Gigih berusaha perkasa masyarakat, Berita Setempat - BeritaHarian.sg
Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Setempat0

Gigih berusaha perkasa masyarakat

Mar 07, 2019 | 05:30 AM

KEPAKARAN mereka berbeza tetapi usaha mereka menjurus kepada satu matlamat murni yang sama - memperkasa dan memperkukuh masyarakat.

Presiden Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Rahayu Mohamad, merupakan seorang pejuang isu wanita Islam dan keluarga sejak beliau remaja lagi; manakala pengetua wanita pertama Madrasah Aljunied, Cik Khairiana Zainal Abiden, pula sudah lebih dua dekad berbakti dalam sektor pendidikan madrasah.

Sementara itu, Cik Faridah Ali Chang, pula telah menabur bakti lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan khas.

Sejak zaman persekolahannya, Cik Rahayu, 52 tahun, aktif dalam kerja sukarela dengan pelbagai persatuan sehingga ia mempengaruhi jiwanya untuk berbakti.

Ibu enam anak itu berkata wanita memainkan peranan penting dalam memelihara kestabilan institusi keluarga yang merupakan unit penting masyarakat.

Berita Popular

Meskipun peranan itu dikongsi sama dengan kaum lelaki, peranan tradisional dalam mendidik generasi masa depan disandarkan kepada kaum wanita, bersesuaian dengan naluri keibuan yang telah dianugerahkan.

Justeru, penting untuk memastikan keperluan wanita dapat dipenuhi dan diberi sokongan.

"Ini sangat membantu kerana wanita itu dapat merasakan dirinya tidak keseorangan dalam mencari huraian kepada masalah," katanya.

Cik Rahayu menambah wanita adalah kunci kekuatan negara dan setiap wanita mempunyai kelebihan dan kepakaran yang boleh dimanfaatkan dalam membangunkan masyarakat yang berdaya tahan.

"Yang penting adalah iltizam kuat untuk memberi... Di mana pun kita bermula, sama ada di rumah, di sekolah atau di persatuan bantu diri, ini merupakan usaha bersepadu bagi membolehkan wanita Singapura menyumbang sepenuhnya kepada transformasi sosial dan pembangunan negara," katanya.

Tahun lalu, Cik Khairiana Zainal Abiden pula mencipta sejarah apabila dilantik sebagai mudirah, atau pengetua wanita, pertama sepanjang lebih 90 tahun sejarah Madrasah Aljunied.

Perjalanan beliau bermula 22 tahun lalu. Sedang rakan siswazah Universiti Nasional Singapura (NUS) yang lain mula mendapat pekerjaan dengan gaji tinggi, Cik Khairiana yang berkelulusan sarjana muda Matematik pula bekerja sebagai guru Matematik di madrasah dengan gaji jauh lebih rendah.

"Saya lihat pada masa itu, madrasah perlu diberikan lebih perhatian dari sudut akademik... Sebagai lulusan baru dari NUS, gaji yang boleh saya bawa pulang mungkin $2,000 hingga $2,200 tetapi saya bermula dengan gaji $600.

"Ia bukan mengenai wang tetapi sebagai seseorang dalam masyarakat kita perlu mempelopori usaha ini untuk mencetuskan kelainan kepada madrasah," kata ibu dua anak remaja itu.

Sebagai mudirah, Cik Khairiana dan kumpulan gurunya gigih membangun madrasah itu ke tahap lebih tinggi, yang memberi tumpuan kepada pendidikan pengajian Islam sambil menyediakan peluang bagi pelajar meneroka bidang lain.

"Ini agar kami dapat memperkukuh asatizah dan ulama masa depan kita yang bukan hanya pakar dalam satu bidang tetapi mempunyai perspektif lebih menyeluruh," kata beliau.

Mengenai peranannya memimpin sebuah madrasah, Cik Khairiana berkata:

"Jika dikaji sejarah Islam, ini bukan sesuatu yang baru. Sayidatina Aisyah juga pernah menjadi sumber rujukan oleh para sahabat Rasulullah bukan hanya dalam isu kewanitaan, malah isu kepimpinan dan tadbir urus. Dari dulu lagi, wanita sudah terajui pucuk pimpinan," kata beliau.

Cik Faridah, 58 tahun, pula sudah berkecimpung dalam sektor keperluan khas selama 25 tahun dan kini merupakan jurulatih utama dan konsultan di Rainbow Centre Training & Consultancy.

Sebagai jurulatih, beliau melatih mereka yang baru menyertai sektor itu termasuk sukarelawan atau kakitangan sepenuh masa.

Di bawah Program Pemerkasaan Keluarga pula, ahli psikologi itu juga bekerjasama dengan ibu bapa untuk memperkasa mereka selain menyediakan sokongan.

Cik Faridah berkata, meskipun kerja yang beliau lakukan adalah satu tugas, namun beliau melihatnya lebih sebagai satu amanah.

"Sektor ini telah mengubah saya sebagai individu; saya belajar tentang bagaimana melihat orang tanpa prasangka dan pengertian sebenar kehidupan yang bermakna, dan yang paling indah, proses ini sesuatu yang masih berterusan," kata beliau.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map