Subuh
5:48
Syuruk
7:05
Zuhur
1:10
Asar
4:16
Maghrib
7:13
Isyak
8:22
Setempat

BELANJAWAN BERDAYA TAHAN

Geran baru diperkenal bantu pekerja hilang pekerjaan disebabkan Covid-19

Mar 27, 2020 | 05:30 AM

PEMERINTAH akan memperkenalkan satu geran baru untuk membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan disebabkan Covid-19.

Geran Bantuan Covid-19 itu akan menyediakan pekerja bergaji rendah hingga pertengahan yang hilang pekerjaan mereka dengan bantuan geran $800 setiap bulan bagi tiga bulan sehingga mereka dapat pekerjaan baru atau menyertai latihan.

Mengumumkan sokongan itu semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat berkata cara terbaik untuk melindungi rakyat adalah dengan memastikan mereka dapat kekal dalam pekerjaan mereka tetapi ada pekerja yang tetap akan terjejas.

"Sedang impak Covid-19 ke atas ekonomi menjadi lebih mendalam, ada pekerja akan kehilangan pekerjaan atau melihat pendapatan mereka dikurangkan secara ketara.

"Kami akan membantu mereka," kata Encik Heng.

Kriteria bagi Geran Bantuan Covid-19 termasuk pendapatan keluarga tidak lebih $10,000 sebulan atau $3,100 per kapita sebelum hilang pekerjaan; dan tinggal di rumah dengan nilai tahunan tidak lebih $21,000.

Pemohon itu juga harus mempunyai pekerjaan sepenuh masa, bekerja sambilan secara tetap, atau merupakan kakitangan kontrak sebelum hilang pekerjaan tersebut.

Geran itu akan disediakan di Pejabat Perkhidmatan Sosial dari Mei hingga September ini.

Pada masa yang sama, Encik Heng akur ada keluarga yang memerlukan bantuan segera sementara menunggu bantuan yang akan diperkenal itu.

Pemerintah akan menubuhkan Dana Bantuan Sementara pada bulan April untuk menyediakan bantuan kewangan segera.

Ini akan disediakan di Pejabat Perkhidmatan Sosial dan Kelab Masyarakat

Selain itu, pemerintah akan bersikap lebih fleksibel dalam mempertimbangkan permohonan bagi skim ComCare dalam tempoh ini, untuk memastikan warga Singapura yang memerlukan bantuan akan menerimanya.

Secara keseluruhannya, pemerintah akan memperuntuk $145 juta bagi skim baru tersebut serta dana ComCare yang akan diberikan secara lebih fleksibel itu.

Dalam pada itu, pemerintah juga akan menyediakan daya usaha dan program baru untuk membantu mereka yang sedang mencari pekerjaan.

Satu Program Pelatih SGUnited akan diperkenal untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang mencari pekerjaan buat kali pertama, termasuk lulusan baru dan mereka yang bakal tamat pengajian.

Di bawah program itu, agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) akan sama-sama mengongsi kos tenaga manusia dengan perusahaan yang menawarkan program pelatih kepada individu setempat.

Pemerintah berharap dapat menyokong sehingga 8,000 program pelatih dalam kedua-dua perusahaan besar dan kecil tahun ini.

Encik Heng turut berkata satu daya usaha Pekerjaan SGUnited akan dilancarkan untuk mewujudkan sekitar 10,000 pekerjaan dalam satu tahun akan datang, dengan sektor awam akan menerajui usaha itu.

"Kami akan merekrut bagi peranan jangka panjang dalam perkhidmatan awam dan institusi rakan sektor dalam bidang seperti khidmat sosial, pendidikan awal kanak-kanak dan teknologi infokom (ICT) agar kami boleh mempertingkatkan peruntukan perkhidmatan penting kami.

"Kami juga akan menawarkan pekerjaan jangka pendek, sementara untuk menangani operasi berkaitan Covid-19 yang semakin bertambah, seperti penolong deklarasi kesihatan, pegawai sokongan pengurusan sementara, dan Duta Pengangkutan seperti diumumkan Kementerian Pengangkutan awal minggu ini," kata beliau.

Encik Heng menambah pemerintah sedang bekerjasama dengan Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan persatuan dan dewan perniagaan untuk mengenal pasti peluang pekerjaan dalam sektor privet.

WSG juga akan melancarkan satu pameran kerjaya alam maya Pekerjaan SGUnited hari ini yang akan menawarkan lebih 2,200 kerja kosong.

Artikel Terkini