Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

GSA usaha tampung tambahan jemaah haji

Jun 21, 2022 | 05:30 AM



EJEN penjualan pakej haji (GSA) berkata mereka akan berusaha menampung tambahan jemaah haji selepas Singapura diberi tempat tambahan tersebut untuk haji tahun ini.



Meskipun berita itu satu 'kejutan' bagi pihak GSA kerana ia datang agak dekat dengan tarikh keberangkatan rombongan awal haji dalam beberapa hari ini, GSA yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata mereka sedia membuat penyesuaian secepat mungkin bagi jemaah yang baru mendapat kelulusan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Muis dalam satu kenyataan berkata ia baru sahaja diberitahu tentang penambahan kuota itu dan akan memperuntukkan tempat-tempat tersebut kepada bakal jemaah yang telah mendaftar untuk haji dalam Sistem Pendaftaran Awal Haji Muis.



Ditanya mengenai bilangan jemaah yang bakal ditambah itu, Muis berkata ia sedang bekerjasama dengan Kerajaan Arab Saudi berkenaan ruang tambahan tersebut.



"Muis akan mendedahkan bilangan terakhir dalam masa terdekat," kata Muis.



Kuota haji Singapura tahun ini adalah 407 orang - 45 peratus daripada kuota rasmi negara seramai 900 jemaah sebelum ini.



"Semua tempat perlu disahkan dalam beberapa hari akan datang. Muis akan hubungi bakal jemaah yang layak untuk menawarkan tempat dan meneruskan langkah yang diperlukan," kata Muis.



Presiden Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas), Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat, berkata pihaknya menyambut berita baik itu tetapi ia agak mencemaskan kerana ia diumumkan pada saat akhir, bahkan mereka sudahpun hampir berangkat bagi jemaah yang sudah menempah pakej awal.



"Saya mengharapkan kerjasama dengan jemaah yang sudah terima tawaran haji oleh Muis agar segera bertemu dengan pihak GSA pilihan mereka," kata beliau.



Ustaz Fouzy berkata pihak GSA harus membuat penyesuaian, tempahan penerbangan, hotel dan sebagainya dengan segera.



"Namun saya yakin kerana jemaah kami berurusan dengan pihak GSA yang berpengalaman dan kami secara keseluruhan menyambut baik berita ini sebab ia memberi peluang kepada para jemaah lakukan ibadah haji," tambah beliau.



TM Fouzy Travel & Tours merupakan antara dua GSA Konsortium (CGSA) yang dilantik Muis dengan mengendalikan 121 jemaah haji tahun ini.



Ustaz Fouzy menggesa agar jemaah menjaga kesihatan mereka dengan rapi agar tidak tergendala ekoran jangkitan Covid-19 yang masih menular.



"Bagi mereka yang mungkin mendapat tawaran haji pada saat terakhir, harap jangan buang masa dan buat persediaan dengan segera menerusi sumber yang disediakan di laman web GSA pilihan mereka," ujarnya.



Jemaah Singapura yang bakal berangkat menyertai antara 10 pakej haji ditawarkan dua Ejen Penjualan Individu (IGSA) dan dua CGSA dilantik Muis.



Halijah Travels dan Shahidah Travel & Tours merupakan IGSA, sementara CGSA adalah Jalaluddin Travel & Services dan TM Fouzy Travel & Tours selaku ejen utama.



Syarikat Jalaluddin Travel & Services akan mengetuai konsortium meliputi Hagel Travel & Tours dan Noor Mohamad Services & Travel, manakala konsortium diketuai TM Fouzy akan meliputi Hamidah Travel & Tours dan Hahnemann Travel & Tours.



Pemilik Kumpulan Shahidah Travel & Tours, Encik Ayoob Angullia, berkata:



"Kami bersiap sedia untuk menerima tambahan jemaah dan membuat penyesuaian menyusuli kuota terbaru dan kami juga akan bekerjasama dengan pihak GSA lain."



Encik Ayoob, yang mana pihaknya akan mengendalikan seramai 87 jemaah haji, berkata beliau menerima panggilan daripada jemaah menyusuli berita itu namun belum tentu berapa ramai jemaah akan ditambah.



Pihaknya menawarkan tiga pakej - dua pakej sepanjang 26 hari yang berangkat dari 26 Jun, dan pakej 18 hari yang berangkat dari 30 Jun.



Beliau menambah tiada perubahan daripada segi operasi jemaah yang sudah mendapat kelulusan sebelum ini dan jemaah tambahan akan ditempatkan bagi pakej yang berangkat pada tarikh lebih lewat.



"Rombongan jemaah pertama kami akan teruskan perjalanan mereka pada 26 dan 29 Jun ini sebagaimana dirancangkan. Jemaah baru bakal ditempatkan dalam rombongan yang berangkat pada 2, 3 atau 6 Julai ini," jelasnya.



Pengarah Urusan, Jalaluddin Travel & Services Pte Ltd, Cik Noor Faizah Mustaffa, yang mana pihak konsortiumnya kendalikan 97 jemaah, pula berkata pihaknya agak terkejut dengan berita semalam.



"Walaupun agak mendadak, namun syarikat kami dan konsortium GSA terlibat akan bekerjasama untuk menyediakan tambahan bilik dan pesawat bagi jemaah yang baru mendapat jemputan.



"Kami cuba dan berikhtiar untuk tidak menghampakan tetamu Allah ini," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >