Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:23
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BERITA

GSA masih cuba bertahan, terus teroka niaga di luar bidang tukikan

Pengumuman terkini S’pura tidak akan hantar jemaah haji tahun ini kegenjotan terbaru yang perlu ditangani
Jun 05, 2021 | 05:30 AM



SUDAH lebih setahun operasi perniagaan ejen penjualan pakej haji dan umrah (GSA) di sini terganggu disebabkan pandemik Covid-19.



Dengan pengumuman Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) baru-baru ini bahawa haji ditunda sekali lagi untuk tahun kedua bagi jemaah Singapura, harapan bagi perniagaan mereka kembali hidup semula seolah-olah pudar.



Namun, di sebalik kesukaran yang dialami agensi yang menawarkan pakej haji dan umrah tersebut, mereka tetap bersemangat dan tidak putus asa berusaha untuk memastikan perniagaan mereka dapat terus dikekalkan.



Demi bertahan semasa tempoh pandemik Covid-19 ini, banyak GSA telah berusaha meneroka peluang perniagaan dalam bidang baru - daripada khidmat penghantaran hingga ke inovasi makanan.



Antaranya ialah Shahidah Travel yang kini sedang mengusahakan dua projek makanan, iaitu sirap kurma ajwa dan juga bubur lambuk yang dibuat daripada oat dan beras perang.



Ketua Pegawai Eksekutif Shahidah Group of Companies, Encik Ayoob Angullia, yang juga pengarah urusan Shahidah Travel, berkata pihaknya meluangkan masa tahun lalu untuk menjalankan penyelidikan, penghasilan produk dan ujian pasaran.



Misalnya, mereka bekerjasama dengan Pusat Inovasi dan Sumber Makanan - inisiatif bersama Politeknik Singapura dan Enterprise Singapore - dan telah mendapatkan geran pemerintah untuk menghasilkan sirap kurma ajwa iaitu alternatif lebih sihat kepada gula.



Bubur lambuk dibuat daripada oat dan beras perang pula merupakan satu konsep makanan sedia dimakan, dengan individu hanya perlu tuang air panas dan terus makan.



"Kami melakukan ini kerana kami jangkakan, dalam masa tiga tahun mendatang, agensi pelancongan tidak akan diperlukan lagi. Semua perjalanan akan dirancang dan dilakukan secara digital dan ini bermakna, kami mungkin akan kehilangan pekerjaan pada masa depan.



"Oleh itu, kami mengusahakan cara alternatif untuk menjalankan perniagaan," kata beliau, sambil menambah terdapat rancangan untuk memasarkan produk makanannya di peringkat sejagat pada masa depan.



Di Hamidah Travel & Tours pula, pengurus haji dan umrah, Encik Shaik Dawood Mohd Yacobb, berkongsi bahawa agensi itu kini menawarkan khidmat penghantaran barangan ringan dan juga khidmat pesanan makanan dalam talian seperti beriani dan nasi mandi.



"Alhamdulillah, sudah hampir tiga bulan kita buat khidmat pesanan makanan dalam talian ini dan responsnya sangat memberangsangkan," kata beliau. Ia telah membuka Hamidah's Kitchen @Kaff Kafe.



Pengarah Urusan Hagel Travel & Tours Pte Ltd, Syed Agil Alkaff, pula berkata agensinya menawarkan lawatan kapal pelayaran Dream Cruise sebelum ini, namun ia kini terpaksa dihentikan dek langkah sekatan dipertingkat yang dilaksanakan.



Agensinya juga menjual kurma kepada jemaah, rakan dan keluarga mereka, dan akan melancarkan produk makanan lain seperti habbatus sauda dan madu, tidak lama lagi.



Sementara itu, terdapat juga GSA yang sebelum ini sudah pun mempelbagaikan perniagaan mereka dan kini memberi tumpuan pada perniagaan dalam bidang lain itu untuk bertahan sewaktu pandemik ini.



Pengarah Urusan Jalaluddin Travel & Services, Ustaz Jalaluddin Hassan, berkongsi bahawa pada waktu ini mereka memberikan tumpuan pada perniagaan pengurusan harta pusaka hibah dan wasiat untuk keluarga Islam yang telah dijalankan sejak sekitar lapan tahun lalu.



Di samping itu, mereka juga memiliki ladang kambing di Indonesia sejak 13 tahun lalu, dengan agensi itu menawarkan khidmat ibadah korban setiap tahun.



"Memang kami sudah mempelbagaikan perniagaan kami dari awal lagi kerana kita tidak boleh terlalu yakin dalam satu perniagaan.



"Ada usaha kecil-kecilan lain yang juga dijalankan untuk bertahan dalam suasana Covid-19 ini dan kami juga uruskan acara korban setiap tahun dalam skala besar. Mudah-mudahan ia dapat menampung perniagaan kami," kata beliau yang bakal berangkat ke Indonesia akhir bulan ini demi memastikan ibadah korban dalam dijalankan dengan lancar.



Pengarah Sha Travel & Tour, Cik Hanim Hashim, pula berkata beliau sibuk mengendalikan perniagaan makanan di Mukmin Restaurant di Bedok sambil memberikan tumpuan juga pada perniagaan agensi.



"Seperti banyak agensi, kami perlu melakukan perniagaan lain untuk mengharungi waktu sukar ini sehingga pandemik ini berakhir. Saya percaya ramai rakan ejen pelancongan sedang mengusahakan perniagaan lain, ada yang dalam makanan, ada dalam khidmat bersihkan kubur, uruskan jenazah, ada yang mengajar sambilan, ada yang membuat kerja penghantaran dan sebagainya.



"Saya rasa kami semua sedang bertahan kerana untuk menutup agensi dan kemudian membukanya semula tidak mudah. Mudah-mudahan berita baik akan muncul menjelang hujung tahun ini," kata beliau.



Satu lagi GSA yang beralih melakukan perniagaan lain pada waktu ini ialah Qu'ins Travel & Tours, yang telah melakukan lawatan kapal pelayaran dan glamping sebelum langkah keselamatan dipertingkat dilaksanakan.



Mereka kini sedang bersiap sedia untuk ibadah korban, dan juga melakukan jualan seperti kurma dan air zamzam, kata penolong pengarahnya, Encik Mohammad Mirza Salim.



"Kami melakukan ini semua untuk meneruskan perniagaan semasa tempoh ini," kata beliau.




"Seperti banyak agensi, kami perlu melakukan perniagaan lain untuk mengharungi waktu sukar ini sehingga pandemik ini berakhir. Saya percaya ramai rakan ejen pelancongan sedang mengusahakan perniagaan lain, ada yang dalam makanan, ada dalam khidmat bersihkan kubur, uruskan jenazah, ada yang mengajar sambilan, ada yang membuat kerja penghantaran dan sebagainya."
- Cik Hanim Hashim, Pengarah Sha Travel & Tour.



"Memang kami sudah mempelbagaikan perniagaan kami dari awal lagi kerana kita tidak boleh terlalu yakin dalam satu perniagaan. Ada usaha kecil-kecilan lain yang juga dijalankan untuk bertahan dalam suasana Covid-19 ini dan kami juga uruskan acara korban setiap tahun dalam skala besar. Mudah-mudahan ia dapat menampung perniagaan kami."
- Ustaz Jalaluddin Hassan, Pengarah Urusan Jalaluddin Travel & Services.



"Kami melakukan ini kerana kami jangkakan, dalam masa tiga tahun mendatang, agensi pelancongan tidak akan diperlukan lagi. Semua perjalanan akan dirancang dan dilakukan secara digital dan ini bermakna, kami mungkin akan kehilangan pekerjaan pada masa depan."
- Encik Ayoob Angullia, Ketua Pegawai Eksekutif Shahidah Group of Companies, yang meluangkan masa tahun lalu untuk menjalankan penyelidikan, penghasilan produk dan ujian pasaran.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >