Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Habib Hassan Jauhari 2019

Oct 12, 2019 | 05:30 AM



SUMBANGAN dan pengorbanannya kepada masyarakat dan dialog antara agama cukup besar dan tidak ternilai.



Beliau bukan sahaja tokoh agama yang dihormati malah merupakan pemimpin silang agama yang gigih memupuk persahabatan dan rasa saling percaya antara masyarakat pelbagai bangsa dan agama di sini.



[embed]https://studio.brightcove.com/products/videocloud/media/videos/60939764…]

Kini usaha beliau itu menjadi lebih penting lebih-lebih lagi dalam dunia yang berpecah-belah.



Justeru dedikasinya berbakti kepada masyarakat dan sumbangan besar beliau kepada usaha memupuk keharmonian sosial di Singapura diiktiraf apabila imam Masjid Ba'alwie itu, Syed Hassan Al-Attas, dinobat sebagai Jauhari masyarakat Melayu/Islam tahun ini.



Imam yang lebih dikenali sebagai Habib Hassan itu menerima Anugerah Jauhari Berita Harian 2019 daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Heng Swee Keat, dalam satu majlis gah di One Farrer Hotel malam tadi.



Ini juga menjadikan beliau penerima ke-21 anugerah tersebut selepas ia diberikan buat kali pertama pada 1999.



Anugerah yang disampaikan Berita Harian kepada individu atau pertubuhan Melayu/Islam itu mengiktiraf pencapaian dan sumbangan cemerlang penerima dalam bidang masing-masing.



Mengulas mengenai pengiktirafan tersebut, Habib Hassan berkata beliau terkejut menerima anugerah itu kerana beliau percaya masih ada ramai lagi individu yang telah banyak berjasa tetapi mereka mungkin enggan ke hadapan.



"Saya rasa diri saya sendiri ibarat satu titik dalam lautan yang dalam.



"Saya selalu doakan yang terbaik buat negara kita Singapura dan berharap generasi muda akan menjadi lebih baik daripada generasi sebelum ini... lebih bersatu tidak kira bangsa atau agama," ujar Habib Hassan.



Mengulas mengenai pemilihan penerima Anugerah Jauhari itu, Editor Berita Harian/Minggu, Encik Saat A. Rahman, berkata:



"Kami berbesar hati menyampaikan Anugerah Jauhari Berita Harian tahun ini kepada Habib Hassan.



"Sumbangan besarnya kepada masyarakat dan dialog antara agama menunjukkan dedikasi beliau dan kegigihannya dalam bidang ini.



"Ini juga menjadikannya suri teladan kepada orang di kelilingnya."



Sifatnya yang amat mementingkan hubungan baik antara masyarakat berbilang agama itu juga telah mendorongnya tampil memimpin sekumpulan pemimpin agama setempat untuk mengutuk pengganasan secara terbuka bersama, berikutan penangkapan anggota Jemaah Islamiyah di Singapura pada 2001.



Sebagai anggota Pertubuhan Antara Agama (IRO), beliau juga sering bekerja rapat dengan pemimpin pelbagai agama.



Majlis malam tadi dihadiri lebih 300 tokoh politik dan perniagaan serta para pemimpin masyarakat.



Turut disampaikan semalam ialah Anugerah Jauhari Harapan yang mengiktiraf pencapaian dan potensi individu Melayu/Islam berusia 30 tahun ke bawah.



Penerimanya ialah Encik Muhammad Dhafer Muhammad Faishal, 19 tahun, yang menerima Biasiswa Presiden tahun ini.



Bekas pelajar Raffles Institution (RI) itu merupakan penerima Melayu ketiga menerima Biasiswa Presiden dan kini melanjutkan pengajian dalam bidang Sastera Liberal di Universiti Stanford di California, Amerika Syarikat.



Beliau menerima trofi dan wang tunai $5,000 sumbangan Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS).



Ibu Encik Muhammad Dhafer, Cik Hayati Haron, mewakili anaknya menerima anugerah itu daripada Encik Heng.



Menurut Encik Saat, anugerah itu memaparkan tahap kematangan dan nilai yang wajar dipuji, yang dimiliki ramai anak muda Melayu/Islam.



"Saya sangat berbesar hati dengan sumbangan dan komitmen Dhafer baik dari segi akademik mahupun kerja kemasyarakatan yang dilakukannya.



"Dengan anugerah ini, kami berharap beliau akan terus bekerja keras dan menjadi inspirasi buat anak muda lain mencapai impian mereka," katanya.



LAPORAN LANJUT: 






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >