Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

JEJAK WARISAN

Gotong-royong jadi simbol perpaduan penduduk Pasir Panjang

Apr 08, 2019 | 05:30 AM



Bila rindu, Masjid Ahmad jadi tempat dituju. Itulah yang dilakukan sesetengah penduduk kampung di Pasir Panjang apabila merindui atau terkenang kehidupan kampung mereka. Sempena sambutan Bicentennial Singapura tahun ini, BERITA HARIAN menemui seorang penduduk kampung di Pasir Panjang yang menceritakan bagaimana kawasan itu mendapat namanya, keseronokan suasana hidup di kampung-kampung yang pernah wujud di kawasan itu dan kebiasaan yang menjadi amalannya penduduknya. Ikuti laporan berikut.



PADA 1851, daerah Pasir Panjang telah dinamakan sempena kewujudan pasir yang panjang di sepanjang pesisir pantai.



Daerah unik ini mempunyai beberapa kawasan kampung seperti Lorong Sari, Lorong Puspa, Lorong Abu Kassim, Zehnder Road dan Lorong Sarhad.



Namun begitu, kebanyakan kawasan kampung itu sudah lenyap ekoran projek pembangunan yang muncul di kawasan tersebut.



Ustaz Mohd Fitras Bakaram, 55 tahun, telah berkongsi maklumat dan pengalaman beliau ketika menjadi salah seorang penduduk terawal di Kampung Pasir `Panjang.



Beliau dilahirkan di Kampung Batu Empat dan membesar di beberapa daerah kawasan kampung tersebut.



MASJID AHMAD MASIH KEKAL



Beliau turut menceritakan tentang kewujudan masjid yang masih kekal di kawasan itu sejak zaman dahulu sehingga ke hari ini.



"Kita dapat lihat satu masjid yang bernama Masjid Ahmad. Alhamdulillah, masjid itu masih ada sampai sekarang.



"Kadang-kadang, kalau kami rasa rindu pada kampung, masjid itulah tempat kami melepaskan rindu. Walaupun masjid itu jauh dari tempat tinggal kami sekarang, kami tetap ke sana,'' katanya.



Keterbatasan teknologi menyebabkan kanak-kanak zaman dahulu tidak mempunyai aktiviti lain selain bermain atau berkumpul bersama rakan-rakan.



Semua itu menggamit kenangan dan kisah indah buat penduduk kampung-kampung di sana.



"Kami tahu bahawa proses pembesaran zaman kanak-kanak dahulu dengan sekarang agak berbeza.



"Dulu, tiada permainan gajet macam budak-budak sekarang. Sejurus kita pulang dari sekolah, biasanya kita akan berkumpul.



Ketika dewasa dan bujang pun, aktiviti berkumpul dan bersembang pada waktu petang atau malam menjadi perkara biasa. Kadang-kadang sampai lupa untuk pulang ke rumah," ceritanya.



Kepentingan berkumpul seperti itu adalah untuk menjalin kemesraan antara para penduduk kampung tanpa mengira batasan umur masing-masing.



"Kalau ada apa-apa majlis atau kenduri kahwin, kami akan bekerjasama untuk saling membantu. Jadi, kenangan tu sukar untuk kita dapati sekarang," jelasnya.



KENDURI KAHWIN



Ustaz Mohd Fitras juga mengenang kembali keseronokan dan kerjasama orang kampung dalam menganjurkan majlis kenduri kahwin.



Beliau mengakui bahawa suasana sambutan kenduri kahwin sekarang agak berbeza dengan zaman dahulu.



"Kalau sekarang, orang banyak tempah makanan, dulu kami bergotong-royong memasak dan rewang.



"Kaum wanita akan membawa pisau sendiri untuk rewang. Kaum lelaki bertanggungjawab bangunkan khemah, potong buluh, pelepah kelapa dan sebagainya.



"Budak-budak kampung pula akan mencuci pinggan. Seronoklah bila kami buat kerja beramai-ramai... bergotong-royong.''



Dalam masa yang sama, keindahan bermain bersama rakan-rakan sekampung masih lagi terbayang-bayang dalam fikiran Ustaz Mohd Fitras.



"Pemainan zaman kanak-kanak kami ada musimnya. Kalau musim bermain layang-layang, semua akan sibuk bermain layang-layang.



"Kalau musim bermain gasing, semua kanak-kanak akan sibuk mencari gasing untuk bermain dengan rakan-rakan di kampung itu.



"Kalau bulan November atau Disember, kanak-kanak akan berkejar-kejaran untuk mandi laut kerana lokasi Pasir Panjang berdekatan dengan pantai.



"Kalau musim mandi di sana, biasanya tak kalah dengan suasana di Tanjong Katong. Itulah menjadikan anak-anak kampung teruja untuk turun ke laut," ujarnya riang.



TUBUH KUMPULAN



Ustaz Mohd Fitras berkata keakraban dengan kawan-kawan sekampung masih wujud sehingga sekarang.



"Pada tahun lepas, satu kumpulan telah ditubuhkan menerusi aplikasi 'WhatsApp' bagi membolehkan kami berhubung antara satu dengan lain."



"Kumpulan terbabit ada merancang perjumpaan bagi kembali mengikat kasih dengan rakan-rakan yang terputus hubungan akibat perpindahan masing-masing dari Pasir Panjang.



"Apabila kami berkumpul kembali, ikatan persaudaraan terasa semakin kukuh.



"Kalau kami jumpa kawan-kawan macam ini, rasanya hilang stres dan seronok kembali mengingati suasana kampung pada suatu ketika dahulu," terangnya.



Para penduduk lama kawasan Pasir Panjang ini turut turut menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti hari keluarga, majlis Hari Raya, kutipan derma dan lain-lain.



Aktiviti tersebut bertujuan mengeratkan hubungan persahabatan antara bekas penduduk kampung Pasir Panjang tanpa mengira latar belakang atau pekerjaan.



Sehubungan dengan itu, beliau juga menyebut tentang keistimewaan hidup di kampung berbanding tinggal di kawasan bandar.



"Antara perkara yang bagus ialah kita mengenali antara satu dengan lain. Kita kenal orang sekeliling, kita kenal jiran dan kita kenal orang-orang kampung sebelah.



"Selepas balik sekolah, kami akan keluar dan saling tolong-menolong jika ada sesuatu yang perlu dikerjakan kerana kami memang sudah bersatu hati.



"Kami dah menjadi seperti satu keluarga yang utuh. Emak jiran pun dah jadi macam emak sendiri, anak jiran pun dah seperti anak sendiri.



"Jadi, itulah yang kami tidak dapat rasakan pada hari ini di mana penduduk zaman dahulu lebih mesra berbanding penduduk sekarang," terang Ustaz Mohd Fitras.



Beliau turut berkongsi tentang peristiwa banjir yang mencuit hati berlaku di kampung-kampung Pasir Panjang.



"Kalau hujan waktu siang, budak-budak suka... nanti mereka main hujan. Emak-emak zaman dulu biasanya tidak kisah kalau anak-anak mereka mandi hujan,'' kata Ustaz Mohd Fitras lagi, yang ketawa mengingatkan masa kecilnya apabila hujan lebat pada waktu malam, tanpa disedari tiba-tiba air sudah naik sampai ke katil.



JIRAN PELBAGAI KAUM



Beliau juga menceritakan tentang sikap saling menghormati antara satu dengan lain tanpa mengira kaum.



"Kalau di tempat saya, terdapat jiran-jiran berlainan kaum. Walaupun kami berbeza budaya dan agama, kami tetap menghormati antara satu dengan lain."



"Kami juga berkongsi padang permainan. Kami bermain bola dan macam-macam lagi. Itu yang bagus kerana kami tidak merasai perbezaan apabila kami bermain bersama,'' ulasnya.



Bercakap tentang masa yang cepat berubah, Ustaz Fitras berkata:



"Sekarang, kebanyakan kami yang hampir sebaya, semua sudah beruban. Tetapi jika kembali berjumpa, rasanya macam muda kembali... maklumlah, terkenang masa budak-budak dulu... masa hingus masih meleleh,'' katanya.



Beliau tersenyum lebar mengingatkan zaman kecilnya dahulu.



Dan senyumannya itu semakin lebar apabila beliau menunjukkan gambar-gambar lama yang masih disimpannya sebagai kenangan manis di kampung.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >