Gergasi cip GlobalFoundries akan labur $5.4b kilang di S'pura, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:13
Asar
4:34
Maghrib
7:17
Isyak
8:29
Suatu Ketika di Singapura

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat0

Gergasi cip GlobalFoundries akan labur $5.4b kilang di S'pura

Jun 23, 2021 | 05:30 AM

PENGILANG semikonduktor GlobalFoundries sedang meningkatkan kapasiti pengeluarannya di Singapura dengan pelaburan sebanyak AS$4 bilion ($5.4 bilion).

Pelaburan dalam bentuk satu kilang pembuatan baru itu dilakukan di tengah-tengah kekurangan cip di peringkat sejagat dan dijangka menambah sekitar 1,000 pekerjaan, kata firma itu semalam.

Sekitar 95 peratus pekerjaan itu akan merangkumi peranan yang bernilai tinggi seperti teknisyen peralatan, teknisyen proses, dan jurutera.

Pelaburan GlobalFoundries itu merupakan kerjasama dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi Singapura (EDB) dan pelaburan bersama dengan pelanggan.

Komitmen pelaburannya di sini adalah yang terbesar dalam beberapa tahun lalu, sedang negara ini menarik pelaburan dari syarikat multinasional dalam industri elektronik, kimia, dan farmaseutikal.

Halal Home-based Businesses
We want to help Halal Home-based Business owners during these tough times. See the link below.
Do you own a Halal Home-based Business in Singapore? List your products on Berita Harian

Kilang baru, yang sedang dibina, akan terletak di kampus Woodlands yang sedia ada dan dijangka memulakan pengilangan pada Januari 2023. Kilang itu dijangka mencapai kapasiti penuh pada awal 2024.

Kilang yang automatik sepenuhnya itu akan mempunyai ruang bilik bersih sekitar 250,000 kaki persegi dan menambah kapasiti pengeluaran wafer sebanyak sepertiga untuk operasi Singapura syarikat itu, menjadikan kapasitinya sekitar 1.5 juta wafer setiap tahun.

Singapura menyumbang kira-kira sepertiga daripada pendapatan GlobalFoundries dan memberi khidmat kepada sekitar 200 pelanggan di seluruh dunia. Pengilang itu mempunyai kira-kira 4,800 pekerja di sini, sekitar satu pertiga daripada jumlah keseluruhan globalnya.

Ketua eksekutifnya, Dr Tom Caulfield berkata: "Kemudahan baru kami di Singapura akan menyokong pasaran yang berkembang pesat dalam segmen automotif, mobiliti 5G dan peranti selamat dengan perjanjian pelanggan jangka panjang yang sudah ada."

Peluasannya di Singapura itu dilakukan seiring dengan pelaburan yang dirancang melebihi AS$ 1 bilion ($1.35 bilion) setiap satu di tapak pengilangan di Jerman dan Amerika Syarikat, kata Dr Caulfield dalam satu sidang media maya semalam

AS$6 bilion yang diperuntuk dalam beberapa tahun akan datang itu adalah tambahan kepada pelaburan dirancang sebanyak AS$1.4 bilion pada 2021 untuk meningkatkan pengeluaran di kilangnya.

Firma itu sedang mempercepat pelaburannya di seluruh dunia untuk mengatasi cabaran kekurangan cip global, kata Dr Caulfield, sambil menambah beliau menjangkakan bahawa bekalan masih akan membelakangi permintaan dalam lima hingga lapan tahun akan datang.

Ia meluaskan operasinya di Singapura dahulu kerana kilang di sini paling lama beroperasi dan kini berada di tahap kapasiti penuh, katanya.

GlobalFoundries mempunyai lima kilang wafer di sini dan telah memperuntuk pelaburan aset tetap sebanyak $12 bilion sejak pemerolehan Chartered Semiconductors pada 2010.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Try the new Halal Food Map