LEBIH ramai warga Singapura berusia pertengahan hingga lewat 20an memilih untuk membujang, dengan sebahagian besar lebih mementingkan kerjaya daripada berumahtangga, kata pakar.
Mereka membentuk 70 peratus dari kalangan mereka dalam golongan usia berkenaan tahun lalu, peningkatan amat ketara berbanding 50 peratus kira-kira 15 tahun lalu.
Ini merupakan dapatan Tinjauan Umum Rumah Tangga.
Keputusan golongan ini untuk melewatkan perkahwinan telah menjejas kadar kesuburan negaram dan lebih banyak perlu dilakukan untuk membantu golongan ini mencari pasangan di peringkat awal kehidupan mereka, kata ahli sosiologi yang dilaporkan akhbar The Straits Times hari ini.
"Salah satu sebab keprihatinan kita ialah, jika seseorang wanita itu berumahtangga melepasi umur 25 hingga 29 tahun, adalah sukar untuknya hamil atau mempunyai keluarga yang besar, kata ahli sosiologi Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Paulin Straughan.
Keputusan untuk tidak mendirikan rumahtangga turut dikesan di kalangan kaum lelaki dalam kelompok usia 25-29 tahun - yang dianggap telah matang untuk berumahtangga.
Menurut dapatan pemerintah dan tinjauan penduduk, madar mereka terus meningkat dari tahun ke tahun sejak 15 tahun lalu.