SEORANG guru jagaan bayi di sebuah prasekolah mendera secara fizikal budak lelaki berusia setahun termasuk dengan menutup kepalanya dengan bantal, menampar pipinya lapan kali dan memukul belakang badannya lebih 20 kali.
Kerana perbuatan guru itu, budak itu mengalami banyak lebam di belakang badannya.
Budak itu menangis kesakitan sepanjang didera dengan wanita itu mengabaikan tangisannya.
Peguamnya menyatakan tiada "sebab untuk diperjelaskan" bagi apa yang telah wanita itu lakukan. Wanita Singapura berusia 55 tahun itu mengaku bersalah pada Jumaat (18 Februari) atas kesalahan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Belia.
Dia akan dihukum pada 17 Mac.
Wanita ini tidak lagi bekerja di prasekolah tersebut dan tidak boleh dinamakan bagi mengikut perintah mahkamah yang melindungi identiti budak itu.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Gerald Tan berkata sebagai guru jagaan bayi, wanita itu diamanahkan menjaga kanak-kanak sehingga usia 18 bulan.
Tugasnya termasuk memberi makan dan menukarkan lampin kanak-kanak ini.
Daripada memastikan kesejahteraan mangsa, dia mendera budak itu berkali-kali antara 12.30 tengah hari hingga 1 petang pada 24 Disember 2019.
Kata DPP Tan: "Menyusuli kejadian itu, wanita berkenaan menyedari terdapat tanda merah yang besar pada belakang badan mangsa. Sekitar sejam selepas itu, dia menyedari tanda merah itu bertukar menjadi biru.
"Wanita tertuduh itu menyedari ibu mangsa pastinya akan perasan kecederaan belakang badan mangsa."
Bagi menutupi perbuatannya, wanita tersebut mengirim pesanan WhatsApp kepada ibu budak itu untuk bertanya jika budak itu mempunyai kulit yang sensitif.
Dia kemudian meminta maaf kerana kononnya terpukul kuat belakang badan budak itu ketika ingin menidurkannya.
Pada 25 Disember 2019, ibu budak itu membawa anaknya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK di mana budak itu dikenal pasti sebagai mengalami kecederaan yang bukan berpunca daripada kemalangan dengan lebam pada belakang badannya.
Kunjungan ke hospital itu menelan belanja $139.10 dengan prasekolah itu telah membayarkan kos tersebut.
Perbuatan wanita itu kemudian diketahui apabila si ibu menonton keratan televisyen litar tertutup prasekolah itu di mana beliau melihat sendiri anaknya didera secara fizikal.
Ibu itu membuat laporan polis pada 31 Disember 2019.
Dalam rayuannya, peguambela Azri Imran Tan berkata anak guamnya amat menyayangi semua kanak-kanak yang dijaga dengan tindakan dera yang dilakukan adalah sesuatu di luar kebiasaan sifatnya.
Peguam daripada IRB Law itu menambah: "(Si pesalah) mengenalpasti apa yang dilakukan itu salah dan perbuatannya itu sesuatu yang tidak wajar...Dia berharap, khususnya bagi mangsa dan keluarga itu agar boleh memaafkannya."
Encik Azri juga berkata tiada tanda mangsa itu mengalami kecederaan buat selama-lamanya atau tumbesarannya terjejas teruk oleh tindakan si pesalah.
Kerana kesalahan mendera kanak-kanak, seseorang boleh dipenjara hingga empat tahun dan didenda $4,000.