Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Hab Hijau masyarakat di Bishan satukan penduduk

Jun 28, 2022 | 05:30 AM



MINAT untuk mempelajari cara menanam tumbuh-tumbuhan mendorong Cik Suraya Ali, 54 tahun, menjadi sukarelawan di Hab Hijau yang terletak di Blok 112, Bishan Street 12, akhir tahun lalu.



Kini, beliau yang lebih peka dalam hal tanam-tanaman ekoran perkongsian daripada jiran tetangganya menyumbangkan masanya sekurang-kurang seminggu sekali untuk memastikan tumbuh-tumbuhan di kebun tegak Hab Hijau itu tidak diserang agen perosak dan mempunyai air dan baja yang mencukupi untuk tumbuh.



"Mulanya saya cuba menanam di rumah beberapa tumbuhan yang boleh dituai pada peringkat awal tetapi ia gagal.



"Justeru saya memutuskan untuk menjadi sukarelawan dan kini saya amat gembira kerana dapat belajar bersama dengan jiran-jiran yang sealiran minat.



"Ia juga merupakan peluang yang baik untuk menjadikan tempat ini sebagai ruang lebih hijau supaya semua penduduk di sini dapat menikmatinya," kata pengurus WIRA Association - Persatuan Untuk Wanita Dalam Pemulihan - yang telah tinggal di Bishan sejak 1995.



Hab Hijau itu telah dilancarkan Januari tahun lalu sebagai taman masyarakat yang mempamerkan konsep berkebun yang berbeza.



Namun disebabkan sekatan Covid-19, Jawatankuasa Penduduk (RC) Zon 1 Bishan East tidak dapat menjalankan acara jangkauan masyarakat seperti biasa.



Tetapi ia tidak menghalang mereka daripada menghasilkan idea untuk menubuhkan Hab Hijau yang boleh digunakan oleh penduduk dengan selamat.



Projek itu bermula secara kecil-kecilan, dengan hanya 10 stesen untuk mempamerkan konsep kehijauan yang menunjukkan cara berkebun yang berbeza, tetapi ia kemudian berkembang pesat.



Kini, Hab Hijau itu mempunyai lebih 30 stesen yang dibahagikan kepada lima konsep - Seni, Gaya Hidup, Kemampanan, Masyarakat dan Kehijauan.



Menurut pengerusi RC Zon 1 Bishan East, Cik Fen Ng PBM, penduduk menyumbangkan masa mereka menyokong pelbagai projek yang membuat kolong blok itu satu tempat di mana penduduk boleh saling berinteraksi dan melakukan kegiatan yang mereka minati.



"Jika seseorang itu duduk di kolong blok ini, mereka boleh melihat ramai penduduk yang berbeza keluar dan masuk dan besar kemungkinan mereka akan menemui sesuatu yang menarik untuk diri mereka sendiri," kata beliau.



Ciri-ciri kemampanan terserlah dapat dilihat dengan sebuah kolam dengan bunga teratai yang dibina daripada tab mandi lama, stesen pengkomposan tempat cacing tanah mengitar semula sisa makanan menjadi baja serta 'labah-labah' besar yang diperbuat daripada botol plastik dan beg sampah hitam yang menghiasi kolong blok itu.



Konsep kemasyarakatan dapat dilihat melalui perpustakaan kecil di mana penduduk boleh saling menukar buku untuk kanak-kanak dan orang dewasa.



Terdapat juga sudut nostalgia yang penuh dengan barangan retro, dan satu siri mural dinding yang mempamerkan karya seni Allahyarham Sarkasi Said, pemenang Pingat Budaya yang juga penduduk di sana.



Salah satu daripada projek hab itu ialah peti sejuk masyarakat yang menyimpan bekalan makanan percuma untuk penduduk.



Ia termasuk sayur-sayuran dari tanaman di Hab Hijau serta buah-buahan dan roti yang tidak terjual dari kedai roti berdekatan.



Peti sejuk masyarakat itu dibuka 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu. Ia boleh diakses oleh semua penduduk di daerah itu.



Namun, terdapat peringatan agar penduduk mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika mengambil barangan dalam peti sejuk itu.



Menurut Cik Ng, semua barang dalam peti sejuk itu disalurkan daripada perniagaan makanan setempat dan peruncit bagi mengelak pembaziran.



"Pihak RC bekerjasama dengan organisasi penyelamat makanan setempat seperti Kampung Bishan dan Fridge Restock Community SG untuk memastikan bahan makanan yang tidak boleh dijual tidak dibazirkan," jelas beliau.



Apabila ditanya apakah cabaran dan panduan dalam menubuhkan Hab Hijau sedemikian, Cik Ng berkata ia melibatkan usaha menyusun semua idea supaya ia lebih harmoni dan mempunyai sinergi untuk menjadikannya ruang masyarakat yang boleh berkhidmat kepada penduduk dan alam sekitar.



"Sokongan penduduk, sukarelawan serta rakan kongsi masyarakat yang kuat adalah faktor yang menjadikan penubuhan Hab Hijau seperti ini berjaya," ujar beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >