KAWASAN Gillman Barracks selangkah lebih dekat untuk merealisasikan visi mereka sebagai enklaf gaya hidup kreatif yang bertenaga dan bersedia menerima permohonan baru untuk melengkapkan visi itu.
Penguasa Tanah Singapura (SLA) telah memberikan lima tender berdasarkan harga dan mutu kepada lima pembida, yang bakal memperkenalkan lebih banyak pilihan untuk sepanjang hari seperti makan, hiburan dan aktiviti gaya hidup di Gillman Barracks.
SLA telah menilai kesemua 19 cadangan yang diterima merentas lima tender berdasarkan aspek harga 40 peratus dan mutu 60 peratus untuk membuat penilaian holistik.
Penekanan telah diberikan kepada mutu konsep yang dicadangkan untuk menggalakkan pemohon mengemukakan cadangan menarik yang sejajar dengan visi untuk Gillman Barracks sebagai presint gaya hidup kreatif, serta idea untuk memacu inisiatif hijau, menyuntik kerancakan, dan memudahkan penglibatan aktiviti sepanjang masa dengan komuniti yang lebih luas.
Permohonan tender telah diberikan kepada pembida dengan gabungan harga dan mutu yang mendapat markah tertinggi. Mereka adalah Wheeler's Estate (9A Lock Road), The BlackBird (8 Lock Road), Creamier (5A Lock Road), Handlebar (10 Lock Road), dan Hopscotch (45 Malan Road).
Lima pemohon yang berjaya akan menawarkan pelbagai konsep menarik seperti makan sepanjang hari, kafe bertema, suasana mesra keluarga bersama haiwan kesayangan.
Ia juga akan diserikan dengan acara gaya hidup seperti pasar tani, hiburan secara langsung dan muzik, yang akan menarik minat rakyat Singapura dan pelawat dari pelbagai minat.
Keluarga, penunggang basikal, pejalan kaki, peminat seni, pencinta alam semula jadi, serta komuniti pekerja dan penduduk yang tinggal berhampiran Gillman Barracks juga boleh menikmati kemudahan ini.
Selepas menamatkan tender fasa pertama, SLA melancarkan dua tender baru untuk penggunaan gaya hidup kreatif semalam.
Ia adalah untuk Blok 9 #02-21, dan satu lagi untuk Blok 43 dan Blok 47 #01-21 hingga #01-24. Blok 43 di sepanjang Jalan Malan yang mempunyai keluasan lantai kasar lebih daripada 10,000 kaki persegi di Gillman Barracks.
Blok 43 dan 47 mempunyai potensi besar untuk dibangunkan untuk menyediakan tempat yang unik.
Selaras dengan rancangan SLA untuk menjadikan Gillman Barracks sebuah kawasan mesra alam, cadangan ini juga menampilkan inisiatif hijau - seperti penggunaan bahan binaan yang mampan semasa kerja-kerja ubah suai dan memulakan kajian untuk menimbangkan pemasangan tempat mengesas kenderaan elektrik (EV) di tapak dan panel tenaga suria.
Pengunjung juga akan mendapat peluang untuk mengambil bahagian dalam bengkel berkaitan mengenai topik mesra alam, pengalaman ladang-konsep ke meja, dan nikmati resit tanpa kertas tanpa kerumitan di cawangan terpilih.
Semua tender akan menawarkan tempoh pendahuluan yang lebih lama, selama lima tahun tetapi ia boleh diperbaharui untuk penggal kedua selama dua tahun.
Tender akan dibuka selama lapan minggu bermula dari 18 Oktober 2022. Pihak yang berminat untuk menyewa premis di Gillman Barracks boleh mengakses hartanah di portal SLA, Maklumat lanjut boleh didapatkan di talian ini https://app.sla.gov.sg/spio.