Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

IBADAH HAJI DISAMBUNG SEMULA

GSA persiap pakej, keperluan haji tahun ini

Apr 28, 2022 | 05:30 AM



EJEN penyedia khidmat haji yang diluluskan (GSA) sedang bekerja keras dan bersedia untuk menyiapkan pakej dan keperluan haji tahun ini meskipun dengan hambatan dan batasan masa.



Malah, beberapa GSA yang cukup berpengalaman sudah melakukan persiapan secara dalaman lebih awal demi memastikan ibadah haji dapat berjalan lancar dalam sekitaran pandemik, kata Presiden Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat.



Disebabkan kepadatan tarikh akhir dan pengumuman kuota haji agak lewat, ada ejen berkata mereka akan hanya menawarkan sehingga dua pakej haji sahaja berbanding sebelum ini, yang menawarkan pelbagai pakej.



Kelmarin, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengumumkan Singapura menerima kuota haji seramai 407 jemaah dari Arab Saudi, iaitu 45 peratus lebih rendah berbanding kuota rasmi 900 jemaah.



Semasa dihubungi, Ustaz TM Fouzy berkata cabaran musim haji memang begitu ketara.



"GSA perlu siapkan pakej haji dalam masa tiga hari sahaja, boleh dikatakan persiapan dibuat dalam keadaan kritikal dan dalam masa yang singkat.



"Tetapi insya-Allah, dengan pengalaman yang kami timba daripada pengalaman lalu, kami yakin pihak GSA dapat mengatasi semua cabaran dengan bijak dan cepat, walau dalam tempoh sangat pendek.



"Ini kerana bagi GSA yang sudah biasa berkecimpung dalam pengurusan haji, mereka sudah melakukan persiapan lebih awal walaupun pihak Muis baru sahaja mengumumkan kuota.



"Ada yang sudah membuat persiapan secara dalaman, misalnya dari segi logistik dan penginapan, mereka sudah pun berhubungan," ujar beliau.



Menurut Ustaz TM Fouzy, tidak semua GSA akan menawarkan pakej haji disebabkan banyak syarat yang ada. Ini bermakna, hanya ejen yang benar-benar bersedia dan berpengalaman menguruskan haji akan menawarkan pakej haji.



"Oleh kerana masa suntuk serta jumlah jemaah berkurangan berbanding dengan musim haji sebelum ini, kami jangkakan hanya sehingga dua konsortium akan dipilih serta empat atau lima ejen utama," terang Ustaz TM Fouzy.



Dalam senarai GSA diluluskan pada 2019-2020, terdapat tujuh konsortium dan lima ejen utama.



Pengurus haji dan umrah Hamidah Travel & Tours, Encik Shaik Dawood Mohd Yacobb, pula berkata:



"Semua ejen terpaksa bekerja lebih keras untuk membuat persiapan pakej sebab masa yang diberikan memang terlalu singkat.



"Apatah lagi, kita sudah berada di penghujung Ramadan dan di tengah-tengah kesibukan beribadah dan persiapan beraya."



Namun pihaknya memang selalu mementingkan persiapan awal.



"Memang sentiasa dalam perancangan kami untuk membuat persiapan awal. Sebelum ini kami hanya menunggu keputusan yang muktamad sebelum membuat apa-apa. Jadi sekarang ini kita dah maklum maka semua pihak perlu bekerjasama dan bekerja lebih keras lagi," ujar Encik Shaik Dawood.



Ekoran kuota berkurangan serta kesuntukan masa, firma Encik Shaik Dawood akan menawarkan sehingga dua pakej sahaja.



"Kalau dahulu kami ada bermacam pakej bagi memenuhi keperluan semua lapisan jemaah, seperti pakej VIP atau pakej musafir, tetapi kali ini masa tidak mengizinkan untuk kami menawarkan sedemikian.



"Tambahan lagi, jumlah jemaah tidak ramai jadi kami mahu pastikan pergerakan jemaah terkawal dan tidak mahu mereka terlalu berpecah-pecah," tambah beliau.



Pengurus Besar Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid, yang juga anggota pasukan bertindak Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), berkata satu cabaran ialah menguruskan kenaikan kos.



"Dalam melakarkan pakej haji, cabarannya ialah untuk menguruskan kos meningkat sebab sehingga kini masih ada komponen kos belum diketahui. Pakej juga harus mengambil kira jika jemaah gagal ujian PCR, jadi bagaimana kami dapat membolehkan mereka terus menunaikan haji," ujarnya.




“GSA perlu siapkan pakej haji dalam masa tiga hari sahaja, boleh dikatakan persiapan dibuat dalam keadaan kritikal dan dalam masa yang singkat. Tetapi insya-Allah, dengan pengalaman yang kami timba daripada pengalaman lalu, kami yakin pihak GSA dapat mengatasi semua cabaran dengan bijak dan cepat, walau dalam tempoh yang sangat pendek. Ini kerana bagi GSA yang sudah biasa berkecimpung dalam pengurusan haji, mereka sudah melakukan persiapan lebih awal walaupun pihak Muis baru sahaja mengumumkan kuota. Ada yang sebenarnya sudah membuat persiapan secara dalaman, misalnya dari segi logistik dan penginapan, mereka sudah pun berhubungan.”
- Presiden Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat.



“Semua ejen terpaksa bekerja lebih keras untuk membuat persiapan pakej sebab masa yang diberikan memang terlalu singkat. Apatah lagi, kita sudah berada di penghujung Ramadan dan di tengah-tengah kesibukan beribadah dan persiapan beraya.”
- Pengurus haji dan umrah Hamidah Travel & Tours, Encik Shaik Dawood Mohd Yacobb.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >