CIKGU 'BUDIMAN'

Guru-guru jadi dorongan pilih kerjaya jadi cikgu

Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) dianjurkan oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Berita Harian (BH) dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC). Agab bertujuan mengiktiraf guru-guru Bahasa Melayu yang cemerlang dalam mempromosikan dan meningkatkan penggunaan bahasa, melalui pengajaran dan pembelajaran. Empat anugerah diberikan dalam dua kategori - Teladan dan Perangsang. Seramai lapan guru merupakan finalis Agab tahun ini. Dua finalis akan diketengahkan setiap minggu selama empat minggu sebelum majlis penyampaian Agab pada 9 November nanti. Wartawan NUR FATHIN AWALLUDIN (nfathin@sph.com.sg) melaporkan.

PENGGUNAAN Bahasa Melayu baginya merupakan suatu kebiasaan di rumah.

Jarang beliau dan adik-beradik lain bertutur dalam Bahasa Inggeris sesama sendiri atau dengan orang tua mereka.

Lantas, cintanya terhadap bahasa ibundanya itu sudah tersemai dalam diri sejak beliau kecil lagi.

Namun, guru-guru Bahasa Melayu yang pernah mengajarnya di sekolah menjadi pendorong kuat dalam memilih mengajar bahasa tersebut sebagai kerjaya.

Bagi salah seorang finalis Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) tahun ini, Encik Muhammad Andi Mohammed Zulkepli, guru-gurunya itulah yang menjadi sumber dorongan baginya memilih menjadi seorang guru Bahasa Melayu.

"Cikgu Hazlina Yaacob, Cikgu Imran Zainal dan Cikgu Abdul Malek Ahmad merupakan antara guru saya sewaktu di sekolah rendah, menengah dan maktab rendah yang memainkan peranan yang sangat penting dalam terus menanam minat, semangat dan cinta saya terhadap bahasa dan budaya Melayu," ujar beliau.

Guru Sekolah Menengah Zhenghua itu cuba melakukan hal sama terhadap para pelajarnya.

Cikgu Andi, 32 tahun, percaya menyediakan lebih ruang dan peluang bagi pelajarnya untuk melibatkan diri dalam kegiatan bahasa dan budaya membantu memastikan pelajaran itu kekal menarik bagi mereka.

Oleh itu, tidak hairanlah jika beliau telah mengusahakan acara kebudayaan 'Pesta Budaya' di sekolahnya sejak 2013 dan kini menjadi acara tahunan yang dianjurkan.

Melalui Pesta Budaya itu, para pelajar berpeluang menerajui projek tersebut di mana mereka perlu mendapatkan rakan-rakan lain yang mahir dalam kegiatan seni seperti tarian dan nyanyian untuk terlibat sama.

Namun, para pelajar itu bukan setakat membuat persembahan, mereka juga diminta mengendalikan segmen interaktif bagi pelajar lain.

Menurut Cikgu Andi, yang juga penyelaras unit Bahasa Melayu di sekolahnya, acara tersebut dianjurkan di peringkat kelompok pula setelah beberapa tahun, dan turut melibatkan sekolah lain dalam kelompok CW6.

Selain itu, program khas Skrip & Lakonan juga diadakan agar pelajar dapat menimba pengalaman dunia pementasan menerusi bengkel yang dianjurkan.

Mereka juga dibawa menonton pementasan di Esplanade, misalnya, sebagai pendedahan tambahan untuk menghargai seni.

Pun begitu, Cikgu Andi percaya apa yang dilakukan dalam bilik darjah juga memainkan peranan penting.

Katanya:

"Saya sentiasa mengatakan kepada para pelajar kalau kita sudah tetapkan pemikiran bahawa kita belajar subjek ini hanya sekadar untuk peperiksaan semata, kitalah yang akan mematikan Bahasa Melayu kita.

"Saya biarkan mereka bermesra dengan karya-karya sastera dalam kelas, tayangan filem lama dan kontemporari yang baik buat kupasan bersama dalam perbincangan kelas dan membincangkan hal berkaitan sejarah dan asal-usul kita sebagai bangsa Melayu... dalam suasana separuh santai separuh serius."

Namun lebih daripada itu, beliau akur terdapat cabaran untuk menyesuaikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu turutama sekali dengan profil pelajar yang berbeza-beza.

Hari ini, lebih ramai pelajar yang berkeperluan khas dan mereka yang berbeza aliran disatukan dalam kelas.

"Cabaran utama sudah tentu bagaimana untuk menyediakan suasana pembelajaran yang memenuhi keperluan pelajar yang berbeza-beza ini. Falsafah one-size-fits-all semakin tidak relevan hari ini," jelasnya.

Justeru, Cikgu Andi perlu lebih 'kreatif' dalam memastikan keperluan pembelajaran setiap pelajar dapat dipenuhi.

"Di dalam kelas, saya akan berusaha sedaya upaya memastikan saya menyediakan ruang belajar di mana setiap kegiatan pembelajaran itu bersesuaian dengan pelajar-pelajar mengikut profil mereka," tambah beliau.


" Cabaran utama sudah tentu bagaimana untuk menyediakan suasana pembelajaran yang memenuhi keperluan pelajar yang berbeza-beza ini. Falsafah one-size-fits-all semakin tidak relevan hari ini... Di dalam kelas, saya akan berusaha sedaya upaya memastikan saya menyediakan ruang belajar di mana setiap kegiatan pembelajaran itu bersesuaian dengan pelajar-pelajar mengikut profil mereka.
- Cikgu Muhammad Andi Mohammed Zulkepli.

Galeri Foto