yang ditubuhkan pada November tahun lalu.
Sebanyak 26 penipu e-dagang telah ditangkap dan lebih 230 penipuan e-dagang diselesaikan sejak penubuhan pasukan tersebut.
Pengiktirafan tersebut memberi dorongan kepada pasukan yang baru ditubuhkan itu agar melakukan lebih banyak lagi.
Penolong Superintenden Polis (ASP) Esh Jegadeeshwaran Wadarajan berkata:
"Kami sebagai satu unit tidak hanya membuat penyelidikan daripada satu sudut, malah kami melakukan banyak perkara.
"Apabila kita diiktiraf, ini semestinya memberi kebahagiaan dan motivasi agar bekerja lebih keras lagi.
"Yang pasti, (mendapat) anugerah bukanlah titik akhir. Ini antara pencapaian penting bagi kami."
NPC yang menunjukkan prestasi baik dan lima orang awam yang menunjukkan semangat kemasyarakatan turut menerima penghargaan dalam majlis itu.
"Naluri saya memberitahu saya bahawa dia bukan orang yang baik. Saya ekori dia ke tingkat dua blok saya dan melihatnya memerhatikan kereta polis dari jauh."
- Staf Sarjan Khairul Aidil, 29 tahun.