Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Gigih semai cita-cita bergelar usahawan sosial

Feb 21, 2019 | 05:30 AM



JIWA masyarakat Cik Sri Afiqah Sukmawati Hamir menebal sehinggakan beliau menebar cita-cita membuka syarikat runding cara dalam talian yang merujuk individu atau keluarga kurang bernasib baik kepada badan Melayu/Islam yang relevan bagi meraih bantuan memperkasa diri.



Impian membantu masyarakat dalam aspek pendidikan, sosial, kebudayaan dan riadah ingin dijadikan kenyataan selepas tamat pengajian universiti kelak.



Berbekalkan minat berniaga juga, Cik Sri Afiqah, 20 tahun, yang kini dalam tahun akhir pengajian Diploma Komunikasi dan Pengurusan Media di Politeknik Temasek (TP), lebih teruja selepas mengambil modul silang disiplin dalam keusahawanan sosial bagi tahun kedua pengajian.



Kemahiran asas yang diraih dalam modul itu menambah kecenderungannya menceburi bidang keusahawanan sosial secara serius malah disifatkan sebagai aset buatnya memohon kursus ijazah sastera dan sains kemasyarakatan di Universiti Nasional Singapura (NUS).



Ini menyusuli langkah NUS mengenalkan skim kemasukan baru buat lulusan politeknik yang menekankan kecenderungan dalam bidang perniagaan mahupun penyertaan dalam program usahawan di institusi posmenengah masing-masing.



Ketika ditemui di TP kelmarin, Cik Sri Afiqah yang merupakan anak tunggal pengurus projek teknologi maklumat kanan dan suri rumah, berkata:



"Sebagai pelajar dengan kelulusan sederhana, pastinya saya risaukan persaingan sengit bagi memasuki NUS.



"Saya berminat mendalami Pengajian Melayu di universiti kerana sukakan perihal bahasa dan budaya Melayu di samping menyumbang secara sukarela kepada masyarakat sekeliling.



"Dengan adanya skim kemasukan baru yang menekankan pengalaman menyertai program keusahawanan di politeknik, saya berharap peluang ke NUS lebih cerah."



Ditanya mengenai perancangannya membuka syarikat runding cara bagi rujukan ke badan Melayu/Islam, beliau yang aktif dalam kegiatan Jawatankuasa Eksekutif Belia Kelab Masyarakat Tampines East, berkata:



"Dalam kerja sukarela saya, kerapkali saya menemui keluarga atau individu yang keliru dan tidak mengetahui ke mana arah tuju mendapatkan bantuan bagi meredakan atau menghurai masalah khusus mereka.



"Mereka tidak pasti matlamat dan peranan sesuatu badan Melayu/Islam kerana tidak begitu peka tentang khidmat yang ditawarkan.



"Ada yang ingin menyertai kegiatan kebudayaan tetapi mencari ruang yang sesuai bagi mengembangkan bakat atau memperkasa diri. Maka, harapan saya, khidmat yang ditawarkan itu mampu menjadi wadah satu perhentian untuk dirujukkan kepada pihak yang relevan."



Cik Sri Afiqah yang mendapat idea berniaga daripada ayahnya yang juga gemar menimba ilmu bagi pembelajaran sepanjang hayat mengalu-alukan skim kemasukan baru NUS itu.



Katanya: "Ia memberi harapan buat pelajar politeknik yang tidak mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang tetapi memiliki semangat berniaga untuk dikembangkan.



"Melihat kian ramai belia di politeknik ini membangun idea niaga khususnya dalam talian, saya merasakan inilah kemahiran yang mampu membuatkan belia lebih berdikari dan kreatif sebelum memasuki pasaran buruh yang berdaya saing.



"Cuma apabila saya cenderung dalam bidang keusahawanan sosial, saya perlu cari keseimbangan antara berkhidmat buat masyarakat dengan mencari keuntungan komersial."




SKIM KEMASUKAN NUS BERDASARKAN MINAT NIAGA



- Lulusan politeknik yang menampilkan kebolehan dalam bidang keusahawanan berpeluang memohon ke Universiti Nasional Singapura (NUS) di bawah Skim Kemasukan Berdasarkan Kecenderungan (Mengikut Budi Bicara) jika kelulusan mereka tidak memenuhi kriteria NUS.



- Ini memandangkan NUS kini menjalankan program menyemai usahawan dalam pelbagai cabang perniagaan sejagat.



- Setiap politeknik di Singapura diminta mencalonkan hingga 40 pelajar mereka yang cenderung berniaga sewaktu mengikuti pengajian diploma mahupun mereka yang menyertai program perniagaan dalam modul khusus.



- Sekitar 1,200 lulusan politeknik diterima masuk ke NUS tahun lalu dalam kalangan jumlah keseluruhan 7,800 mahasiswa bagi tahun pertama, tahun lalu.



- Mereka yang terpilih memasuki NUS di bawah skim baru ini akan meraih manfaat dan panduan perniagaan daripada golongan berpengalaman termasuk menerusi Program Maktab Luar Negara NUS.



- Program itu membawa pelajar ke hab niaga dan inovasi seperti Lembah Silicon dan Shenzhen bagi memulakan firma pemula atau 'start-up' di samping kursus sampingan dengan universiti tertentu.



- Sejak 2002, lebih 2,800 alumni program maktab luar negara itu menubuhkan lebih 370 syarikat sejagat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >