Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Guru prasekolah tarik minat kanak-kanak kepada Bahasa Melayu melalui permainan tradisional

Aug 29, 2021 | 05:30 AM



KALI pertama, Encik Muhammad Shahril Samri melangkah masuk ke dalam kelas untuk mengajar Bahasa Melayu kepada kanak-kanak kecil, beliau telah mengarah mereka untuk mengambil pembaris.



Tetapi apa yang mereka ambil sebaliknya, adalah antara lain, botol air.



"Saya memang terkejut. Tetapi inilah realitinya, agak sukar untuk kanak-kanak sekarang tahu Bahasa Ibunda mereka sendiri.



"Tetapi saya sahut cabaran ini dan mula mengorak langkah dan mendapatkan panduan terbaik bagaimana untuk mempertingkatkan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan kanak-kanak," ujarnya.



Encik Shahril merupakan antara 10 tenaga pengajar di peringkat prasekolah yang telah dianugerahkan dengan Anugerah Guru Prasekolah Bahasa Ibunda Cemerlang semasa Simposium Bahasa Ibunda semalam. Beliau juga merupakan antara enam yang meraih Anugerah Cemerlang manakala empat yang lain menerima Anugerah Merit.



Anugerah itu telah disampaikan tetamu terhormat, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat. Ia turut dihadiri Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohd Maliki Osman; Menteri Negara (Pendidikan), Sun Xueling; dan anggota parlimen GRC Sembawang, Encik Vikram Nair.



Menceritakan bibit awal beliau berkecimpung dalam kerjaya ini yang jarang diikuti kaum lelaki, Encik Shahril, 34 tahun, berkata, penglibatannya juga berlaku secara tidak sengaja.



Beliau mula mengajar secara sambilan sambil menunggu keputusan akhir peringkat diploma tetapi kemudian beliau mula tertarik dengan kerjaya tersebut, yang memberinya peluang mendedahkan bahasa dan budaya Melayu daripada kecil lagi.



Malah, pemegang diploma dalam Elektronik Hiburan Digital daripada Politeknik Republic, ini telah memperkenalkan budaya Melayu seperti penggunaan wau, guli dan congkak di dalam kelas.



"Memang kalau ikut cara tradisional, kita sekadar tunjukkan gambar, atau memainkan video bagaimana congkak dimainkan misalnya.



"Tetapi apabila kita membawa congkak itu ke dalam kelas, kanak-kanak dapat memegang, mencuba dan meraih pengalaman bermain dengan alat permainan tersebut. Ini yang membezakan pengalaman belajar.



"Secara tidak langsung, ia lebih menyeronokkan dan memupuk minat dalam diri kanak-kanak tersebut," kata beliau yang banyak mendapat bimbingan daripada pengetua prasekolah itu, Cik Hamidah Juhan.



Encik Shahril, yang mengajar di PCF Sparkletots @ Pioneer Blk 661B, berkata beliau baru sahaja mula mengajar sekitar empat tahun lalu.



Untuk mengasah dan mempertingkat teknik mengajar bahasa Melayu, Cikgu Shahril, yang belum berumah tangga, juga berusaha untuk memperbaiki pengetahuannya dalam bahasa ibunda tersebut.



Beliau sering memanfaatkan akhbar Berita Harian (BH)/Berita Minggu (BM) untuk mengetahui kosa kata yang sering kali digunakan, selain membaca sesuatu berita semasa itu dalam Bahasa Melayu.



Secara tidak langsung, ia akan memudahkannya apabila berbual mengenai isu itu di dalam kelas.



Selain itu, beliau turut serta dalam bengkel Melayu percuma anjuran Lembaga Perpustakaan Negara, sama ada ia melibatkan bengkel pantun atau menulis karya.



Bahkan untuk menggalak penulisan Bahasa Melayu, Encik Shahril telah menubuhkan 'Pantunism', wadah di Instagram yang diperkenalkan untuk membolehkan sesiapa sahaja mengongsi karya dalam Bahasa Melayu, termasuk pantun.



"Diharapkan dengan anugerah ini, ia akan terus mendorong saya meneroka cara lebih menarik untuk mendedahkan kanak-kanak dengan bahasa ibunda kita.



"Tetapi lebih penting lagi, penganugerahan ini merupakan cerminan usaha gigih anak murid saya, guru, pengetua sekolah dan ibu bapa dalam usaha kita bersama untuk membangunkan kemahiran anak-anak kita dalam Bahasa Melayu," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >