Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

GSA terima banyak pertanyaan mengenai ibadah haji tahun ini

Apr 07, 2022 | 05:30 AM



AGENSI-AGENSI haji dan umrah (GSA) di sini berkata mereka telah menerima banyak pertanyaan sama ada ibadah haji akan disambung semula tahun ini ataupun tidak.



Ini memandangkan keadaan Covid-19 semakin terkawal dengan lebih ramai penduduk antarabangsa kini sudah mendapatkan vaksinasi penuh.



Pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad berkata, pertanyaan telah diterima melalui pelbagai platform seperti telefon dan media sosial daripada orang awam yang ingin bertanyakan tentang status haji tahun ini.



Pihaknya juga telah memulakan semula kelas haji sekitar tiga minggu lalu dan berhenti sempena bulan Ramadan ini, khusus untuk jemaah yang sepatutnya pergi pada 2020 sebelum bermulanya pandemik.



Pengarah Eksekutif, Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd, Ustaz Abdul Rahim Ramlee, pula berkata, pertanyaan yang diterima kebanyakannya datang daripada para jemaah yang nama mereka tersenarai dalam kuota haji 2020, dan berharap haji akan dibuka tahun ini kepada jemaah Singapura selepas melihat umrah kini berjalan dengan lancar.



"Namun kami memberitahu mereka, setakat ini belum ada berita rasmi dari pihak Arab Saudi tentang bagaimana haji tahun ini bakal dijalankan," ujarnya.



Bagaimanapun, seperti kebanyakan GSA di sini, pihaknya bersedia untuk membuat segala persediaan pada saat akhir jika diberikan keizinan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) untuk mengendalikan haji tahun ini.



Presiden Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, atau Ustaz TM Fouzy, berkata buat masa ini, masih belum diketahui strategi daripada pihak Arab Saudi tentang pelan haji mereka tahun ini.



"Kita mempunyai harapan penuh agar ibadah haji dapat dilaksanakan tahun ini bagi jemaah Singapura dan berharap kuota ditambah atau setidak-tidaknya dikekalkan pada kuota asal iaitu 900," katanya.



Apabila ditanya sama ada GSA bersedia membuat persediaan pada saat akhir, sekiranya kuota tambahan diberikan, Ustaz TM Fouzy berkata:



"Kami ada juga membuat pelan, jika kuota ditambah, bagaimana dan di mana kita akan meletakkan jemaah kita semasa di Tanah Suci dengan mengikut kadar yang dimampui."



Beliau bagaimanapun menggesa para jemaah untuk mengikuti kelas-kelas haji terlebih dahulu bagi mempersiapkan diri dan usah tunggu sehingga nama mereka dipanggil sebelum ke kelas.



Bersetuju tentang aspek persediaan awal, Pengurus Umum Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid yang juga merupakan antara anggota jawatankuasa pasukan bertindak bagi ibadah haji ini berkata, cabarannya apabila bilangan kuota tambahan diberikan ialah sama ada jemaah sudah membuat persediaan secara fizikal, mental dan daripada segi kewangan juga.



"Selalunya mereka yang akan mengerjakan ibadah haji, sudahpun mengetahui tentang status mereka sekitar dua hingga tiga bulan sebelum berangkat. Ini akan memberi mereka masa yang secukupnya untuk membuat persediaan untuk ke kelas dan sebagainya," katanya.



Akur, Ustazah Juyda yang juga merupakan antara anggota jawatankuasa pasukan bertindak bagi ibadah haji berkata, jemaah perlu bersedia juga daripada segi wang ringgit kerana mereka perlu berdepan dengan kemungkinan harga pakej akan meningkat, lebih-lebih lagi dengan kenaikan yang sudahpun dapat dilihat daripada kos tiket kapal terbang sekarang.



Beliau bagaimanapun bersetuju dengan kata-kata Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli baru-baru ini bahawa jemaah perlu terus menyesuaikan diri dengan keadaan dan bersifat fleksibel kerana masih ada banyak ketidaktentuan dan perubahan pada saat-saat akhir.



"Selalunya kita akan ketahui pada pertengahan bulan Ramadan atau awal bulan Syawal tentang kuota jemaah Singapura. Dalam bulan yang mulia ini, kita berdoa agar jemaah kita diberikan peluang mengerjakan ibadah haji tahun ini, insya Allah," katanya lagi.



- SHAHIDA SARHID




''Kita mempunyai harapan penuh agar ibadah haji dapat dilaksanakan tahun ini bagi jemaah Singapura dan berharap kuota ditambah atau setidak-tidaknya dikekalkan pada kuota asal iaitu 900...Kami ada juga membuat pelan, jika kuota ditambah, bagaimana dan dimana kita akan meletakkan jemaah kita semasa di Tanah Suci dengan mengikut kadar yang dimampui.''
- Presiden Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat.




''Selalunya mereka yang akan mengerjakan ibadah haji, sudahpun mengetahui tentang status mereka sekitar dua hingga tiga bulan sebelum berangkat. Ini akan memberi mereka masa yang secukupnya untuk membuat persediaan untuk ke kelas dan sebagainya.''
- Pengurus Umum Halijah Travels, Encik Haffidz Abdul Hamid.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >