Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

PEMULIHAN INDUSTRI GIM DAN KESIHATAN

Gimnasium, studio kecergasan kembali rancak selepas 2 tahun

Jul 14, 2022 | 05:30 AM



GIMNASIUM dan studio kecergasan di sini kembali rancak sejak sekatan yang dikenakan pada industri itu sepanjang pandemik Covid-19 melanda lebih dua tahun lalu dilonggarkan.



Menurut tinjauan Berita Harian, beberapa gimnasium dan studio kecergasan setempat telah melihat pemulihan yang 'sihat' dalam jumlah penyertaan anggota mereka, kepada kadar seperti sebelum pandemik.



Antara mereka adalah pemilik bersama Body Fit Outram, Encik Farij Samsudi, 35 tahun, yang berkata cawangan beliau telah menunjukkan peningkatan "sekitar 20 hingga 30 peratus" dalam keanggotaanya yang aktif berbanding semasa tempoh pandemik.



"Dengan situasi kembali normal, kami boleh lihat lebih ramai telah kembali ke pejabat terutama di kawasan pusat bandar (CBD).



"Kalau ingin dibandingkan dengan tujuh bulan lalu, lebih ramai mengunjungi cawangan gimnasium atau studio kecergasan di kejiranan kerana mereka bekerja di rumah. Tetapi, ramai mengunjunginya pada waktu sibuk selepas kerja," katanya, yang mempunyai cawangan lain di Tampines Central dan Bugis.



Encik Farij juga berkata ini meninggalkan "kesan positif" kepada industri itu selepas lebih dua tahun bergelut dengan ketidaktentuan pandemik Covid-19.



"Ada suatu masa itu, kami boleh ambil sekitar 16 orang dalam satu kelas. Kini, ia meningkat hingga lebih 20 orang.



"Ini memberikan kesan baik bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi kepada mental kami juga kerana kami tidak tahu apa yang akan berlaku (ketika pandemik dan seterusnya)," ujar beliau.



Bagi pelatih peribadi, Encik Haris Ismail, 31 tahun beliau percaya pandemik Covid-19 juga telah mendorong lebih ramai orang untuk meneruskan kegiatan sihat.



"Semasa pandemik, ramai tidak tahu apa nak buat. Sana sini ada sekatan, jadi ramai yang mula bersenam.



"Mungkin, kebanyakan daripada mereka ini ingin meneruskan gaya hidup sihat mereka ini. Malah, saya juga sering mendapat pertanyaan bagi khidmat latihan peribadi sejak baru-baru ini," katanya, yang sudah berkecimpung dalam bidang itu sejak tiga tahun lalu.



Encik Haris juga mendapat peningkatan sekitar "lebih lima orang berbanding sebelumnya" dalam kelas latihan beliau setiap minggu.



Keadaan ini juga dicerminkan menerusi kadar penggunaan kemudahan gimnasium awam.



Sport Singapore (SportSG) berkata lebih 238,600 orang telah menggunakan 26 gimnasium ActiveSG pada Mei lalu.



Ini adalah kenaikan 6 peratus berbanding bulan yang sama pada 2019, sebelum pandemik Covid-19 bermula, katanya, lapor The Straits Times.



Terdapat juga peningkatan yang sama dalam penyertaan dalam program di Pusat Sukan ActiveSG, di mana lebih 108,400 ahli mengambil bahagian dalam aktiviti seperti zumba dan yoga pada Mei - peningkatan 16 peratus berbanding tempoh yang sama pada Mei 2019.



SportSG, yang mempunyai 19 pusat sukan di lebih 30 lokasi, menambah bahawa tempahan dan bilangan pengguna di gelanggang bola keranjang dan badminton serta kolam renangnya juga meningkat.



Pada kemuncak pandemik, kelas dan kegiatan senaman aktif dalam bangunan, yang memerlukan peserta menanggalkan pelitup mereka, telah dihentikan.



Pemilik gimnasium dan studio kecergasan mengalami kerugian ekonomi dalam tempoh tersebut, dan SportSG menjanjikan sokongan $18 juta pada Mei tahun lalu untuk membantu perniagaan dalam industri sukan dan kecergasan membiayai kos operasi mereka.



Sekatan kemudiannya diringankan dan, dalam langkah pengurusan selamat (SMM) yang dikemas kini pada April lalu, jarak selamat tidak lagi diperlukan antara individu atau kumpulan dan had saiz kumpulan juga ditiadakan.



Tetapi tidak semuanya kembali seperti sebelum Covid-19. SportSG menambah bahawa kakitangannya telah memastikan bahawa SMM, seperti memakai pelitup di dalam bangunan dipatuhi, dan akan terus berbuat demikian untuk keselamatan penggunanya.



Pengguna tetap studio kecergasan Grityard di Outram, Encik Amirul Amin, 34 tahun, berkata beliau gembira dengan suasana meriah sekarang berbanding sebelum pandemik Covid-19.



"Dalam beberapa bulan ini, kami boleh bergaul dan bermesra di dalam studio kecergasan atau gim.



"Ini amat baik kerana kami boleh saling membantu dan mendorong antara satu sama lain dalam latihan kami," ujar pegawai perkhidmatan awam itu.



Meskipun lebih ramai dilihat menggunakan kemudahan gim dan studio kecergasan, perbezaan yang ketara pada masa ini berbanding sebelum pandemik Covid-19 adalah amalan kebersihan mereka.



"Apa yang lebih menarik adalah kami semua akan lebih berjaga-jaga dan akan bersihkan kemudahan selepas menggunakannya. Ini adalah tanggungjawab sosial yang baik dilihat dan dilakukan oleh pengguna gim dan studio kecergasan selepas pandemik ini," kata Encik Amirul.




"Dengan situasi kembali normal, kami boleh lihat lebih ramai telah kembali ke pejabat terutama di kawasan pusat bandar (CBD).

Kalau ingin dibandingkan dengan tujuh bulan lalu, lebih ramai mengunjungi cawangan gimnasium atau studio kecergasan di kejiranan kerana mereka bekerja di rumah. Tetapi, ramai mengunjunginya pada waktu sibuk selepas kerja."

- Pemilik bersama Body Fit Outram, Encik Farij Samsudi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >